Mengenang Dr. Chen Man Hin (5): Malaysia di persimpangan – untuk maju ke hadapan atau mundur ke belakang

Semalam, saya telah merujuk kepada satu dokumen yang baru-baru ini diberikan kepada saya – keterangan yang saya berikan kepada pihak polis semasa dalam tahanan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri di lokap Balai Polis Kuala Selangor sejurus selepas saya pulang ke Malaysia secara sukarela pada 18 Mei 1969.

Dokumen ini dirahsiakan selama 50 tahun dan telah dinyahrahsia pada 24 Februari 2020.

Dokumen ini menunjukkan yang DAP tidak pernah menjangkakan kemenangan 13 kerusi Parlimen dan 31 kerusi Dewan Undangan Negeri dalam pilihan raya umum 1969.

Berikut adalah apa yang katakan dalam dokumen ini mengenai jangkaan pimpinan DAP (termasuklah Dr. Chen Man Hin) terhadap pilihan raya umum 1969:

“Kejayaan DAP

“35. DAP tidak menjangkakan kemenangan di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri pada 10 Mei 1969. Sebelum Pilihan Raya Umum, para pemimpin DAP telah membincangkan kelebihan dan cabaran yang bakal dihadapi. Para pemimpin yang bersifat pesimis menjangka yang DAP tidak akan menang satu pun kerusi Parlimen. Mereka yang bersifat optimis pula menjangkakan kemenangan besar. Namun, kami berpendapat mustahil untuk berlaku kemenangan besar dan perkara ini hanya akan berlaku sekiranya terdapat peralihan besar-besaran pengundi dari parti Perikatan. Kami semua anggap perkara ini sebagai sesuatu perkara dengan kemungkinan yang amat tipis. Kami terkejut kepada keputusan yang memberansangkan yang dicapai pada 10 Mei 1969. Perkara ini menunjukkan terdapat kebangkitan politik besar-besaran dalam kalangan pengundi yang mahukan perubahan selepas 13 tahun pemerintahan Perikatan.”

Malaysia sekali lagi berada di titik persimpangan – sama ada untuk maju ke hadapan atau mundur ke belakang.

Terdapat perasaan putus asa dan kekecewaan di dalam negara, kerana rakyat Malaysia kecewa dengan kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan yang telah menumbangkan gergasi politik UMNO-Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018.

Rakyat Malaysia perlu sedar, tidak ada mana-mana di dunia di mana kerajaan mampu mencapai apa yang dimandatkan dalam masa lima tahun dalam tempoh 22 bulan. Tetapi, sudah tentu, lebih banyak perkara patut sudah dijayakan.

Pada masa yang sama, kini terdapat kesedaran, bahawa kita tidak boleh menyerah kalah kepada perasaan putus asa dan kecewa, kerana perbuatan demikian hanya akan memberikan cek kosong untuk membolehkan para pengkhianat menjadikan Malaysia sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, dan sebuah negara yang gagal.

Mandat Pilihan Raya Umum ke-14, yang dicapai selepas menempuh pelbagai cabaran yang tidak demokratik dan persaingan yang berat sebelah, amat jelas – untuk menetapkan semula dasar dan hala tuju pembinaan negara untuk memenuhi Impian Malaysia untuk negara kita menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia yang menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu” dan bukannya untuk Malaysia menjadi sebuah negara gagal, sebuah kakistokrasi, atau sebuah kleptokrasi!

Semasa menjadi Perdana Menteri, Najib Razak telah melancarkan politik perkauman, keagamaan, kebencian, dan penipuan yang amat jahat dan toksik, politik yang sangat tidak bertanggungjawab yang telah memecah belah dan mencetuskan provokasi untuk merosakkan masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama, bahasa, dan budaya di Malaysia!

Dalam bulan terakhirnya sebagai Perdana Menteri, Najib bertanggungjawab terhadap penipuan, berita palsu, dan maklumat palsu – terutamanya apabila dia mengatakan pada malam PRU14, kononnya tidak ada orang Melayu dalam himpunan kempen Pakatan Harapan, kononnya puluhan ribu orang yang berhimpun untuk mendengar ceramah Tun Dr. Mahathir Mohamad di Langkawi, Gombak, Jerlun, Batu Katil, Putrajaya, Lembah Pantai, Pandan, Kuantan, dan Wangsa Maju ini semuanya penyokong DAP yang “diusung” oleh DAP, sedangkan Cawangan Khas sentiasa tahu yang dalam sejarah lima dekad DAP, DAP tidak pernah “mengusung” sesiapa pun ke majlis DAP atau Pakatan.

Penggunaan berita palsu dan ucapan kebencian untuk membawa politik toksik perkauman dan keagamaan ini bukan fenomena baharu dalam politik di Malaysia. Tetapi kebelakangan ini, politik toksik ini mencapai kemuncak baharu dengan potensi untuk memusnahkan perpaduan negara dan keharmonian antara kaum dan agama di Malaysia di mana pertuduhan berat mengenai pihak Polis menjalankan ladang toyol internat gagal disangkal secara berkesan.

Terdapat keperluan mendesak untuk menerapkan semula prinsip-prinsip yang diwariskan oleh tokoh-tokoh pembentukan negara dalam Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara untuk menjadi asas usaha pembinaan semula Malaysia baharu yang berasaskan kepada keharmonian, kecemerlangan, dan kualiti, menetapkan hala tuju negara ke suatu masa hadapan baharu dengan keyakinan dan kepastian.

Semua suku etnik perlu keluar dari kepompong ketakutan dan kebencian yang dicipta melalui fitnah bahawa mereka berhadapan dengan ancaman eksistensial – kerana sekiranya semua etnik dan budaya berhadapan dengan ancaman eksistensial sebegini, siapakah yang mencipta ancaman terhadap semua komuniti, etnik, dan budaya di dalam negara ini?

Marilah kita semua komited untuk menjadikan Malaysia contoh kejayaan Gabungan Peradaban.

Memandangkan Malaysia adalah tempat bertemunya empat peradaban hebat dunia, Melayu/Islam, Cina, India, dan Barat, kita semua perlu keluar dari kepompong etnik kita, berinteraksi, menghargai, dan menerima nilai-nilai baik dari etnik, budaya, dan peradaban lain, dan tidak menjadi mangsa kepada mereka yang terdesak yang cuba untuk mewujudkan syak wasangka, kebencian, dan ketakutan – dengan melaga-lagakan antara satu kaum dengan kaum yang lain, satu agama dengan agama yang lain, satu budaya dengan budaya yang lain dan satu peradaban dengan peradaban yang lain.

Cara yang terbaik untuk kita memperingati enam dekad perjuangan hidup Dr. Chen Man Hin adalah dengan memastikan Impian Malaysia ini kekal subur dan untuk kita tidak berputus asa dalam berusaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia yang bersatu padu!

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri