Zahid patut memberi penjelasan mengapa dia tidak memberikan gambaran penuh kepada pemimpin dan ahli UMNO mengenai peranan dia dan Najib dalam skandal LCS yang melibatkan RM9 billion

Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, perlu memberi penjelasan mengapa dia tidak memberikan gambaran penuh kepada pemimpin dan ahli UMNO mengenai peranan dia dan Najib dalam skandal kapal tempur pesisir (LCS) yang melibatkan RM9 billion – yang kini kelihatan seperti skandal 1MDB baharu untuk Malaysia.

Saya bersetuju dengan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP yang juga merupakan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, yang mengatakan bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Najib Razak, dan Zahid, sebagai Menteri Pertahanan ketika itu, tidak boleh menolak tanggungjawab ke atas skandal LCS ini.

Dia mengatakan: “Perkara ini betul memandangkan sejumlah RM1.02 billion telah dibayar untuk mobilisasi tanpa sebarang hasil dalam projek bernilai RM9 billion ini.”

Malah, perkara ini adalah satu-satunya kesimpulan dari dua laporan yang dinyahrahsiakan mengenai skandal LCS ini, Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan, dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) LCS dan laporan audit forensik perolehan LCS (2011-2014) yang dijalankan oleh Alliance IFA (M) Sdn Bhd.

Kerana inilah amat tidak jujur untuk Zahid mengatakan tiga minggu lalu yang dia tidak patut dipersalahkan atas perolehan LCS ini kerana dia mendakwa yang dia bukanlah Menteri Pertahanan semasa kontrak perolehan projek ini dianugerahkan.

Zahid tidak mempunyai sebarang jawapan apabila saya menunjukkan yang dia, sebagai Menteri Pertahanan pada bulan Julai 2011, telah mengubah keputusannya sendiri yang dibuat mengikut cadangan oleh pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk menempah enam buat LCS Sigma buatan Belanda kepada enam buat LCS Gowind buatan Perancis yang dibina oleh syarikat yang sama yang membina Scorpene dalam masa tiga hari tanpa merujuk perkara ini dengan pihak TLDM terlebih dahulu.

Malah, kontrak LCS yang bernilai RM9 billion ini amat mengutamakan pihak kontraktor dan bukannya kepentingan pengguna akhir sehingga pihak Tentera Laut hanya tahu mengenai pertukaran keputusan ini selepas dimaklumkan oleh pihak kontraktor.

Tidak terkejutlah apabila Panglima Tentera Laut ketika itu, Laksamana Abdul Aziz Jaafar mengatakan dalam 10 surat bantahannya – lima dihantar kepada Menteri Pertahanan, dua kepada Perdana Menteri, semuanya tidak diendahkan – bahawa “tidak ada duluan untuk reka bentuk ditentukan oleh kontraktor utama dan bukannya pengguna akhir”.

Abdul Aziz mengatakan, “ada sesuatu yang sangat tidak kena” memandangkan pihak tentera laut, dan bukannya kontraktor yang sepatutnya menetapkan terma kontrak LCS, tetapi pihak TLDM sedang melawan satu “perlawanan yang sia-sia”.

Bolehkah Zahid jelaskan perkara ini sekarang?

Adakah ini sebabnya Pemuda UMNO bersetuju untuk ditubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat perkara ini sedangkan dia sendiri tidak bersetuju walaupun dia tidak mengumumkan perkara ini secara terbuka?

Malah, kejadian luar biasa di mana Menteri Pertahanan berpihak dengan kontraktor dan bukannya pengguna akhirnya, TLDM, ini bukan sahaja tidak ada duluan dalam sejarah tentera laut dunia, tetapi menjadikan Rancangan Tentera Laut Diraja Malaysia 2020 untuk mempunyai lima buat LCS setakat ini satu perkara sia-sia.

Sesiapa yang meneliti laporan yang dinyahrahsia mengenai skandal LCS ini akan berasa bimbang dengan persoalan mengapa Menteri Pertahanan ketika itu mengubah keputusannya sendiri dan memilih untuk berpihak kepada kontraktor dalam proses perolehan terbesar dalam sejarah tentera laut negara.

Adakah Zahid diarahkan berbuat demikian oleh Najib, yang merupakan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu?

Hanya sebuah RCI yang dapat untuk mendedahkan peranan Najib dalam skandal LCS ini.

Zahid tidak boleh melepaskan tanggungjawab terhadap skandal LCS ini kepada penggantinya, Hishammuddin Hussein, yang menjadi Menteri Pertahanan selepas Pilihan Raya Umum ke-13. Walaupun kontrak LCS ini dimeterai pada 17 Julai 2014 sedangkan ia patut dimeterai sebelum 16 April 2012, kebanyakan kejadian rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa, dan penipuan besar-besaran ini berlaku semasa Zahid menjadi Menteri Pertahanan.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri