UMNO pada hari ini telah mengubah sifatnya sehingga keempat-empat presiden UMNO yang terawal, Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Razak Hussein, dan Hussein Onn tidak akan kenal atau bersetuju dengan parti ini

UMNO pada hari ini telah mengubah sifatnya sehingga keempat-empat presiden UMNO yang terawal, Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Razak Hussein, dan Hussein Onn tidak akan kenal atau bersetuju dengan parti ini.

Tidak ada seorang pun dari kalangan mereka ini yang akan menerima Malaysia terkenal sebagai sebuah kleptokrasi di seluruh dunia, apatah lagi “kleptokrasi dalam bentuk yang terburuk”.

Pada tahun 1979, dalam Perhimpunan Agung UMNO, Perdana Menteri ketika itu, Hussein Onn, memberikan amaran yang Malaysia akan musnah sekiranya pemimpinnya “tidak jujur, tidak boleh dipercayai, dan korup” dan menyatakan harapannya agar skandal Bank Rakyat ketika itu akan menjadi satu “pengajaran pahit kepada institusi dan agensi kerajaan yang lain termasuklah syarikat dan anak syarikat yang dibentuk oleh kerajaan”.

Namun, amaran Hussein Onn ini tidak diendahkan, dan minggu lepas, seorang pemimpin UMNO yang merupakan Perdana Menteri keenam negara, ke penjara untuk menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda sebanyak RM210 juta.

Dari skandal Bank Rakyat yang melibatkan RM100 juta pada tahun 1979, kita telah sampai ke skandal 1MDB yang melibatkan RM50 billion tiga dekad kemudian.

Hakikat di mana Tun Razak, bapa Najib dan Perdana Menteri kedua Malaysia, sentiasa sedar untuk melakukan perkara yang betul dalam peranannya sebagai Perdana Menteri dan mengelakkan sebarang bentuk salah guna kuasa atau pecah amanah telah diketahui ramai dengan kisah “kolam renang” yang diceritakan anak bongsunya, Nazir, dalam bukunya yang bertajuk “What’s In A Name” (halaman 51) di mana Nazir menulis:

“Semasa kecil, saya bersama dengan abang-abang saya pernah ke pejabat bapa kami dengan satu permintaan: kami meminta kepadanya untuk membina sebuah kolam renang di dalam perkarangan Seri Taman. Abang sulung saya, Najib, merupakan ketua rombongan ini, mengumpulkan kami semua untuk meyakinkan bapa kami, sambil berdiri di hadapan meja bapa kami di pejabatnya. Bapa saya mendengar cadangan kami ini dengan teliti dan kemudiannya dengan tenang, menolaknya. “Bagaimanakah rupanya,” beliau bertanya, sambil mengangkat keningnya, “sekiranya Perdana Menteri membelanjakan wang rakyat untuk membina sebuah kolam renang untuk keluarganya?”

Razak tidak akan membelanjakan wang rakyat untuk membina sebuah kolam renang untuk keluarganya, tetapi Najib meninggalkan kita bukannya sebuah negara bertaraf dunia, sebaliknya sebuah skandal 1MDB yang terkenal di seluruh dunia.

Menurut Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz, setakat 30 Jun 2022, hutang 1MDB masih berbaki RM32.08 billion. Di antara April 2017 sehingga Mei 2022, kerajaan telah menyalurkan bantuan kewangan dalam bentuk pinjaman dan pendahuluan kewangan yang berjumlah RM10.85 billion melalui Kementerian Kewangan dan Minister of Finance Incorporated (MoF Inc) untuk membayar komitmen hutang dan faedah 1MDB.

Setakat 30 Jun 2022, jumlah dana 1MDB yang berjaya didapatkan semula berjumlah RM19.28 billion dalam bentuk pelbagai matawang asing, termasuklah Dolar Amerika Syarikat, Dolar Singapura, dan Dolar Australia.

Najib berhadapan dengan empat lagi kes jenayah yang sedang berlangsung yang berkaitan dengan 1MDB dan rasuah, yang pastinya akan menyebabkan kekecewaan kepada bapanya, Tun Razak, sekiranya beliau masih hidup hari ini.

