Mengenang Dr. Chen Man Hin (6): Tokoh mulia yang meninggalkan jejaknya dalam sejarah

Curahan sokongan dan solidariti yang ditunjukkan kepada Dr. Chen Man Hin selepas pemergiannya di Seremban mengingatkan saya kepada puisi Henry Wadsworth Longfellow yang dipelajari semasa di sekolah:

“Kehidupan orang-orang yang hebat mengingatkan kita semua, kita boleh menjadikan hidup kita mulia, dan, meninggalkan di belakang kita, jejak kaki dalam sejarah.”

Dr. Chen adalah Pengerusi penubuh DAP dan seorang pemimpin Malaysia yang menjalani kehidupan yang mulia dan meninggalkan jejaknya dalam sejarah negara.

Kali pertama saya melawat kediamannya di Seremban adalah pada penghujung tahun 1965, selepas pilihan raya kecil Rahang yang tidak dapat dilupakan, di mana Dr. Chen menang sebagai calon bebas dengan logo “bunga” sebelum penubuhan Parti Tindakan Demokratik (DAP), yang kemudiannya berjaya didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan selepas enam bulan pada 18 Mac 1966.

Kami telah mengadakan upacara untuk mengingatinya di kediamannya.

Di situlah tempat di mana kami mengadakan Kongres Khas DAP pada awal tahun 70-an untuk melawan serangan yang dihadapi DAP selama beberapa tahun, yang merupakan sebahagian daripada usaha untuk meralisasikan pengumuman seorang timbalan perdana menteri yang telah mengatakan bahawa “sebelah kaki DAP ini sudah berada di dalam kubur” untuk menamatkan perjuangan DAP.

Semalam, ketika para pemimpin dan ahli-ahli DAP dari seluruh negara hadir untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Dr. Chen, saya memerhatikan sendiri yang DAP telah berkembang besar berbanding dengan hari-hari awalnya pada tahun 1966, di mana ada lebih pemimpin dan ahli-ahli DAP pada ketika itu.

Kita bukan sahaja berhadapan dengan kekurangan tenaga kerja ketika itu, tetapi juga berhadapan dengan kekurangan pelbagai sumber, termasuklah kewangan.

Satu-satunya perkara yang membanjiri DAP ketika itu adalah semangat juang demi keadilan, kebebasan, dan kesaksamaan – demi sebuah Malaysian Malaysia.

Saya diingatkan mengenai kemiskinan DAP dari segi pelbagai bentuk sumber pada tahun 60-an ini apabila saya membaca dokumen yang dinyah-rahsiakan yang merupakan keterangan yang saya berikan kepada pihak polis semasa dalam tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri di Balai Polis Kuala Selangor sejurus selepas saya pulang ke Malaysia pada 18 Mei 1969.

Saya ditanyakan oleh pihak polis mengenai dana, tenaga kerja, dan sumber kenderaan DAP. Berikut adalah apa yang saya katakan dalam dokumen ini:

“Dana

“28. Dana amatlah terhad. Jumlah kutipan derma untuk kempen pilihan raya kebangsaan dijangka berada pada paras $40,000, di mana perbelanjaan percetakan memakan $30,000. Semua calon dijangkakan untuk meraih dana dari kalangan rakan dan penyokong mereka. Saya tidak tahu berapa banyak yang diraih oleh Jawatankuasa Kecil Pilihan Raya Bandar Melaka dari ahli dan penyokong DAP. Saya di kerusi Parlimen dalam kawasan ini. Perbelanjaan pilihan raya saya dan empat lagi kawasan negeri dalam kerusi Parlimen ini di mana DAP bertanding berjumlah kira-kira $5,000.

“Tenaga kerja

“29. Di setiap kerusi, calon DAP berhadapan dengan kekurangan tenaga kerja. Saya tidak dapat untuk menyatakan dengan kepastian mengenai keadaan yang dihadapi oleh setiap calon kerana belum ada peluang untuk mendapatkan laporan mengenai masalah yang dihadapi dari mereka. Untuk dijadikan contoh di JOHOR BAHRU, DAP tidak mempunyai sesiapa untuk menjaga pondok mengundi di luar tempat mengundi. Hasilnya, semua pengundi yang hadir ke tempat mengundi dekat kad notifikasi yang diberikan DAP dihalau oleh pondok mengundi Perikatan atas alasan kononnya nama mereka dibuang dari daftar pengundi. Saya juga dimaklumkan yang di pusat mengundi di mana undi dapat dibuang juga tidak dijaga. Masalah yang sama juga dihadapi di BANDAR MELAKA di mana DAP tidak dapat menjaga pondok mengundi di dalam dan di luar pusat mengundi.

“Kenderaan

“30. Sehingga Hari Penamaan Calon, DAP mempunyai sebuah landrover. Kenderaan ini berada dalam keadaan yang amat teruk. DAP tidak mempunyai apa-apa kenderaan lain. Saya kemudiannya diberitahu semasa kempen pilihan raya, beberapa orang calon telah membeli kereta terpakai, setiapnya memakan kos kira-kira $250. Dibeli dengan wang mereka sendiri, kenderaan ini membantu untuk membawa pekerja kempen ke mana-mana tempat yang mereka hendak pergi.

“31. Pada hari mengundi (10 Mei 1969), kenderaan-kenderaan yang ada untuk DAP dipinjam daripada kalangan penyokong dan juga rakan-rakan. Saya tidak boleh hendak bercakap mengenai kedudukan kenderaan yang digunakan di pelbagai kawasan pada Hari Mengundi kerana kami tidak berpeluang untuk mendapatkan laporan di peringkat kebangsaan mengenai perkara ini. Tidak mengejutkan sekiranya sesetengah kawasan tidak berjaya untuk mendapatkan lebih daripada lima kereta untuk kegunaan mereka pada hari mengundi. Bagaimanapun, saya boleh dengan yakin mengatakan yang tidak ada calon DAP menyewa kereta untuk hari mengundi atas kekangan kewangan.”

Dengan serba-serbi tidak cukup sumber sebegini, DAP bertanding pilihan raya umum 1969 dan memenangi 13 kerusi parlimen dan 31 kerusi di peringkat negeri.

Dr. Chen didorong oleh semangat mengejar keadilan, kebebasan, dan kesaksamaan untuk semua orang.

Dia telah membantu ramai orang, tanpa mengira kaum atau agama. Dr. Chen berkhidmat untuk kemanusiaan walaupun dia terpaksa membayar harga yang tinggi untuk kepercayaan dan perjuangan ini.

Saat yang paling menyentuh hati semalam adalah semasa upacara pembakaran jenazah Dr. Chen di Krematorium Xiao En di Nilai.

Berehatlah dengan tenang, Dr. Chen, anda adalah contoh tauladan untuk semua rakyat Malaysia – menjalani kehidupan yang mula dan meninggalkan jejak langkah dalam sejarah.

Perjuangan untuk Malaysian Malaysia perlu diteruskan sehingga kita mencapai Impian Malaysia.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri