Hadi patut mengemukakan bukti atau menarik semula tuduhannya yang mengatakan DAP mempromosikan Islamofobia kerana laporan OIC mengenai Islamofobia di dunia yang mengkaji tempoh 14 bulan dari Disember 2020 sehingga Januari 2022 tidak menunjukkan sebarang masalah Islamofobia di Malaysia

Presiden PAS, Hadi Awang, patut mengemukakan bukti atau menarik semula tuduhannya yang mengatakan DAP mempromosikan Islamofobia kerana Laporan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengenai Islamofobia di dunia sepanjang 428 muka surat yang mengkaji tempoh 14 bulan dari Disember 2020 sehingga Januari 2022 tidak menunjukkan sebarang masalah Islamofobia di Malaysia.

Laporan OIC ini diterbitkan oleh Pemerhati Islamofobia OIC, satu badan khusus di bawah Jabatan Hal Ehwal Politik Urusetia OIC.

Penubuhan badan ini didorong oleh tiga faktor utama:

  • kebanjiran sentimen anti-Islam di Barat selepas 9/11
  • trend pertumbuhan Islamofobia yang cuba untuk memburukkan dan menghina Islam melalui penyelewengan dan persepsi yang salah; dan
  • perkenalan undang-undang di negara bukan Islam yang secara khusus mendiskriminasi atau menyasarkan golongan minoriti Islam.

Pemerhati Islamofobia OIC memantau perkembangan Islamofobia setiap hari, dengan mengikuti trend semasa dan melakar gambaran perkembangan situasi yang berkaitan dengan Islamofobia membangun dari semasa ke semasa.

Islamofobia adalah masalah besar, bukan sahaja kepada dunia Islam, tetapi kepada dunia, kerana melainkan apabila agama-agama utama dunia dapat hidup bersama dengan aman, harmoni, dan bekerjasama di antara satu sama lain, tidak akan ada keamanan dan keharmonian di dunia.

Empat agama dan tamadun utama dunia yang merupakan legasi Malaysia majmuk mengajar pengikutnya untuk membezakan di antara perkara yang betul dengan perkara yang salah, kebenaran dari penipuan, perkara yang sangat relevan dalam era maklumat dan media sosial di mana maklumat kini bergerak sepantas kilat. Cabaran kita sekarang adalah untuk terpedaya dengan ketoksikan penipuan, fitnah, dan berita palsu — baik dari segi perkauman mahupun keagamaan.

Para pemimpin DAP bersedia untuk dicabar untuk membuktikan tuduhan mereka. Adakah para pemimpin PAS bersedia untuk membuktikan tuduhan mereka atau bersifat merendah diri untuk menarik semula tuduhan yang tidak dapat dibuktikan mereka?

Dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-15, Hadi meminta orang Melayu-Islam untuk memahami hakikat politik dan untuk memilih di antara pemerintahan orang Islam dan bukan Islam.

Menggunakan analogi pengembala, Hadi bertanya sekiranya orang Melayu-Islam dalam negara “rela menjadi penternak lembu atau penternak babi”.

Dia merujuk kepada kejatuhan kuasa Islam di Sepanyol pada tahun 1400-an, mendakwa yang walaupun di bawah pemerintahan Islam yang kejam, orang Islam sekurang-kurangnya akan menjadi penternak lembu, berbanding dengan nasib mereka di bawah pemerintahan “orang lain”.

Dia mengatakan yang sekiranya orang Melayu-Islam sabar dengan satu sama lain, walaupun pimpinan Melayu-Islam ini kejam, orang Melayu-Islam dapat sekurang-kurangnya menjadi penternak lembu, sebaliknya di bawah pimpinan orang lain, orang Melayu-Islam akan menjadi penternak babi.

Tetapi, perkara ini bukanlah pilihan yang berada di hadapan rakyat Malaysia, baik yang Islam atau yang tidak — sama ada dalam PRU15 atau dalam PRU-PRU yang akan datang.

Rakyat Malaysia, sama ada Islam atau tidak, tidak mahu menjadi penternak lembu atau babi.

Seperti yang dinyatakan dalam Rukun Negara, rakyat Malaysia, baik orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban atau beragama Islam, Buddha, Hindu, atau Kristian, tidak mahu menjadi penternak lembu atau babi, sebaliknya kita mahukan sebuah Malaysia yang bertaraf dunia, yang dapat mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya; memelihara cara hidup demokrasi; mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama; menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak; membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.

Mereka telah menetapkan lima prinsip pembinaan negara untuk mencapai lima cita-cita Rukun Negara ini:

  1. KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN
  2. KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
  3. KELUHURAN PERLEMBAGAAN
  4. KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
  5. KESOPANAN DAN KESUSILAAN

Hadi mahu rakyat Malaysia memilih di antara menjadi penternak lembu atau penternak babi, tetapi rakyat Malaysia mahu bergerak ke hadapan dan mencapai cita-cita yang lebih tinggi lagi untuk menjadi salah satu daripada negara yang terbaik di dunia.

Rakyat Malaysia memerlukan satu revolusi pemikiran.

Selama enam dekad, kita telah kehilangan visi Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman, untuk Malaysia menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu” dan sebaliknya telah menyumbangkan kepada kegelapan di dunia, ditinggalkan di belakang satu demi satu negara.

Bolehkah kita hentikan kemerosotan negara selama enam dekad ini, untuk menyatukan semua rakyat Malaysia yang berlatarbelakang pelbagai kaum, bahasa, kepercayaan, dan budaya, untuk menetapkan semula proses pembinaan negara kita — supaya daripada berada dalam hala tuju untuk menjadi sebuah negara gagal, berpecah belah, dan kleptokratik menjelang ulang tahun ke-100 negara, kita sebaliknya berjaya menjadi negara cemerlang yang dikenali dengan kejayaan di seluruh dunia dalam semua bidang yang diceburi manusia?

Inilah cabaran untuk kerajaan Anwar Ibrahim!

Anwar Ibrahim memerlukan semua bantuan yang ada, dan semua rakyat Malaysia perlulah bangkit dan bersedia untuk membantu menjadikan Malaysia hebat sekali lagi!

Lim Kit Siang Veteran DAP