Negara terbahagi di antara mereka yang bertanya “Apakah seterusnya untuk Najib” dan mereka yang bertanya “Apakah seterusnya untuk Malaysia?”
23 Ogos 2022 terbukti menjadi satu hari yang kritikal untuk Malaysia – yang telah membahagikan negara di antara mereka yang bertanya “Apakah seterusnya untuk Najib” dan mereka yang bertanya “Apakah seterusnya untuk Malaysia?”
Mereka yang bertanya “Apakah seterusnya untuk Najib” telah berjanji yang pergerakan “Malu Apa Bossku” akan diteruskan, tanpa menyedari fenomena “Malu Apa Bossku” ini adalah satu perkara keji dan merupakan satu perkara yang buruk untuk Najib sendiri.
Namun, mereka yang bertanya “Apakah seterusnya untuk Malaysia” melihat harapan untuk Malaysia tidak terus menjadi sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, dan sebuah negara yang gagal. Sebaliknya, mereka melihat Malaysia mampu untuk kembali kepada prinsip dan dasar pembinaan negara bangsa seperti yang dimaktubkan dalam Perlembagaan dan Rukun Negara untuk menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu” – prinsip-prinsip beraja berperlembagaan, demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik, integriti awam, meritokrasi, hormat terhadap hak asasi manusia, dan perpaduan negara dalam masyarakat majmuk pelbagai kaum, bahasa, agama, dan budaya di mana tidak ada rakyat kelas pertama atau rakyat kelas kedua, sama ada mengikut perbezaan kaum, agama, mahupun kawasan.
Ogos 2022 adalah satu bulan yang istimewa, kerana banyak perkara yang bersejarah telah berlaku.
Pertamanya, seorang bekas Perdana Menteri dihantar ke penjara atas skandal 1MDB yang melibatkan RM50 billion yang telah dikenali di seluruh dunia, sehingga seorang bekas Peguam Negara AS menggambarkan skandal ini sebagai “kleptokrasi dalam bentuk yang terburuk”.
Keduanya, Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan penerbitan laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan, dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) dan laporan audit forensik yang dilaksanakan oleh Alliance IFA (M) Sdn Bhd mengenai skandal kapal tempur pesisir (LCS) yang melibatkan RM9 billion telah menunjukkan yang kini tidak lagi mungkin untuk menyorokkan skandal gergasi dan kleptokrasi di Malaysia.
Ketiga, pengesahan usaha mencapai keajaiban politik pada 9 Mei 2018 dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang telah menamatkan hegemoni politik UMNO-BN bukanlah satu satu “kebetulan”, tetapi merupakan satu langkah pertama dalam perjalanan yang panjang untuk membawa Malaysia Baharu, dan walaupun kerajaan Pakatan Harapan yang muncul dari Pilihan Raya ini telah ditumbangkan melalui konspirasi Langkah Sheraton selepas 22 bulan, ia telah menyalakan api yang patut diteruskan hidup oleh generasi baharu rakyat Malaysia yang beridealistik dan patriotik.
Keempat, pemergian seorang rakyat Malaysia yang hebat, Dr. Chen Man Hin, Pengerusi pengasas DAP, yang telah banyak berkorban untuk menjalani satu kehidupan yang mulia yang didedikasikan kepada keadilan, kebebasan, dan kehormatan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau agama, yang telah meninggalkan jejaknya dalam sejarah negara, kini berada dalam kalangan tokoh-tokoh hebat Malaysia yang lain seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein Onn, Tun Ismail, Tun Tan Cheng Lock, Tun Sambanthan, dan Tun Fuad Stephens.
Dalam bulan Ogos 2022, tiga isu besar mendominasi negara – kedaulatan undang-undang, kebebasan cabang kehakiman, dan tadbir urus baik dalam melawan rasuah.
Malaysia percaya dengan doktrin pemisahan kuasa di antara pihak eksekutif, legislatif, dan kehakiman.
Dalam setengah abad kewujudan negara, terdapat sebuah cabang Eksekutif yang amat berkuasa yang telah melemahkan kedua-dua cabang legislatif dan kehakiman, dengan negara kita terus menerus ditinggalkan di belakang satu demi satu negara dalam pelbagai bidang yang diceburi manusia.
Saya telah memberitahu seorang bekas hakim semasa majlis penghormatan terakhir Dr. Chen Man Hin, bahawa negara kita telah berpusing sepenuhnya, dan kini tanggungjawab terletak kepada para hakim untuk menyelamatkan prinsip-prinsip pembinaaan negara seperti yang diilhamkan oleh tokoh penubuhan negara kita, terutamanya yang berkaitan dengan kedaulatan undang-undang, doktrin pemisahan kuasa, dan tadbir urus baik.
Beberapa hari yang lepas, saya telah berjumpa dengan Tun Daim Zainuddin, dia menyatakan kekesalannya mengenai Laporan Majlis Penasihat Kerajaan, yang mana dia merupakan Pengerusi, masih belum diterbitkan.
Daim telah direkodkan sebagai mengatakan yang Dasar Ekonomi Baharu (DEB) perlu berubah menjadi sebuah dasar pembangunan negara yang lebih bertumpu kepada pendekatan berasaskan keperluan dan bukannya lagi mengikut kaum.
Dia mengatakan, walaupun DEB ini mempunyai kejayaannya, dasar ini kita penuh dengan kekurangan dan salah guna.
Dia telah mengatakan:
“Sudah tiba masanya untuk pendekatan baharu, untuk mula semula dan betul-betul mengubah kehidupan mereka yang ada di antara kita yang tidak dapat menikmati hasil pembangunan negara. Perbezaannya kini kita perlu menyasarkan rakyat yang paling memerlukan bantuan ini.
“Kita tidak boleh biar bantuan untuk Bumiputera ini daripada terus mengayakan mereka yang telah menerima manfaat dari dasar-dasar, yang mengambil kesempatan dari kekurangan dasar-dasar ini untuk terus mengayakan diri mereka sendiri dengan mengambil apa yang patut membantu orang lain.
“Kita juga perlu mengakui yang walaupun Bumiputera jauh lebih ramai dalam kalangan yang miskin, kaum-kaum lain juga terkesan secara mendalam dengan kemiskinan dan taraf kehidupan yang rendah.”
Untuk rekod, saya juga pernah katakan perkara yang sama setengah abad yang lepas di Parlimen pada 23 Februari 1971.
Bekas penasihat sains kepada perdana menteri, Ahmad Zaharudin Idrus, berpendapat yang Malaysia telah disekat dengan birokrasi dan rasuah – dengan rasuah dilihat telah meresap ke dalam birokrasi di semua peringkat di Malaysia.
Dalam setengah abad yang lepas, Malaysia telah ditinggalkan di belakang Taiwan, Korea Selatan, Singapura, Hong Kong, dan Vietnam.
Adakah kita bakal ditinggalkan di belakang China dan Indonesia sebelum penghujung dekad ini dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) atau Indeks Ketahanan Pertahanan (GDI) terbitan Transparency International?
Adakah kita bakal ditinggalkan di belakang lebih banyak negara dari segi pembangunan ekonomi, malah di belakang Indonesia dan Filipina, menjelang 2040 atau 2050?
Inilah persoalan yang berlegar di fikiran mereka yang bertanya “Apakah seterusnya untuk Malaysia” tetapi tidak terlintas di fikiran mereka yang berfikir mengenai “Apakah seterusnya untuk Najib”.