Adakah mana-mana dari 46 orang Ahli Parlimen PAS akan meletakkan jawatan sebagai tanda protes jika pemilihan mereka ke Parlimen dibiayai sumber berkenaan perjudian?
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, telah menyiratkan yang dana pilihan raya Perikatan Nasional (PN) datang dari syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas.
Adakah mana-mana dari 46 orang Ahli Parlimen PAS akan meletakkan jawatan sebagai tanda protes jika pemilihan mereka ke Parlimen dibiayai sumber berkenaan perjudian?
Memang mengejutkan apabila kerajaan PN sebelum ini yang dipimpin oleh Bersatu dan PAS telah meningkatkan kekerapan cabutan khas, dari lapan kali setahun ke 22 kali setahun – satu keputusan yang dibuat pada penghujung tahun 2020.
Saya mengalu-alukan keputusan Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan untuk mengurangkan jumlah cabutan khas kepada lapan kali setahun ini bermula Januari depan.
Anwar Ibrahim telah memulakan pentadbiran dengan langkah yang tepat dengan mendapatkan persetujuan Menteri-menteri Kabinetnya untuk menerima potongan gaji sebanyak 20 peratus sehinggalah ekonomi negara mula pulih dalam tiga tahun lagi.
Pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri pada 25 November telah menyaksikan pasaran saham dan nilai ringgit menunjukkan reaksi positif dan perkara ini perlu dikekalkan.
Satu perbezaan besar di antara kerajaan Pakatan Harapan yang pertama pada tahun 2018 dengan kerajaan perpaduan pada tahun 2022 ini adalah kerajaan yang sebelum ini tidak pernah terfikir yang mandat lima tahunnya boleh dicantas dan dirampas selepas 22 bulan, manakala kerajaan perpaduan di bawah Anwar ini perlu sedar sepenuhnya yang ia boleh ditumbangkan pada bila-bila masa.
Perkara ini disebut dengan jelas oleh Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim, yang mengatakan dalam kempen pilihan raya Padang Serai bahawa rancangan sedang dibuat untuk memastikan kerajaan Anwar Ibrahim tidak akan bertahan dan PN – dengan PAS memegang jumlah kerusi terbesar sebagai sebuah parti – akan merampas kuasa di peringkat persekutuan.
Kerajaan perpaduan ini perlu dibina di atas kerja-kerja yang telah dilakukan dalam tempoh 22 bulan kerajaan Pakatan Harapan yang pertama untuk menyediakan negara kita untuk reformasi institusi bagi menetapkan semula dasar dan prinsip pembinaan negara dan untuk kita kembali kepada aspirasi tokoh-tokoh kemerdekaan (termasuklah aspirasi empat Presiden terawal UMNO) – untuk menjadi sebuah negara beraja perlembagaan, demokrasi berparlimen yang subur, doktrin pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, meritokrasi, akhbar yang bebas, hormat terhadap hak asasi manusia, penghapusan kezaliman dan ketidaksamaan dalam negara, pengekalan sifat negara majmuk pelbagai kaum, bahasa, budaya, dan agama di Malaysia, rasuah yang minima, dan perkhidmatan awam yang bertanggungjawab, berintegriti, dan berkesan, supaya kita dapat menghentikan kemunduran negara dalam enam dekad yang lepas dan mengambil semula kedudukan kita di mata dunia sebagai salah sebuah negara hebat bertaraf dunia.
Cadangan Majlis Raja-Raja supaya Jawatankuasa Pelantikan Kehakiman (JAC) dibebaskan dari pengaruh perdana menteri adalah satu perkara yang dipuji.
Idea Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, supaya kuasa perdana menteri untuk melantik ahli-ahli JAC akan dapat memastikan keahlian jawatankuasa ini tidak membawa kepentingan mana-mana pihak.
Terdapat tanda-tanda yang jelas yang Malaysia sedang mengembalikan kebebasan badan kehakiman selepas tiga dekad yang suram, dan perkara ini perlu terus digalakkan.
Kabinet Anwar patut mempertimbangkan dengan serius untuk menerbitkan laporan Jawatankuasa Reformasi Institusi (IRC) yang dilengkapkan pada tahun 2018 untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih matang dan demokratik.
Agak sukar untuk sebarang reformasi utama dibentangkan dalam sidang parlimen pada 19 Disember ini, tetapi para Menteri perlu digalakkan untuk mencadangkan reformasi utama dalam sidang Parlimen pertama tahun hadapan dan untuk mempunyai kesedaran yang walaupun kerajaan Anwar sepatutnya bertahan selama lima tahun, masih terdapat kemungkinan yang kerajaan ini boleh ditumbangkan selepas setahun, oleh itu semua reformasi-reformasi utama perlulah diperkenalkan dalam tahun pertama pentadbiran Anwar.
Tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan oleh kerajaan Anwar untuk mempengaruhi Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) 2022 yang akan diterbitkan pada bulan hadapan di mana Malaysia dijangka akan mencatatkan kedudukan yang teruk. Tetapi perlu ada satu deklarasi mengenai integriti awam dalam sidang Parlimen pertama tahun hadapan untuk mencapai cita-cita Malaysia menjadi salah sebuah negara dengan rasuah yang minima di dunia.
Tuduhan dari Presiden PAS, Hadi Awang, bahawa DAP mempromosikan Islamofobia perlulah diambil serius, tetapi Hadi tidak kelihatan seperti mengambil perkara ini dengan serius.
Hadi patut memberikan bukti untuk tuduhan ini atau menarik semula tuduhan ini.