Tubuhkan jawatankuasa pakar Islam dan bukan-Islam untuk menyiasat sama ada wujud parti politik yang mempromosikan Islamofobia dan juga menyiasat isu Islamofobia dan fobia terhadap mana-mana agama dalam di Malaysia
Presiden PAS, Hadi Awang telah menuduh DAP sebagai mempromosikan Islamofobia.
Penerbitan PAS, Harakah, hari ini menerbitkan satu artikel yang bertajuk “Dasar sekular DAP dan liberal PKR mewujudkan Islamofobia”.
Tidak ada sebarang asas langsung kepada pertuduhan yang mengatakan DAP dan PKR bersifat Islamofobia ini, tetapi kerana tuduhan ini telah dibuat secara terang-terangan dan diulang-ulang, pertuduhan ini perlulah diambil serius walaupun tidak ada keperluan untuk reaksi yang melampau terhadap fitnah-fitnah ini.
Saya cadangkan Kerajaan Persekutuan untuk membentuk sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada panel pakar Islam dan bukan-Islam untuk menerbitkan sebuah laporan mengenai sama ada wujudnya parti politik yang mempromosikan Islamofobia dan juga untuk mengkaji isu Islamofobia dan fobia terhadap mana-mana agama, terutamanya dari sudut matlamat Rukun Negara untuk “mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat”.
Jawatankuasa ini juga patut menjemput Presiden PAS, Hadi Awang, dan juga para pemimpin PAS yang lain untuk memberikan kerjasama dengan membuktikan pertuduhan-pertuduhan mereka terhadap DAP dan PKR yang dikatakan sebagai mempromosikan Islamofobia ini.
Jawatankuasa ini perlu diminta untuk memberikan cadangan mereka untuk memastikan Malaysia tidak terus terpolarisasi dan terpecah belah dengan politik toksik penipuan, syak wasangka, kebencian, perkauman, dan keagamaan.
Apabila parti-parti politik yang menerima sepenuhnya Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa Islam adalah agama rasmi Persekutuan tetapi agama-agama lain bebas diamalkan dengan aman dan harmoni boleh dituduh sebagai mempromosikan Islamofobia, perkara-perkara yang menjejaskan Rukun Negara dan perpaduan negara sebegini hendaklah dipandang serius.
Perkara ini adalah satu perkara mendesak yang memerlukan perhatian mesyuarat Kabinet pertama Anwar Ibrahim selepas Kabinet ini dibentuk dan diumumkan.