Adakah Najib bersedia untuk bersumpah yang dia tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan skandal kapal tempur pesisir (LCS) yang melibatkan RM9 billion?
Bekas Perdana Menteri, Najib Razak, kini berdiam diri mengenai skandal kapal tempur pesisir (LCS) yang melibatkan RM9 billion selepas dia menyedari yang dia tersilap strategi apabila meletakkan dirinya di barisan hadapan isu ini dalam minggu pertama selepas penerbitan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai skandal ini pada 4 Ogos 2022.
Dia lebih banyak bercakap mengenai perkara ini berbanding dengan Menteri Pertahanan sekarang, Hishammuddin Hussein dan juga Menteri Pertahanan ketika mana proses perolehan skandal ini diputuskan, Ahmad Zahid Hamidi.
Cabarannya pada hari Sabtu lepas terhadap mereka yang menuduhnya bertanggungjawab atas kegagalan perolehan LCS untuk menunjukkan bukti yang di campur tangan dalam reka bentuk kapal ini telah berakhir apabila semakin banyak maklumat mengenai skandal ini mula timbul, menunjukkan sejarah perolehan LCS ini boleh dijejak seawal 2007 ketika Najib menjadi Menteri Pertahanan, menguatkan lagi persepsi yang pembuat keputusan utama dalam skandal LCS ini adalah Najib sendiri yang kemudiannya menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada April 2009, dan bukannya Zahid yang dilantik oleh Najib sebagai Menteri Pertahanan dalam Kabinet pertamanya.
Adakah Najib bersedia untuk bersumpah yang dia tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan skandal kapal tempur pesisir (LCS) yang melibatkan RM9 billion?
Adakah dia kini percaya yang sistem sumpah ini lebih dipercayai, diyakini, dan berkesan berbanding dengan sistem kehakiman untuk menjamin keadilan dan melawan rasuah di dalam negara?
Adakah dia akan menutup semua fakulti undang-undang di universiti di seluruh negara?
Najib telah menyalahkan kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan yang ditumbangkan secara tidak sah dan tidak demokratik melalui konspirasi Langkah Sheraton pada bulan Februari 2020 yang telah disusuli oleh dua kerajaan yang secara bersama, berusia lebih lama berbanding dengan 22 bulan pentadbiran PH.
Mengapa Najib tidak menyalahkan kedua-dua kerajaan ini atas “kelewatan” LCS?
Bolehkah Najib memberikan contoh di mana di tempat lain dalam dunia di mana kerajaan dapat memenuhi janji pilihan raya yang sepatutnya dipenuhi dalam masa lima tahun dalam masa hanya 22 bulan?
Mengapakah Najib tidak percaya dengan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap skandal LCS ini – siasatan yang mungkin dapat menunjukkan yang dia sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan skandal LCS dan perkara ini mungkin tanggungjawab penuh Menteri Pertahanannya, Zahid Hamidi?
Mengapakah Najib tidak percaya dengan siasatan RCI untuk menunjukkan yang dia bukanlah orang yang patut disalahkan mengenai skandal LCS yang melibatkan RM9 billion ini sedangkan dia telah menubuhkan RCI untuk menyiasat skandal forex yang berlaku pada tahun 90-an untuk menyalahkan Mahathir Mohamad?
Mengapakah pemimpin UMNO kini senyap mengenai skandal LCS ini?
Saya telah bertanya kepada Zahid Hamidi, mengapa dia sebagai Menteri Pertahanan pada tahun 2011 mengubah keputusannya untuk memperoleh LCS Sigma seperti yang dicadangkan oleh pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kepada LCS Gowind tanpa merujuk dahulu perkara ini pengguna akhir, TLDM, walaupun terdapat bantahan keras dari TLDM.
Tidak ada sebarang jawapan diberikan oleh Zahid dan saya boleh faham mengapa – Zahid akan terpaksa menyalahkan Najib, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu.
Ketua penerangan UMNO, Shahril Hamdan, telah membuat satu kenyataan video yang menarik di laman Facebook dia sebelum ini, di mana dia menyenaraikan kes rasuah yang melibatkan beberapa agensi kerajaan atau GLC untuk membuktikan yang orang korup yang memegang jawatan tinggi ini tidak semesti ahli politik.
Dia mengatakan, menjadi satu “tanggapan salah untuk mengatakan penyelewengan, salah urus, dan perkara sebegini mesti melibatkan arahan dari “jerung” yang mestinya menteri atau perdana menteri”.
Para Pemuda UMNO perlu berhenti berdolak dalik. Persoalan yang paling penting mengenai skandal LCS ini adalah sama ada Najib adalah “jerung terbesar” dalam skandal ini.
Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein, juga tidak boleh memperkecilkan skandal LCS ini dengan mengatakan perkara ini adalah “isu bermusim” kerana Pilihan Raya Umum ke-15 semakin hampir – yang merupakan satu pengakuan tanpa sedar yang mengejutkan mengenai betapa teruknya masalah rasuah, pecah amanah, dan salah guna kuasa telah merebak dalam proses perolehan ketenteraan yang ditunjukkan oleh kedudukan rendah Malaysia dalam Indeks Integriti Pertahanan Global (GDI) terbitan Transparency International.
Bapanya, Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn, tidak akan mengambil pendirian ambil mudah sebegini.
Hishammuddin telah mengatakan: “Pada masa ini, pelbagai perkara akan dibangkitkan. Saya tidak mempunyai masalah untuk menjawab (isu-isu ini), walaupun kadang kala kita tidak bersalah. Sekiranya kita bersalah, kita perlu bertanggungjawab…”
Hishammuddin kelihatan amat defensif.
Dia patut memenuhi janjinya untuk menubuhkan RCI untuk menyiasat skandal LCS ini dan juga memenuhi janji-janjinya yang lain mengenai skandal LCS ini.
Hishammuddin telah memberitahu Dewan Negara yang kerajaan akan memberikan laporan mengenai jangka masa dan kemajuan projek kapal tempur pesisir (LCS) ini mengikut peringkat pembinaannya.
Dia mengatakan yang kementeriannya diberikan enam bulan untuk menggerakkan usaha untuk menghidupkan semula projek ini, dan dia percaya yang kapal pertama akan dihantar kepada pihak Tentera Laut Diraja Malaysia dalam masa dua tahun.
Hishammuddin juga perlu sedar yang Parlimen akan bersidang semula pada 26 Oktober 2022 – dengan pembentangan Belanjawan 2023 ditetapkan pada 28 Oktober – tarikh akhir enam bulannya akan sudah tamat pada ketika itu kerana tarikh akhir ini ditetapkan oleh mesyuarat Kabinet pada 20 April 2022.
Hishammuddin patut membentangkan laporan usaha mobilisasi untuk menghidupkan semula projek LCS ini sebagai perkara pertama dalam aturan urusan mesyuarat apabila Dewan Rakyat bersidang semula pada 26 Oktober 2022, disusuli dengan perbahasan penuh isu ini di Parlimen.