Selepas tiga kisah seram dalam sejarah 88 tahunnya, TLDM berhak menerima kelegaan sempena Hari Kebangsaan ke-65 dengan penubuhan RCI untuk menyiasat skandal LCS yang melibatkan RM9 billion

Saya mengucapkan tahniah kepada Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein, kerana menyah-rahsiakan dua dokumen mengenai skandal kapal tempur pesisir (LCS) yang melibatkan RM9 billion – laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan, dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) dan laporan audit forensik projek LCS 2010-2014 yang dijalankan oleh Alliance IFA (M) Sdn. Bhd. walaupun laporan-laporan ini diterbitkan dengan pemadaman yang bukan sahaja tidak diperlukan, tetapi bertentangan dengan prinsip akauntabiliti dan ketelusan.

Laporan JKSTUPKK, laporan audit forensik 2010-2014 skandal LCS, dan juga laporan PAC Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai skandal LCS ini merupakan tiga kisah seram untuk pihak TLDM – antara perkara terburuk yang pernah dihadapi oleh TLDM dalam 88 tahun sejarahnya.

Ketiga-tiga laporan yang menjadi “kisah seram” kepada TLDM ini menjadi sebab yang lebih dari mencukupi untuk penubuhan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai skandal LCS ini – dan saya seru Hishammuddin untuk memastikan Kabinet yang bermesyuarat pada hari esok mengambil keputusan rasmi untuk menubuhkan RCI yang patut diketuai oleh seorang hakim atau bekas hakim.

Selepas tiga kisah seram dalam sejarah 88 tahunnya, TLDM berhak menerima kelegaan pada Hari Kebangsaan ke-65 dengan penubuhan RCI untuk menyiasat skandal ini.

Perdana Menteri, Ismail Sabri, telah mengatakan yang UMNO patut menjawab mengenai skandal LCS sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 dan tidak boleh membiarkan pihak Pembangkang untuk menggunakan isu ini seperti skandal 1MDB digunakan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 sebelum ini.

Satu-satunya cara untuk UMNO dan kerajaan untuk menguruskan perkara ini secara berbeza dengan skandal 1MDB adalah dengan menubuhkan sebuah RCI – yang bukan sahaja tidak dibuat dengan skandal 1MDB sebelum ini, malah Parlimen, Pejabat Peguam Negara, dan pihak Kehakiman semuanya dilibatkan untuk menutup skandal 1MDB ini!

Adakah Ismail Sabri bersetuju dengan penubuhan RCI untuk menyiasat skandal LCS ini, malah bersetuju dengan pihak Pembangkang bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 tidak patut diadakan sehinggalah RCI ini telah melengkapkan laporannya – memberikan RCI ini jangka masa kira-kira enam bulan untuk membentangkan laporannya?

Membaca laporan audit forensik ini terasa seperti membaca satu lagi “kisah seram” salah guna kuasa, pecah amanah, rasuah, penipuan, dan salah laku dalam perolehan ketenteraan, yang merupakan satu pengkhianatan terhadap anggota tentera laut, baik yang sedia ada atau yang sebelum ini, yang telah berkorban dan bersedia untuk mengorbankan nyawa mereka demi khidmat untuk negara.

Audit forensik LCS ini merupakan satu pendedahan pelbagai masalah.

Bagaimana, sebagai contoh, mungkin untuk menyokong skandal-skandal berikut yang didedahkan oleh audit forensik ini:

  • Terma Rujukan Jawatankuasa Pemandu LCS (LCSSC) kelihatan berat sebelah dengan memberikan kawalan penuh kepada Pengarah Urusan ketika itu, Ahmad Ramli Haji Mohd Nor, yang telah membawa kepada ketiadaan kebebasan dalam jawatankuasa ini.
  • Surat Anugerah (LOA) dikeluarkan kepada subkontraktor CAD/CED tidak dibentangkan terlebih dahulu kepada LCSSC untuk kelulusan.
  • Penglibatan CAD sebagai pihak tengah tanpa perancangan, kajian, dan penilaian kelebihan ekonomi penglibatan ini. Perkara ini telah mengurangkan ketelusan dan kawalan aktiviti di CAD. Boustead Holdings kini menjadi pemerhati luar.
  • Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) menyertai perjanjian pemegang saham untuk membentuk sebuah lagi subkontraktor, Contraves Advances Devices Sdn. Bhd. (CAD) di mana BNS atau Boustead Holdings Group hilang akses kepada buku perkauanan dan rekod perbankan CAD walaupun menjadi pemegang saham majoriti CAD (51%).
  • Dengan menukar definisi komponen beberapa kali, skop kerja telah ditingkatkan untuk mencari peluang untuk mengeluarkan ubahan tempahan (Variation Order (VO)) yang akhirnya membawa kepada dua kali pembayaran untuk perkhidmatan dan perkakasan yang serupa.
  • Terma Surat Anugerah (LOA) dan VO dirangka dalam bentuk yang tidak menjaga kepentingan BNS atau Boustead Holdings.
  • Nasihat bekas Panglima Tentera Laut, Abdul Aziz Jaafar, diabaikan apabila dia membangkitkan bantahan dalam pemilihan DCNS/Naval Group (pembina kapal selam Scorpene) dan juga kebergantungan kepada CAD.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menjelaskan mengapa mereka berdiam diri mengenai perkara yang saya telah bangkitkan selama seminggu sebelum ini – mengenai mengapa tiga pertuduhan terhadap bekas pengarah urusan Boustead Heavy Industries Corp Bhd, Ahmad Ramli, datang dari tempoh sebelum skandal LCS dan tidak berkaitan dengan skandal LCS dan mengapa SPRM masih belum membawa pendakwaan terhadap mana-mana orang mengenai skandal LCS yang melibat RM9 billion ini selepas satu dekad?

Amat menarik untuk membaca mengenai mesyuarat tergempar ketua bahagian UMNO semalam, skandal LCS ini telah memecahkan keyakinan para pemimpin UMNO yang sebelum ini percaya kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 adalah milik mereka.

Pemimpin UMNO bercakap mengenai “jerung” dalam skandal rasuah di Malaysia, tetapi persoalan terbesar adalah, siapakah “jerung” terbesar dalam skandal LCS ini.

Pemimpin PAS, Hadi Awang, cuba untuk menyelamatkan bekas Perdana Menteri, Najib Razak, dari Penjara Sungai Buloh dengan mengeluarkan kenyataan yang sangat ekstrem dan bodoh, mendakwa yang orang bukan-Islam dan bukan-Bumiputera yang paling ramai menjadi “punca rasuah” dalam negara.

Adakah Hadi sedar, yang tidak ada sebuah pun negara majoriti Muslim dalam kalangan dua puluh negara teratas paling kurang rasuah yang ditinjau setiap tahun oleh Transparency International, dan terdapat lapan negara majoriti-Muslim dalam kedudukan 20 negara paling korup di dunia?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri