Malaysia perlu menghayati pengajaran dari Pilihan Raya Umum ke-14 dan ke-15 dan tidak boleh benarkan demokrasi di Malaysia dirampas melalui politik toksik penipuan, syak wasangka, kebencian, perkauman, dan keagamaan
Salah satu pengajaran dari kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan adalah realiti menyeramkan mengenai pertembungan teknologi digital dan kesihatan demokrasi, bagaimana teknologi digital boleh mengubah landskap politik melalui penipuan, fitnah, dan berita palsu melalui media sosial seperti WhatsApp, Facebook, Twitter, podcast, Telegram, dan TikTok.
Langkah pertama usaha menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan adalah melalui kempen penipuan, syak wasangka, kebencian, sentimen perkauman, dan keagamaan melalui fitnah yang mengatakan kononnya DAP anti Melayu, Islam, dan Raja, dengan rancangan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Perkauman (ICERD) walaupun sebenarnya para Menteri dan pemimpin DAP tidak tahu apa-apa langsung mengenai perkara ini.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 pula, DAP sekali lagi difitnah sebagai anti Melayu dan anti Islam, dengan fitnah tambahan yang DAP kononnya komunis dan mempromosikan Islamofobia, dengan niat untuk mewujudkan syak wasangka dan kebencian perkauman dan keagamaan untuk merampas proses demokrasi di Malaysia.
Kabinet pertama Anwar Ibrahim perlu mengatasi masalah penyebaran maklumat palsu dan polarisasi di media sosial, yang kini menjadi ancaman terhadap proses demokrasi berparlimen di Malaysia.
Kita tidak boleh membiarkan politik toksik penipuan, kebencian, syak wasangka, perkauman, dan keagamaan terus berleluasa kerana perkara ini boleh merosakkan demokrasi berparlimen di Malaysia dan menghumban negara kita ke arah menjadi sebuah negara gagal, berpecah belah, dan kleptokratik.
Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, politik toksik sebegini menuduh yang saya bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia sekiranya Pakatan Harapan menang dalam PRU-14.
Selepas penipuan dan fitnah ini terbukti salah selepas 9 Mei 2018, penipuan dan fitnah-fitnah baharu telah direka untuk menuduh bahawa kononnya sayalah kuasa sebenar dalam kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan ini, kononnya Mahathir Mohamad, Anwar Ibrahim, Azizah Ismail, dan Mohamad Sabu semuanya hanyalah boneka saya — walaupun pada masa yang sama, saya dituduh sebagai pengkhianat kepada “bangsa Cina” di hadapan orang Cina di Malaysia.
Saya dituduh sebagai kononnya menerima RM1 billion dari Mahathir untuk membenarkan dia menyertai dan mengetuai Pakatan Harapan dan dituduh sebagai telah menerima RM1.2 billion dari sumber di Israel untuk mempromosikan agenda mereka.
Terdapat juga pelbagai tuduhan-tuduhan lain yang mengatakan pelbagai bentuk kekayaan datang kepada saya untuk menjadikan saya antara orang yang paling kaya di Malaysia — tetapi, dana berbillion-billion ini hanya wujud di alam politik toksik penipuan, kebencian, syak wasangka, perkauman, dan keagamaan yang ditunggang oleh pemimpin politik yang terdesak.
Saya telah dituduh sebagai seorang komunis, kononnya bertanggungjawab menyebabkan rusuhan 13 Mei 1969 dengan mengenai demonstrasi jalanan di Kuala Lumpur sambil melaungkan slogan anti Melayu dan Islam, walaupun saya tidak pun berada di Kuala Lumpur selepas Pilihan Raya 10 Mei 1969; saya juga digambarkan sebagai syaitan, puaka, jembalang; kononnya saya ini anti Melayu, anti Islam, dan anti Raja; kononnya saya adlaah agen KGB, CIA, MI6, atau pihak Perisikan Australia.
Saya juga dituduh sebagai kononnya hendak memisahkan Semenanjung Malaysia kepada dua bahagian, Pantai Timur untuk orang Melayu dan Pantai Barat untuk orang Cina.
DAP telah dimomokkan dengan pelbagai penipuan dan fitnah, tetapi Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng, adalah satu-satunya pemimpin politik di Malaysia yang pernah mengorbankan masa hadapan kerjaya politiknya sebagai Ahli Parlimen, malah ke penjara, dengan melintasi garisan etnik, untuk mempertahankan maruah seorang gadis Melayu bawah umur, ketika dia merupakan Ahli Parlimen Kota Melaka pada tahun 90-an.
Tidak ada pemimpin politik lain, baik dari UMNO, MCA, MIC, PAS, atau mana-mana parti politik lain yang pernah membuat pengorbanan sebegini.
Kita perlu pastikan dalam Pilihan Raya Umum ke-16, Malaysia tidak lagi perlu berhadapan dengan masalah politik toksik penipuan, syak wasangka, kebencian, perkauman atau keagamaan, dan rakyat Malaysia perlulah menghayati pengajaran ini dari Pilihan Raya Umum ke-14 dan ke-15.