Malaysia perlu lebih bersedia untuk berhadapan dengan pandemik dalam masa hadapan — perkara ini menjadi sebab utama mengapa perlu ada siasatan untuk mengkaji mengapa negara kita tidak bersedia untuk berhadapan dengan pandemik Covid-19 dan juga untuk membolehkan kita belajar dari Covid-19

Selepas dua hari mencatatkan kes baharu Covid-19 dalam julat tiga angka, Malaysia telah kembali kepada jumlah kes harian dalam julat empat angka semalam, walaupun kita masih menyaksikan jumlah kes harian dalam julat empat angka yang terendah dalam sejarah.

Jumlah kes harian dan kematian harian akibat Covid-19 untuk minggu lepas adalah:

Tarikh Jumlah kes Jumlah kematian
7.12.2022 1,683 6
8.12.2022 1,616 4
9.12.2022 1,592 6
10.12.2022 1,315 5
11.12.2022 867 10
12.12.2022 809 6
13.12.2022 1,040 9

Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, telah menjalankan tugas yang baik sebagai Menteri Kesihatan untuk mengurangkan statistik Covid-19 dari 20,987 kes baharu dan 282 kematian akibat Covid-19 pada 31 Ogos 2021 kepada 2,340 kes baharu dengan kematian akibat Covid-19 dalam julat satu angka pada 31 Ogos 2022.

Kita harap menjelang hari kebangsaan dalam kira-kira lapan bulan dari sekarang dengan Menteri Kesihatan baharu, Dr. Zaliha Mustafa, jumlah kes harian Covid-19 akan menurun kepada julat dua angka dengan kadar kematian dalam julat satu angka yang rendah.

Semasa Hari Kebangsaan ke-63 pada 31 Ogos 2020, Malaysia mencatatkan sejumlah 9,340 kes Covid-19 dengan 127 kematian akibat Covid-19.

Ketika Hari Kebangsaan ke-64 pada 31 Ogos 2021 pula, kita telah mencatatkan hampir 1.75 juta kes dan kira-kira 16,500 kematian terkumpul — peningkatan luar biasa sebanyak 187 kali ganda untuk jumlah jangkitan dan peningkatan sebanyak 130 kali ganda untuk kadar kematian.

Adakah ini yang cuba dibanggakan oleh Perdana Menteri “pintu belakang” yang pertama?

Pada Hari Kebangsaan ke-65 pada 31 Ogos 2022, jumlah kes terkumpul Covid-19 telah meningkat kepada 4,782,624 kes dengan sejumlah 36,225 kematian.

Khairy telah menunjukkan prestasi yang agak baik dalam mengurangkan jumlah kes harian Covid-19, dari 20,897 kes pada 31 Ogos 2021 kepada 2,340 kes pada 31 Ogos 2022.

Melihat kepada statistik Covid-19 negara-negara ASEAN yang lain, kita dapat lihat keperluan untuk mengkaji mengapa negara kita mencatatkan prestasi yang sebegitu buruk dan bagaimana kita boleh bersedia dengan lebih baik untuk berhadapan dengan apa-apa pandemik yang mungkin akan terjadi pada masa hadapan.

Dari segi jumlah kes terkumpul Covid-19, Malaysia berada di tempat ke-27 di dunia, manakala negara-negara ASEAN lain didahului oleh Indonesia (20), dan diikuti oleh Filipina (37), Thailand (31), dan Singapura (45), dengan statistik berikut setakat semalam:

Kedudukan Negara Jumlah kes Jumlah kematian
(20) Indonesia 6,702,132 330,695
(27) Malaysia 5,012,483 36,778
(31) Thailand 4,715,489 33,392
(37) Philippines 4,050,866 64,921
(45) Singapore 2,183,605 1,708

Malaysia perlu lebih bersedia untuk berhadapan dengan pandemik masa hadapan.

Kita perlukan siasatan untuk mengkaji mengapa negara kita sebegitu tidak bersedia untuk berhadapan dengan pandemik Covid-19 dan pelajari pengajaran dari pandemik ini.

Lim Kit Siang Veteran DAP