Azam Baki dilihat bakal menjadi ketua agensi anti rasuah terburuk dalam setengah abad sejarah negara – dengan skandal LCS yang melibatkan RM9 billion menjadi kegagalan terbesarnya walaupun dia mempunyai akses terhadap Laporan Ambrin dan laporan audit forensik skandal LCS selama lebih dari dua tahun

Azam Baki dilihat bakal menjadi ketua agensi anti rasuah terburuk dalam setengah abad sejarah negara – dengan skandal kapal tempur pesisir (LCS) yang melibatkan RM9 billion menjadi kegagalan terbesarnya walaupun dia mempunyai akses terhadap Laporan Ambrin dan laporan forensik audit skandal LCS selama lebih dari dua tahun.

Rakyat Malaysia berhak untuk tahu apa yang Azam telah buat dengan kedua-dua laporan ini – laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan, dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) LCS yang dipengerusikan oleh ketua audit negara ketika itu, Ambrin Buang, dan juga laporan audit forensik perolehan LCS (2011-2014) yang dijalankan oleh Alliance IFA (M) Sdn Bhd untuk Boustead Heavy Industries Corp Bhd (BHIC) yang mengandungi pelbagai perkara yang boleh membawa kepada pertuduhan rasuah – di mana kejadian-kejadian rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah, salah laku, dan penipuan secara besar-besaran telah diberikan di atas “dulang emas” kepada SPRM di dalam kedua-dua laporan ini.

Selepas Najib Razak dipenjarakan, bekas pengarah bahagian operasi khas SPRM, Bahri Mohd Zin mengimbau kembali bagaimana pada tahun 2015 dia dan pasukannya berada di bawah tekanan yang kuat apabila mereka menyiasat kes SRC, di mana mereka difitnah, diugut, dan ditawarkan rasuah untuk menghentikan siasatan mereka.

Bahri mengatakan: “Apa yang saya tidak akan boleh lupakan adalah apabila timbalan pendakwa raya SPRM dan beberapa orang pegawai bahagian operasi khas ditahan dan difitnah.

“Saya berasa amat keseorangan apabila pegawai-pegawai saya dizalimi, dan saya sendiri dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri ketika itu.”

Pada tahun 2015, siasatan SPRM ke atas kes SRC diganggu apabila pihak polis menggeledah pejabat mereka, menangkap beberapa orang pegawai Bahri yang merupakan sebahagian daripada pasukan penyiasat dan mereman timbalan pendakwa raya suruhanjaya tersebut.

Adakah SPRM di bawah Azam Baki kini bebas untuk menyiasat dan bertindak terhadap skandal LCS yang melibatkan RM9 billion ini atau adakah SPRM kini kembali seperti pada era skandal 1MDB dalam dekad yang lepas?

Apa yang paling membimbangkan mengenai kedua-dua laporan ini – yang baru-baru ini dinyah-rahsiakan oleh Kabinet, tetapi telah tersedia kepada pihak SPRM selama lebih dari dua tahun – adalah gambaran bahawa terdapat “jerung yang amat besar” di sebalik skandal ini, yang kini kelihatan seperti satu skandal 1MDB yang baharu.

Adakah SPRM telah menyiasat siapakah “jerung besar” di sebalik skandal LCS ini?

Kepentingan negara memerlukan pendedahan “jerung besar” di sebalik skandal LCS yang melibatkan RM9 billion ini dan perkara ini adalah tanggungjawab SPRM.

Sekiranya Azam tidak mampu menjalankan tanggungjawab ini, dia patut meletakkan jawatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Sementara itu, saya masih menanti jawapan daripada Azam Baki mengenai mengapa tiga pertuduhan terhadap bekas pengarah urusan Boustead Heavy Industries Corp Bhd, Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor, tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan skandal LCS, kerana pertuduhan ini adalah untuk perkara yang berlaku sebelum pengeluaran Surat Anugerah (LOA) kontrak perolehan LCS yang dikeluarkan pada 16 Disember 2011.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri