Laporan audit forensik Boustead menimbulkan persoalan mengapa SPRM tidak bertindak terhadap sesiapa mengenai skandal LCS yang melibatkan RM9 billion ini walaupun telah diberikan semua bukti dalam dua tahun yang lepas

Laporan audit forensik Boustead mengenai projek kapal tempur pesisir (LCS) ini memang merupakan kisah seram penyalahgunaan kuasa, pecah amanah, penipuan, salah urus, dan rasuah yang melibatkan berbillion ringgit dalam perolehan pertahanan negara. Perkara ini menyebabkan Malaysia berada dalam kategori “D” dalam Indeks Integriti Pertahanan (GDI) terbitan Transparency International, untuk negara berisiko tinggi berlaku rasuah dalam perolehan ketenteraan.

Perkara ini juga menimbulkan persoalan mengenai kegagalan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memerangi rasuah di Malaysia.

Saya memerhatikan ketiga-tiga pertuduhan rasuah terhadap bekas pengarah urusan Boustead Heavy Industries Corp Bhd, Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor, tidak mempunyai kaitan dengan skandal LCS, memandangkan pertuduhan ini adalah untuk perkara yang terjadi sebelum pengeluaran Surat Anugerah (LOA) kontrak LCS yang bernilai RM9 billion yang dikeluarkan pada 16 Disember 2011.

Memandangkan ketiga-tiga pertuduhan ini berkaitan dengan perkara yang terdahulu sebelum kontrak perolehan LCS, perkara ini bermakna, pertuduhan ini berkaitan dengan skandal perolehan yang lain. Saya masih menunggu mengapa SPRM, selepas 10 tahun, masih gagal untuk membawa apa-apa pertuduhan terhadap sesiapa pun mengenai skandal LCS yang melibatkan RM9 billion ini.

Namun, saya terkejut apabila membaca laporan audit forensik perolehan LCS ini.

Laporan audit forensik ini disediakan oleh Alliance IFA (M) Sdn Bhd dan dihantar pada Julai 2020.

SPRM perlu menjelaskan, mengapa mereka belum bertindak terhadap sesiapa pun walaupun telah diberikan bukti-bukti ini dalam dua tahun yang lepas.

Apakah gunanya mempunyai lima jawatankuasa “bebas” untuk meneliti SPRM – Lembaga Penasihat Anti-Rasuah, Jawatankuasa Khas mengenai Rasuah, Jawatankuasa Aduan, Panel Semakan Operasi, dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah – apabila SPRM boleh membuat kesilapan besar sebegini dengan tidak mendakwa sesiapa pun mengenai skandal LCS selepas sedekad.

Saya gusar melihat terlalu banyak keserupaan di antara skandal 1MDB dengan skandal LCS, dan saya katakan yang laporan audit forensik skandal LCS yang melibatkan RM9 billion ini adalah satu “bacaan wajib” untuk setiap rakyat Malaysia yang mahu tahu mengenai perkara terkini yang terjadi di Malaysia.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri