Malaysia Baharu adalah satu perjuangan yang masih hidup, tetapi ia bukanlah perjuangan yang mudah – kita hanya telah mengorak langkah pertama dalam perjalanan panjang dan tidak menentu untuk mencapai keadilan, kebebasan, dan kehormatan untuk semua rakyat Malaysia
Saya telah katakan bahawa dengan pemenjaraan bekas Perdana Menteri, Najib Abdul Razak, kini terdapat cahaya di hujung terowong, untuk Malaysia kembali kepada prinsip pembinaan negara bangsa seperti yang diterapkan dalam Perlembagaan dan Rukun Negara oleh tokoh kemerdekaan negara – prinsip raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, tadbir urus baik, integriti awam, meritokrasi, hormat terhadap hak asasi manusia, dan perpaduan masyarakat majmuk pelbagai kaum, bahasa, agama, dan budaya di Malaysia, di mana tidak ada perbezaan di antara rakyat kelas pertama atau kelas kedua berasaskan kaum, agama, atau kawasan.
Tidak semua orang bersetuju. Ada mereka yang tidak nampak apa-apa cahaya di penghujung terowong dan juga mereka yang amat pesimis, mereka jangka cahaya tersebut akan mati sebelum kita mencapai penghujung terowong ini.
Saya tidak bersetuju dengan mereka ini dan saya berharap jangkaan pesimis ini tidak tepat.
Saya kekal dengan pandangan saya, tetapi walaupun saya menekankan yang masih ada harapan untuk Malaysia Baharu ini, perjuangan untuk merealisasikannya bukanlah satu perjuangan yang mudah. Kita baru sahaja mengorak langkah pertama dalam perjalanan panjang dan sukar untuk mengejar keadilan, kebebasan, dan kehormatan untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan.
Kejadian dalam lima hari yang lepas hanya menguatkan lagi pandangan bahawa Malaysia Baharu belum menjadi kenyataan, sebaliknya, merupakan kerja yang perlu diusahakan.
Namun, menjadi sangat signifikan untuk cabaran yang dihadapi rakyat Malaysia ini ditonjolkan pada ambang sambutan kemerdekaan ke-65 negara.
Tiga isu besar yang menjadi tumpuan rakyat Malaysia dalam bulan Ogos 2022, rasuah dalam skandal kapal tempur pesisir (LCS) yang didedahkan oleh laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan disusuli dengan penerbitan dua laporan mengenai skandal LCS oleh Kabinet; kedaulatan undang-undang; dan doktrin pemisahan kuasa.
Adakah Malaysia sedang menjadi negara yang kurang korup? Petanda yang ditunjukkan agak membimbangkan, kerana kelihatan seperti ada satu lagi skandal seperti 1MDB yang baru dalam bentuk skandal LCS yang melibatkan RM9 billion (yang mungkin akan memakan belanja lebih dari RM11.145 billion yang dijangkakan oleh Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan, dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan oleh Ambrin Buang) dan juga cubaan untuk menutup skandal LCS ini.
Adakah Parlimen ke-14 akan digunakan untuk menutup skandal LCS yang melibatkan RM9 billion (atau lebih dari RM11 billion) seperti mana Parlimen ke-13 digunakan untuk menutup skandal 1MDB?
Adakah doktrin pemisahan kuasa di antara pihak Eksekutif, Legislatif, dan Kehakiman akan dipulihkan seperti yang diniatkan dan diterapkan oleh tokoh kemerdekaan negara dalam Perlembagaan dan Rukun Negara?
Inilah isu-isu utama Impian Malaysia.
Saya kini berusia 81 tahun dan mempunyai seorang rakan sekelas dari Batu Pahat yang berada dalam keadaan kesihatan yang sangat tidak baik, sehingga beliau tidak pastu sama ada beliau akan hidup untuk menyambut ulang tahun ke-80nya.
Saya mengucapkan tahniah kepadanya pada hari Khamis lepas sempena hari ulang tahun ke-80 beliau.
Namun, perjuangan untuk Malaysia Baharu kini perlu digalas oleh generasi muda rakyat Malaysia.
Impian yang diimpikan oleh saya dan rakan sekelas saya ketika kami berada dalam Tingkatan III semasa Malaya mencapai Kemerdekaannya pada 31 Ogos 1957 dan kemudiannya kita Malaysia dibentuk, untuk menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu” dan sebuah negara hebat yang bertaraf dunia perlu disambut oleh generasi baharu pemuda Malaysia.
Impian saya 50 tahun yang lepas supaya mereka yang berusia 18 tahun diberikan hak untuk mengundi akhirnya telah tercapai, dan saya berharap untuk melihat golongan muda di Malaysia, yang berusia di antara 18 ke 21 tahun menjadi Ahli Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 dan memperjuangkan keadilan, kebebasan, dan kehormatan untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan.
Suara-suara di dalam UMNO semalam, yang menuntut diadakan pilihan raya umum secepat mungkin dan pengampunan untuk Najib Razak, tanpa sebarang rasa penyesalan terhadap skandal 1MDB atau skandal-skandal rasuah yang lain, merupakan satu perkara yang amat bertentangan dengan prinsip yang dipegang oleh tokoh pembinaan negara, termasuklah bapa Najib sendiri, Tun Razak.
Kita perlu menolak sebarang bentuk ekstremisme, baik yang berteraskan perkauman mahupun keagamaan.
Di Arab Saudi, terdapat berita di mahkamah rayuan jenayah khas di Riyadh yang telah menghukum Sheikh Saleh Al Talkib – seorang bekas imam yang terkenal di Masjidil Haram, Makkah – dengan hukuman penjara 10 tahun kerana ceramahnya yang mengutuk perhimpunan awam secara bercampur.
Tetapi di Malaysia, kita ada presiden PAS yang mendakwa golongan bukan-Islam dan bukan-Bumiputera sebagai “punca rasuah” dalam negara.
Golongan muda di Malaysia perlu berada di barisan hadapan untuk menyelamatkan Malaysia dari menjadi sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, atau sebuah negara gagal dengan menetapkan semula prinsip-prinsip dan dasar-dasar pembinaan negara bangsa untuk memastikan anak-anak dan cucu-cucu kita dapat menikmati kehidupan dan peluang yang lebih baik, baik dari segi ekonomi, pendidikan, sosial, mahupun politik.
Selama hampir setengah abad, kita terus menerus ditinggalkan di belakang satu demi satu negara.
Bolehkah kita berubah dan berhenti dari terus ditinggalkan di belakang negara-negara lain dalam tahun-tahun dan dekad yang akan datang?
Bolehkah kita menemui semula semangat harapan dan cabaran dalam pilihan raya umum 2018 untuk terus mendesak dan membawa perubahan dan kecemerlangan di Malaysia dalam pilihan raya umum ke-15, untuk menyelamatkan Malaysia supaya negara kita ini dapat menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia?
Inilah cabarannya untuk semua rakyat Malaysia, terutamanya golongan muda, tanpa mengira kaum, agama, atau jantina!