Satu peluang baharu untuk mengembalikan negara kepada prinsip dan dasar asal pembinaan negara bangsa seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan Rukun Negara untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia
Malaysia kini berusia 65 tahun – dalam satu titik kritikal, sama ada kita terus mundur dan ditinggalkan di belakang lebih banyak negara, atau kita perbetulkan hala tuju untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia.
Pemenjaraan seorang bekas Perdana Menteri memang menyedihkan, namun perkara ini adalah satu petanda jelas yang Malaysia boleh bergerak ke hadapan ke arah penetapan semula untuk kembali kepada prinsip dan dasar pembinaan negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan Rukun Negara untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia.
Rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan, tidak boleh membazirkan peluang untuk bersama menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia berasaskan kepada prinsip-prinsip pembinaan negara yang termaktub dalam Perlembagaan dan Rukun Negara – raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, tadbir urus baik, integriti awam, meritokrasi, hormat kepada hak asasi manusia, dan perpaduan kebangsaan dari masyarakat pelbagai kaum, bahasa, agama, dan budaya kita, di mana tidak ada perbezaan rakyat kelas pertama atau kelas kedua sama ada mengikut acuan kaum, agama, atau kawasan.
Mesej yang jelas pada Hari Merdeka ini adalah bahawa Malaysia boleh diselamatkan dari menjadi sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, atau sebuah negara gagal, dan rakyat Malaysia perlulah menggunakan nilai terbaik dari empat tamadun hebat yang bertemu di tanah ini untuk mewujudkan sebuah negara hebat bertaraf dunia.
Terdapat usaha untuk melemahkan prinsip asas negara ini, tetapi, kita tidak boleh biarkan usaha ini dari berjaya.
Presiden UMNO, Zahid Hamidi, berada di barisan hadapan cubaan ini. Dia patut menjelaskan mengapa dia tidak menjadi seorang saksi dalam kes SRC Najib Razak memandangkan dia telah mendakwa yang di telah berjumpa dengan keluarga Arab kaya yang menderma kepada akaun peribadi Najib.
UMNO hari ini bukanlah UMNO yang sama yang empat presiden terawal UMNO, Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Razak Hussein, dan Hussein Onn, dapat kenali atau bersetuju dengan perjuangannya.
UMNO hari ini membiarkan terjadinya skandal 1MDB, skandal LCS, dan pelbagai skandal lain lagi, malah kelihatan bangga Malaysia terkenal di seluruh dunia sebagai sebuah kleptokrasi – satu perkara yang amat memalukan kepada empat presiden terawal UMNO.
Rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan, perlu menyelamatkan Malaysia dari UMNO yang ada pada hari ini.