Apa yang lagi menyeramkan lagi, negara kita sedang menyaksikan satu lagi skandal seperti 1MDB – skandal kapal tempur pesisir (LCS) yang melibatkan RM9 billion (yang mungkin akan memakan belanja sehingga RM11.145 billion untuk menyiapkan ke semua enam LCS, menurut pengiraan laporan JKSTUPKK Ambrin).

Satu lagi perkara yang empat presiden terawal UMNO tidak akan kenal dan bersetuju mengenai UMNO hari ini adalah serangan yang dibuat UMNO terhadap kedaulatan undang-undang dan kebebasan kehakiman.

Dalam dekad terawal negara kita, Malaysia mempunyai Presiden Mahkamah Agung yang merupakan tokoh-tokoh perundangan, seperti Suffian, Azlan Shah, dan Salleh Abas, kemudian disusuli dengan satu tempoh gelap di mana doktrin pemisahan kuasa dan prinsip kebebasan cabang kehakiman berada di bawah satu awan gelap. Pemenjaraan Najib pada hari Selasa lepas menandakan era baharu di mana cabang Kehakiman menunjukkan yang mereka tidak takut untuk memainkan peranan bebas mereka di bawah pimpinan Ketua Hakim Tengku Maimun Tuan Mat.

Empat presiden terawal UMNO tidak akan menyerang kebebasan cabang kehakiman seperti mana yang dilakukan oleh pemimpin UMNO pada malam Sabtu lepas.

Adakah Zahid cuba menyelamatkan dirinya sendiri, atau Najib, apabila dia mendesak supaya pilihan raya umum diadakan segera dan berkempen supaya Najib diampunkan?

Memandangkan Najib masih berhadapan dengan empat lagi perbicaraan jenayan, adakah akan ada kempen “pengampunan” untuk setiap sabitan Najib?

Zahid bercakap mengenai kegusarannya tentang hakisan integriti sistem kehakiman dan kes SRC International Najib ini kononnya akan dirujuk oleh negara-negara Komanwel sebagai satu contoh perbicaraan yang tidak adil.

Bilakah Zahid mula risau tentang reputasi Malaysia di peringkat dunia, sama ada mengenai kebebasan sistem kehakiman atau reputasi Malaysia sebagai sebuah kleptokrasi?

Sebagai permulaan, sekiranya Zahid peduli mengenai pandangan dunia terhadap Malaysia, adakah dia akan menjelaskan, mengapa dia sebagai Menteri Pertahanan pada tahun 2011 telah mengubah keputusannya sendiri yang dibuat mengikut cadangan pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk menempah enam buat LCS Sigma buatan Belanda – memilih untuk menempah LCS Gowind buatan Perancis oleh syarikat pengeluar Scorpene dalam masa tiga hari tanpa merujuk dahulu perkara ini dengan pihak TLDM sebagai pengguna akhir kapal ini – yang menjadi punca utama masalah skandal LCS yang melibatkan RM9 billion ini?

Najib dan UMNO telah melakukan empat dosa besar dalam politik Malaysia yang tidak akan dilakukan oleh empat presiden terawal UMNO, iaitu:

  1. Skandal 1MDB melibatkan RM50 billion dan pelbagai skandal lain semasa pemerintahan Najib;
  2. Kempen Malu Apa Bossku selepas UMNO dijatuhkan dari kuasa pada tahun 2018;
  3. Membiarkan rasuah seperti skandal 1MDB; dan
  4. Serangan jahat terhadap pihak kehakiman.

Adakah UMNO mampu untuk kembali kepada prinsip pembinaan negara seperti yang diterapkan oleh tokoh kemerdekaan negara dalam Perlembagaan dan Rukun Negara, sedangkan UMNO hari ini tidak lagi menjaga kepentingan orang Melayu mahupun rakyat Malaysia, sebaliknya hanya mementingkan kepentingan UMNO-putra?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri