Hari Kebangsaan pada tahun 2022 berbeza sama sekali berbanding dengan Hari Kebangsaan dalam dua tahun yang lepas pada 2020 dan 2021 – kini terdapat sinar harapan dan bukannya hanya perasaan putus asa dan kekecewaan

Hari Kebangsaan pada tahun 2022 berbeza sama sekali berbanding dengan Hari Kebangsaan dalam dua tahun yang lepas pada 2020 dan 2021 – kini terdapat sinar harapan dan bukannya hanya perasaan putus asa dan kekecewaan.

2020 adalah sambutan Hari Kebangsaan pertama selepas pengkhianatan politik terbesar dalam sejarah negara, di mana konspirasi Langkah Sheraton telah menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan dan memendekkan penggal mandatnya dari lima tahun kepada hanya 22 bulan.

Pada tahun 2021 pula, Hari Kebangsaan sekali lagi ditenggelami dengan penumbangan Muhyiddin oleh UMNO dan permulaan penggal Ismail Sabri.

Dalam kedua-dua tahun ini, sambutan Hari Kebangsaan berlangsung semasa pandemik Covid-19 di seluruh dunia, dengan Malaysia sebagai salah satu negara dengan prestasi terburuk, di mana kedudukan Malaysia dalam Carta Ketahanan Covid Bloomberg jatuh dari tempat ke-16 pada bulan Januari 2021 kepada tempat ke-52 pada Julai 2021 dan, kedudukan Malaysia melonjak 59 anak tangga dari tempat ke-85 pada bulan November 2020 dengan jumlah kes tertinggi kepada tempat ke-26 hari ini dengan hampir 5 juta kes Covid-19 dan 36,000 kematian.

Namun, kini terdapat harapan selepas 30 bulan yang suram – kerana janji-janji reformasi selepas hegemoni politik UMNO-BN berakhir dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018 adalah menjadi sia-sia – dan kini adalah masa untuk rakyat Malaysia berharap sekali lagi bahawa Malaysia dapat diselamatkan daripada menjadi sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, atau negara gagal, bahawa kini, kita mampu untuk memenuhi aspirasi Malaysia untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia dan menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu”.

9 Mei 2018 akan dicatatkan dalam sejarah Malaysia sebagai tarikh yang penting tetapi ia merupakan langkah pertama dalam perjuangan panjang untuk perubahan dan pembaharuan. Tanpa 9 Mei 2018, tidak mungkin kita dapat mendedahkan skandal besar 1MDB yang melibatkan RM50 bilion dan baru-baru ini skandal kapal tempur pesisir (LCS) yang melibatkan RM9 bilion.

Rakyat Malaysia yang telah bertungkus lumus dari seluruh dunia semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 untuk memastikan undi mereka dikira dalam keajaiban politik 2018 tidak bersusah payah dan berkorban secara sia-sia, tetapi mereka harus berani untuk terus mengimpikan Impian Malaysia.

Saya baru-baru ini menerima dokumen yang telah dinyahrahsiakan yang menunjukkan pemimpin DAP sentiasa konsisten dan setia kepada cita-cita dan kepercayaan mereka.

Dokumen ini merupakan keterangan saya semasa dalam tahanan di Balai Polis Kuala Selangor di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri sejurus selepas saya pulang ke Malaysia pada 18 Mei 1969.

Saya ditanyakan mengenai pandangan politik saya dan saya telah katakan perkara seperti berikut yang dicatatkan dalam dokumen ini:

(a) Malaysia adalah sebuah masyarakat pelbagai kaum, bahasa, dan budaya, dan sebuah bangsa Malaysia yang berdaya maju hanya boleh dibentuk sekiranya semua kaum dan kumpulan dalam negara ini diberikan kepentingan yang sama.

(b) bahawa dalam masyarakat pelbagai kaum seperti di Malaysia, keganasan dan sebarang ideologi paksaan, misalnya seperti yang dibawa oleh PKM, yang akan membawa kepada kemusnahan negara kerana perkara ini akan secara pantas membawa kepada konflik perkauman. Oleh itu, saya mengecam paksaan dan keganasan dalam semua bentuk.

