Azam Baki patut meletakkan jawatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM sekiranya dia tidak dapat menjelaskan mengapa SPRM tidak bertindak terhadap sesiapa pun dalam skandal LCS sedangkan badan tersebut telah menerima laporan audit forensik skandal LCS yang mengandungi pelbagai tuduhan rasuah selama lebih dari dua tahun

Azam Baki patut meletakkan jawatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya dia tidak dapat menjelaskan mengapa SPRM tidak mengambil tindakan terhadap sesiapa pun dalam skandal kapal tempur pesisir (LCS) yang melibatkan RM9 billion sedangkan badan tersebut telah menerima laporan audit forensik skandal LCS yang mengandungi pelbagai perkara yang boleh membawa kepada dakwaan rasuah selama lebih dari dua tahun.

Azam Baki tidak menafikan yang SPRM telah memiliki laporan audit forensik yang dijalankan oleh Alliance IFA (M) Sdn Bhd bagi pihak Boustead Heavy Industries Corp Bhd (BHIC) selama lebih dari dua tahun yang mengandungi pelbagai perkara yang boleh membawa kepada pertuduhan rasuah.

Mengapa, selepas dua tahun menerima laporan audit forensik ini, SPRM masih gagal untuk mendakwa sesiapa pun dalam skandal perolehan tentera laut terbesar dalam sejarah negara ini?

Saya masih menunggu jawapan dari Azam mengenai tiga pertuduhan terhadap bekas pengarah urusan Boustead Heavy Industries Corp, Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor, yang tidak berkaitan sama sekali dengan skandal LCS kerana tuduhan-tuduhan ini adalah mengenai perkara yang terjadi sebelum pengeluaran Surat Anugerah (LOA) kontrak perolehan LCS yang bernilai RM9 billion pada 16 Disember 2011.

Membaca bahagian “transaksi meragukan” dalam laporan audit forensik skandal LCS dari tahun 2011 ke tahun 2014, malah dengan 10 muka surat digelapkan, menimbulkan persoalan yang amat jelas kepada para pembaca: mengapa SPRM masih tidak mendakwa sesiapa pun mengenai skandal LCS ini selepas dua tahun!

Skandal LCS yang melibatkan RM9 billion ini adalah skandal 1MDB yang baharu, kerana laporan audit forensik ini menunjukkan keadaan di mana hanya seekor “jerung” yang amat besar sahaja yang boleh menyusun skandal mega sebegini.

Adakah SPRM telah menyiasat siapakah “jerung” besar di sebalik skandal LCS ini?

Adakah ini sebabnya Kabinet tidak membentuk Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat skandal ini, bimbang yang “jerung” besar di sebalik skandal ini akan terdedah?

Kepentingan negara memerlukan “jerung” besar di sebalik skandal LCS yang melibatkan RM9 billion ini didedahkan, dan kerana inilah, RCI perlu dibentuk.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri