Dengan pemenjaraan Najib, terdapat cahaya di hujung terowong supaya Malaysia tidak menjadi sebuah negara gagal seperti Sri Lanka
Pelancaran projek NFT Langkah Sheraton Tony Pua di Pulau Pinang hari ini berlaku dalam satu tempoh masa yang kritikal untuk sejarah negara – selepas 30 bulan yang suram yang penuh perasaan putus asa dan kekecewaan selepas konspirasi Langkah Sheraton yang menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan selepas 22 bulan pada Februari 2020, kini, terdapat sinar cahaya di hujung terowong untuk Malaysia menjadi sebuah negara gagal seperti Sri Lanka selepas pemenjaraan bekas Perdana Menteri, Najib Razak.
Terdapat harapan yang hala tuju Malaysia dapat ditetapkan semula dan kita boleh betulkan semula kesilapan dalam setengah abad usaha membina negara sebelum ini, di mana kita telah terpesong dari prinsip asas yang dipersetujui tokoh penubuhan negara seperti di dalam Perlembagaan dan Rukun Negara – negara beraja berperlembagaan, demokrasi berparlimen, doktrin pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, tadbir urus baik, integriti awam, meritokrasi, hormat terhadap hak asasi manusia, dan perpaduan negara dari masyarakat majmuk pelbagai kaum, bahasa, agama, dan budaya di mana tidak ada perbezaan di antara rakyat kelas pertama atau rakyat kelas kedua, sama ada berasaskan kaum, agama, atau kawasan.
Prinsip pembinaan negara yang telah diterapkan dalam Perlembagaan dan Rukun Negara ini adalah formula untuk kejayaan Malaysia sebagai sebuah negara hebat bertaraf dunia, manakala sebarang pemesongan dari prinsip ini hanya akan membawa kepada kegagalan Malaysia sebagai sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, dan sebuah negara gagal.
Tidak ada sesiapa pun yang pasti sama ada Najib akan ke penjara kerana peranannya dalam skandal mega 1MDB – yang telah memburukkan nama negara di seluruh dunia sebagai sebuah negara kleptokratik – kerana hakisan prinsip-prinsip pembinaan negara bangsa ini telah merebak luas dan berakar dalam sistem negara sehingga ramai rakyat Malaysia tertanya, sama ada prinsip-prinsip asas seperti kedaulatan undang-undang, kebebasan badan kehakiman, dan tadbir urus baik dalam memerangi rasuah masih wujud di Malaysia.
Najib ke penjara menunjukkan yang prinsip-prinsip ini masih belum terhakis sepenuhnya, institusi-institusi negara masih boleh diselamatkan, dan masih ada harapan untuk masa hadapan untuk semua rakyat Malaysia.
Malaysia percaya dengan doktrin pemisahan kuasa di antara pihak eksekutif, legislatif, dan kehakiman.
Tetapi, dalam setengah abad yang lepas, terdapat sebuah cabang Eksekutif yang amat berkuasa yang telah melemahkan kedua-dua cabang legislatif dan kehakiman, membawa kepada penutupan banyak skandal dan salah guna kuasa, dengan negara kita terus menerus ditinggalkan di belakang satu demi satu negara dalam pelbagai bidang yang diceburi manusia.
Parlimen ke-13 misalnya, telah digunakan untuk menutup skandal 1MDB dan sekiranya bukan kerana keajaiban politik pada 9 Mei 2018 dalam Pilihan Raya Umum ke-14, yang menumbangkan hegemoni politik UMNO-BN, Malaysia masih tidak akan mengakui mengenai kewujudan skandal 1MDB dan kleptokrasi di Malaysia.
Saya telah memberitahu seorang bekas hakim semasa majlis penghormatan terakhir Dr. Chen Man Hin, bahawa negara kita telah berpusing sepenuhnya, dan kini tanggungjawab terletak kepada para hakim untuk menyelamatkan prinsip-prinsip pembinaaan negara seperti yang diilhamkan oleh tokoh penubuhan negara kita, terutamanya yang berkaitan dengan kedaulatan undang-undang, doktrin pemisahan kuasa, dan tadbir urus baik.
Terdapat kerisauan di seluruh negara sebelum ini kerana tidak ada sesiapa pun yang pasti dengan keputusan rayuan SRC Najib di Mahkamah Persekutuan.
Namun, dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada hari Selasa lepas, awam gelap kekecewaan dan perasaan putus asa ini mula berkurangan dan cahaya di penghujung terowong semakin dapat dilihat.
Kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan sebelum ini hanyalah langkah pertama dalam perjuangan panjang untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia kerana tidak ada mana-mana pun dalam dunia di mana kita dapat mencapai perkara yang dijanjikan untuk dicapai dalam masa lima tahun dalam masa hanya 22 bulan.
30 bulan yang lepas selepas Langkah Sheraton menunjukkan yang kita perlulah kembali kepada prinsip yang diterapkan tokoh-tokoh penubuhan negara sekiranya kita mahu Malaysia memenuhi matlamatnya untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia – dan rakyat Malaysia yang patriotik, baik di dalam atau di luar negara, tidak boleh berputus harapan untuk terus mengejar Impian Malaysia.