(c) bahawa dalam masyarakat pelbagai kaum, sekiranya ada mana-mana kumpulan kaum berasa yang mereka ketinggalan, baik dari pendidikan, ekonomi, budaya, bahasa, atau politik, maka antagonisme perkauman akan wujud. Segala usaha diperlukan untuk menghapuskan ketidakseimbangan di antara kaum dan kumpulan ini.

(d) bahawa kemiskinan bukanlah masalah perkauman. Ia adalah masalah sosio-ekonomi. Untuk menganggap kemiskinan sebagai masalah perkauman hanya akan meningkatkan antagonisme perkauman di dalam negara ini.

(e) bahawa sosialisme demokratik boleh menutup jurang di antara mereka yang berada dan mereka yang tidak berada dari kalangan semua kaum.

(f) bahawa saya mahukan kerajaan yang bersih, jujur, efisien, berdaya tahan terhadap rasuah, dan berkesan.

(g) bahawa hanya demokrasi berparlimen sahaja yang boleh mengelakkan pertembungan perkauman. Sebarang bentuk kerajaan yang lain hanya akan membawa kepada syak wasangka perkauman.

(h) bahawa komunisme tidak kondusif dalam masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.”

Lima puluh tiga tahun yang lalu pada tahun 1969, saya telah menyatakan kepada pihak polis mengenai rancangan politik saya dan saya telah mendedikasikan lebih setengah abad kehidupan saya kepada komitmen untuk meneruskan kerja politik dalam DAP untuk mewujudkan sebuah negara Malaysia yang tulen, di mana:

(a) di mana semua rakyat, tanpa mengira kaum, bahasa, atau agama, menganggap dirinya sebagai pertamanya rakyat Malaysia dan meletakkan identiti kaum di tempat kedua;

(b) di mana rakyat Malaysia dari semua kaum mempunyai lebih banyak persamaan di antara satu sama lain berbanding dengan “saudara sedarah” mereka yang mungkin berada di China Merah/Nasionalis, India, atau Indonesia. Melainkan kita berjaya mencapai matlamat ini, Malaysia tidak boleh dikatakan sebagai telah menjadi “sebuah Negara Rakyat Malaysia”.

Saya telah berjanji, di luar dan di dalam Parlimen, tema saya dan DAP adalah:

(a) bahawa semua rakyat Malaysia perlu mempunyai kesedaran Malaysia;

(b) untuk bekerjasama menjadi Malaysia sebuah negara yang bersatu padu, harmoni, dan makmur.”

Saya sentiasa berpegang kepada idealisme dan komitmen ini sejak dari tahun 1969.

Dalam Hari Kebangsaan 2022 ini, terdapat ancaman bahaya baharu dalam negara.

Ada pihak-pihak yang terdesak yang kini sedang cuba menyekat negara kita dari kembali kepada prinsip dan dasar pembinaan negara yang asas yang termaktub dalam Perlembagaan dan Rukun Negara – raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, tadbir urus baik, integriti awam, meritokrasi, hormat kepada hak asasi manusia, dan perpaduan kebangsaan dari masyarakat pelbagai kaum, bahasa, agama, dan budaya kita, di mana tidak ada perbezaan rakyat kelas pertama atau kelas kedua sama ada mengikut acuan kaum, agama, atau kawasan.

Rakyat Malaysia perlu menyokong kenyataan bersama sembilan orang bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia yang menyata sokongan penuh terhadap presiden Majlis Peguam, Karen Cheah, atas usahanya untuk mempertahankan kebebasan sistem kehakiman dalam “masa yang tidak menentu” ini dan dalam mempertahankan “hakim-hakim yang berani kerana memenuhi sumpah jawatan mereka tanpa rasa takut atau pilih kasih”.

Saya menasihati mana-mana peguam yang berfikir untuk merendah-rendahkan prinsip kebebasan sistem kehakiman dan doktrin pemisahan kuasa untuk berhenti berbuat demikian secara serta merta untuk mengelakkan dari memalukan diri mereka sendiri.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri