Hukuman mati untuk Azilah Hadri dan Sirul Azhar patut digantikan dengan hukuman penjara seumur hidup sebagai pertukaran untuk pengakuan mereka mengenai siapa yang mengarahkan mereka membunuh warga Mongolia, Altantuyaa Shaariibuu

Wartawan Malaysiakini, Hariz Mohd, hari ini telah mengatakan dalam satu laporan yang bertajuk “LCS: Laporan audit dedah perjanjian ‘luar biasa’ sebelum kontrak diberi” bahawa dua audit berasingan yang dibuat mengenai proses perolehan enam kapal tempur pesisir (LCS) untuk pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mendedahkan yang mungkin terdapat perjanjian di antara pihak kontraktor utama dan pembina kapal berkontroversi, DCNS, sebelum pihak kerajaan mengeluarkan kontrak ini.

Perkara ini dikatakan berdasarkan sebut harga yang dikeluarkan oleh pihak DCNS kepada Boustead Naval Shipyard (BNS) yang bertarikh 23 Disember 2010, setahun sebelum kerajaan menganugerahkan kontrak LCS ini kepada BNS.

DCNS, yang kini dikenali sebagai Naval Group, adalah sebuah syarikat yang berasas di Perancis yang telah membangunkan reka bentuk kapal tentera laut Gowind, yang merupakan reka bentuk yang diluluskan oleh Menteri Pertahanan ketika itu, Ahmad Zahid Hamidi, pada tahun 2011 walaupun dengan bantahan pihak TLDM yang merupakan pengguna akhir kapal ini.

Syarikat ini juga adalah syarikat utama yang sama dalam pembelian berkontroversi dua buah kapal selam kelas Scorpene oleh kerajaan pada tahun 2002.

Menurut audit yang dijalankan untuk pihak Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC), sebut harga yang dikeluarkan oleh DCNS ini “luar biasa” dan menunjukkan yang perjanjian ini “telah disusun” di antara pihak vendor dan “sesetengah pihak berkepentingan di BHIC/BNS yang memegang kedudukan dalam proses membuat keputusan”.

Dapatan yang sama juga ditunjukkan dalam laporan audit yang disediakan oleh Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan (JKSTUPKK) LCS yang dipengerusikan oleh bekas ketua audit negara, Ambrin Buang.

Perlu ada penyiasatan untuk menentukan sama ada skandal LCS yang melibatkan RM9 billion ini mempunyai apa-apa kaitan dengan skandal Scorpene atau dengan pembunuhan warga Mongolia, Shaariibuu Altantuya, di Shah Alam pada 18 Oktober 2006.

Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, yang telah disabitkan bersalah kerana membunuh Altantuyaa selepas perbicaraan selama 159 hari dan dijatuhkan hukuman mati. Hukuman mati mereka patut digantikan dengan hukuman penjara seumur hidup sebagai ganti dengan pengakuan mereka mengenai siapa yang telah memberikan arahan kepada mereka untuk membunuh Altantuyaa.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri