Pilihan raya negeri di enam negeri akan menjadi ujian yang penting untuk melihat sama ada “gelombang hijau” dalam pilihan raya umum ke-15 ini benar-benar tidak dapat dihentikan atau hanyalah satu kebetulan
Pilihan raya negeri di enam negeri — Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, dan Kedah — akan menjadi ujian yang penting untuk menentukan sama ada “gelombang hijau” yang disaksikan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 ini benar-benar satu kuasa yang hebat atau hanyalah satu kebetulan, tanpa perlu mengambil kira kemenangan Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti 16,260 undi di kerusi parlimen Padang Serai pada hari Rabu yang lepas.
Satu analisis tiga kerusi parlimen yang dimenangi oleh PN di Pulau Pinang — dua dimenangi PAS dan satu oleh Bersatu — menunjukkan yang gabungan undi yang diraih oleh calon kerajaan perpaduan Anwar melebihi jumlah undi yang diraih PN di kerusi-kerusi ini.
Di Permatang Pauh, jumlah undi yang diraih oleh calon PH-PKR, Nurul Izzah Anwar, yang mendapat 32,638 undi dan calon BN-UMNO, Mohd Zaidi Mohd Said, yang mendapat 16,971 undi, berjumlah sebanyak 49,337 undi — lebih dari undi yang diterima oleh calon PN-PAS, Mohd Fawwaz Mat Jan, yang menang dengan 37,638 undi.
Di Kepala Batas, jumlah undi yang diraih oleh calon BN-UMNO, Reezal Merican Naina Merican, yang mendapat 25,737 undi dan calon MUDA, Danial Abdul Majeed, yang menerima 14,214 undi, berjumlah sebanyak 39,951 undi — lebih dari undi yang diterima oleh calon PN-PAS, Mastura Muhammad yang menang dengan 28,604 undi.
Kisah yang sama juga di Tasek Gelugor di mana jumlah undi yang diterima calon BN-UMNO, Muhammad Yusuff Mohd Noor yang meraih 18,684 undi dan calon PH-Amanah, Nik Abdul Razak Nik Md Ridzuan, yang mendapat 16,547 undi berjumlah 35,237 undi — lebih dari undi yang diterima oleh calon PN-Bersatu, Wan Saifulrudin Wan Jan, yang menang dengan 31,116 undi.
Penganalisis politik, Bridget Welsh, menjangkakan yang Pakatan Harapan memenangi kira-kira 11 peratus undi pengundi Melayu di Semenanjung Malaysia, tetapi mantan Ahli Parlimen Bangi dan mantan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming, menganggarkan yang sokongan orang Melayu terhadap PH mungkin lebih tinggi dari 11 peratus di negeri-negeri di mana PH menjadi kerajaan negeri — Selangor (52.4 peratus), Pulau Pinang (59.4 peratus), dan Negeri Sembilan (44.4 peratus).
Saya tidak pernah percaya bahawa ada apa-apa gerakan yang boleh dikatakan sebagai tidak dapat dielakkan, sejak dari tahun 50-an dalam abad yang lepas di mana ada mereka yang cuba mengatakan komunisme adalah satu gerakan yang tidak dapat dielakkan.
Masa hadapan “gelombang hijau” dalam Pilihan Raya Umum ke-15 akan bergantung kepada sama ada tindakan berkesan diambil untuk menghentikan politik toksik penipuan, syak wasangka, kebencian, perkauman, dan keagamaan, dan sama ada kerajaan perpaduan Anwar Ibrahim dapat menjadikan Malaysia hebat sekali lagi dengan membina sebuah negara bangsa Malaysia yang cemerlang dalam pelbagai bidang yang diceburi umat manusia, termasuklah dengan mempunyai sebuah kerajaan yang bersih, jujur, tidak korup, dan menghentikan kemunduran yang disaksikan negara dalam enam dekad yang lepas.