Saya mahu Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri ke-10 untuk penggal penuh selama lima tahun untuk menghentikan kemunduran negara dan mulakan proses panjang untuk menjadikan Malaysia hebat semula
Terdapat mesej palsu di media sosial yang berlegar, mengatakan: “Lim Kit Siang ramal Anwar akan tumbang dalam tempoh setahun”.
Saya tidak pernah mengatakan sebegini.
Saya mahu Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri ke-10 untuk penggal penuh selama lima tahun untuk menghentikan kemunduran negara dan mulakan proses panjang untuk menjadikan Malaysia hebat semula.
Malah, inilah mesej yang saya hantarkan kepada Anwar pada 24 November apabila Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong melantiknya menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.
Mesej palsu ini adalah sebahagian daripada politik toksik penipuan, kebencian, syak wasangka, perkauman, dan keagamaan yang telah memecah belah negara sejak tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-15, dan perkara ini perlulah ditangani dengan tegas sekiranya kita tidak mahu melihat Malaysia terus berpecah belah.
Para Menteri dan pemimpin dalam kerajaan perpaduan Anwar Ibrahim perlu menghayati dan belajar dari pengajaran kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan sebelum ini, dan pengajaran yang paling penting sekali adalah, sentiasa akan ada kuasa dan personaliti politik yang akan mencuba sedaya upaya untuk memendekkan hayat kerajaan perpaduan ini.
Selain daripada beberapa orang, majoriti Menteri dan pemimpin Pakatan Harapan tidak menjangkakan konspirasi Langkah Sheraton dan telah menjangka kerajaan untuk kekal sehingga ke akhir penggal lima tahun dan bukannya ditumbangkan selepas 22 bulan.
Semua Menteri-menteri dan pemimpin dalam kerajaan perpaduan Anwar Ibrahim perlu sedar sepenuhnya yang ada personaliti dan kuasa-kuasa politik yang sedang mencuba untuk mengulangi konspirasi Langkah Sheraton untuk menumbangkan kerajaan perpaduan ini, sebolehnya supaya kerajaan perpaduan ini tidak bertahan setahun sekali pun.
Semua Menteri-menteri dalam kerajaan perpaduan perlu sedar mengenai rancangan ini — dan tidak seperti pendahulu mereka dalam Kabinet Pakatan Harapan sebelum ini yang memikirkan mereka ada lima tahun untuk melaksanakan mandat mereka — dan merasakan adanya keperluan untuk mereka melaksanakan reformasi institusi secepat mungkin.
Kerajaan perpaduan Anwar Ibrahim bermula dengan baik — dari keputusan Anwar untuk tidak mengambil gaji Perdana Menteri dan persetujuan Kabinet untuk memotong gaji sebanyak 20 peratus sehingga ekonomi pulih; langkah-langkah untuk menarik pelaburan yang berkualiti, peralihan kepada ekonomi rendah karbon, penambahbaikan jaringan perlindungan sosial, dan usaha menguatkan ketahanan fiskal untuk memastikan reformasi struktural ekonomi dilaksanakan dengan baik; keputusan untuk menamatkan semua lantikan politik dalam badan-badan berkaitan kerajaan; pengurangan jumlah cabutan khas loteri kepada lapan kali setahun berbanding 22 kali setahun di bawah kerajaan Perikatan Nasional; siasatan dana parti-parti politik dari sumber yang dipersoalkan dalam Pilihan Raya Umum ke-15; dan juga reformasi-reformasi institusi untuk memastikan Malaysia mempunyai sebuah kerajaan yang baik, bersih, jujur, yang dipandu oleh Rukun Negara.
Tetapi, tugas yang paling utama masihlah usaha untuk menamatkan politik toksik penipuan, kebencian, syak wasangka, perkauman, dan keagamaan yang telah menghantui negara kita dan juga seluruh dunia.
Kini masanya untuk Malaysia menunjukkan kepada dunia mengenai apa yang boleh dilakukan untuk menghentikan politik toksik penipuan, kebencian, syak wasangka, perkauman, dan keagamaan yang akan menjadi gabungan bahaya yang boleh mengancam untuk memusnahkan negara apabila digabungkan dengan era maklumat dan teknologi media sosial.