Adakah Hishammuddin bersedia untuk membentangkan laporan kemajuan projek LCS yang bernilai RM9 billion kepada Parlimen pada 3 Oktober

Saya bersetuju dengan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaacob, bahawa tidak luar biasa untuk hari pembentangan belanjawan ditetapkan pada awal bulan Oktober, kerana pada zaman Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi, hari pembentangan belanjawan sentiasa diadakan pada bulan September.

Ismail memang tepat, memandangkan hari belanjawan semasa pentadbiran Abdullah semuanya berlangsung dalam bulan September:

10 September 2004 30 September 2005 7 September 2006 1 September 2007 7 September 2008

Malah, dalam penggal terakhir pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad dari tahun 2000 sehingga 2003, Hari Belanjawan di Parlimen semua diadakan pada bulan September.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Wan Junaidi Tuanku Jaafar, telah mengesahkan yang Parlimen akan bersidang semula pada 3 Oktober dan perubahan takwin Parlimen ini tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan pengadaan pilihan raya umum yang lebih awal.

Adakah Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein, bersedia untuk membentangkan laporan kemajuan pertama projek kapal tempur pesisir (LCS) yang bernilai RM9 billion kepada Parlimen, yang kini semakin lama semakin kelihatan seperti satu skandal 1MDB yang baharu?

Hishammuddin telah mengatakan yang dia akan memberikan laporan jadual dan kemajuan projek pembinaan LCS ini secara berperingkat.

Hishammuddin telah diberikan enam bulan oleh Kabinet pada bulan April untuk menggerakkan usaha untuk menghidupkan semula projek ini – dan tempoh enam bulan ini akan berakhir menjelang Oktober.

Adakah Hishammuddin kini bersedia untuk menghantar laporan pertamanya ini pada hari pertama persidangan Parlimen pada 3 Oktober?

Hishammuddin perlu menjelaskan kepada Parlimen, mengapa Kementerian Pertahanan telah mengurangkan jumlah LCS yang perlu disiapkan tanpa dana tambahan dari kerajaan – dari dua buat LCS kepada hanya sebuah.

Semasa Hishammuddin hadir di hadapan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 25 Januari 2022, dia bercakap mengenai “penstrukturan semula korporat” untuk kontrak LCS yang bernilai RM9 billion dan pihak kontraktor, Boustead Naval Shipyard, perlu menyiapkan dua buah LCS tanpa sebarang kos tambahan kepada kerajaan.

Hishammuddin juga perlu menjelaskan kepada Parlimen, mengapa dia gagal untuk meyakinkan Kabinet untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat skandal LCS yang melibatkan RM9 billion ini.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri