Mengenang Dr. Chen Man Hin (4) – “Tokoh Kekuatan dalam Zaman Kegelapan”
Dalam tahun-tahun awal DAP, tidak ada sesiapa yang menjangkakan DAP akan berjaya bertahan serangan gergasi politik UMNO-Barisan Nasional, yang mempunyai hegemoni politik untuk beberapa dekad.
Malah, pada awal tahun 70-an, seorang timbalan perdana menteri ketika itu mengisytiharkan yang DAP ini “sebelah kakinya di dalam kubur” dan semua orang menjangkakan yang DAP akan hilang tidak lama selepas itu.
Tetapi, sekumpulan rakyat Malaysia yang tekad dan idealistik, komited terhadap Impian Malaysia di mana semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan, dikira sebagai rakyat Malaysia yang saksama, di mana kita boleh menyatukan semua rakyat Malaysia walaupun dengan kepelbagaian etnik, bahasa, agama, dan budaya kita, untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat yang bertaraf dunia.
Seperti yang dikatakan oleh seorang cendekiawan Malaysia yang mengkaji DAP, Michael Ong, mengenai pemergian Dr. Chen: “Dr. Chen adalah pengikat yang memastikan parti tersebut kekal bersama”.
Dr. Chen adalah kunci kekuatan dalam zaman kegelapan pada bulan sekitar 13 Mei 1969 dan DAP pada hari ini terhutang budi kepada komitmen, dedikasi, pengorbanan, dan idealisme beliau.
Saya baru-baru ini menerima satu dokumen yang menunjukkan pelbagai generasi pimpinan DAP yang didorong oleh visi Dr. Chen yang terus berpegang dengan matlamat dan prinsip asal DAP selama lebih daripada setengah abad – kita bukan sahaja mampu bertahan melawan gergasi UMNO, tetapi kita telah berkembang dan menambah sokongan rakyat sehingga kita berjaya menjadikan perkara yang sebelum ini dianggap mustahil – menumbangkan gergasi UMNO-Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada tahun 2018.
Dokumen ini dirahsiakan selama 50 tahun dan telah dinyahrahsia pada 24 Februari 2020.
Inilah keterengan yang saya berikan kepada pihak polis semasa di bawah tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di lokap Balai Polis Kuala Selangor selepas saya secara sukarela terbang pulang ke Malaysia pada 18 Mei 1969.
Dalam setengah abad kehidupan politik saya, saya telah dimomokkan dan dituduh dengan pelbagai perkara – kononnya sayalah punca utama rusuhan perkauman 13 Mei 1969; anti-Melayu; anti-India malah anti-Cina; kononnya saya agen rahsia CIA, MI6, KGB, malah agen Australian Secret Service.
Dokumen ini menyatakan pandangan dan matlamat politik DAP, dan merupakan bukti betapa setianya kami terhadap visi Impian Malaysia ini.
Saya ditanyakan mengenai pandangan saya tentang rusuhan 13 Mei 1969 dan berikut adalah apa yang saya katakan kepada pihak Polis:
“Pandangan terhadap konflik perkauman – 13 Mei 1969
65. Saya tidak tahu apa yang menyebabkan punca rusuhan perkauman di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya. Bagaimanapun, saya hanya boleh membuatkan tekaan. Pertamanya, izinkan saya untuk menyatakan yang DAP tidak terlibat dalam apa-apa keadaan sekalipun dengan ketidak-tenteraman perkauman ini. Dalam tiga tahun yang lepas, mesej dari para pemimpin DAP sentiasa menekankan kepentingan untuk mengelakkan konflik perkauman kerana perkara ini tidak membawa manfaat kepada mana-mana orang, atau mana-mana kaum, sama ada Melayu, Cina, atau India. DAP dibentuk dengan harapan untuk berkhidmat kepada rakyat dengan membuang syak wasangka perkauman dan memberikan setiap orang rakyat Malaysia hak yang sama dalam masyarakat Malaysia, tanpa mengira bahasa, budaya, ekonomi, atau politik mereka.
66. Dengan kemenangan pilihan raya, DAP berpotensi untuk kehilangan segalanya sekiranya parti ini cukup gila untuk mencetuskan rusuhan perkauman. Sekiranya parti ini hendak melakukannya, Melaka mungkin akan menjadi tempat pertama. Kerana di Melaka, DAP bukan sahaja telah mengadakan perarakan kemenangan, tetapi juga mengadakan perhimpunan awam. Namun, tidak ada insiden dicatatkan di Melaka.
67. DAP tidak mempunyai mahupun merekrut unsur-unsur kongsi gelap atau samseng dalam kalangan ahlinya. Kehadiran mereka ini hanya akan merosakkan nama DAP. DAP berdedikasi terhadap perjuangan politik yang demokratik dan menghormati proses mengikut perlembagaan. Parti ini sentiasa menekankan yang sekiranya cara mengikut peti undi ini gagal, maka DAP akan menjadi tidak relevan kerana parti ini tidak mempunyai kebolehan untuk menggunakan keganasan atau membaling bom tangan. Dalam keadaan sebegitu, bukan sahaja Parti Komunis Malaysia (PKM) yang akan menerima manfaat, tetapi parti Perikatan juga akan menunggu untuk menyertai.
68. Menjadi satu perkara yang bertentangan dengan logik dan fikiran akal untuk DAP mencetuskan keganasan perkauman sedangkan parti ini baru sahaja menerima kemenangan di peringkat Parlimen dan Negeri dalam Pilihan Raya umum, ketika mana proses demokratik mengikut perlembagaan terbukti berkesan sebagai cara untuk rakyat membawa perubahan sosio-politik. Hakikat di mana DAP menentang keganasan diulang berkali-kali secara terbuka. Dalam satu perhimpunan awam di Melaka pada 30 April 1969, semasa menjelaskan sokongan DAP secara prinsip terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri, saya telah katakan mana-mana negara perlu melindungi kepentingannya daripada cubaan dari mereka yang berhasrat untuk menggunakan keganasan untuk menumbangkan sebuah kerajaan yang sah. DAP dan saya dikutuk teruk oleh Parti Rakyat dan LPM kerana menyatakan pendirian ini.
69. Rusuhan perkauman ini kelihatan seperti satu perkara yang telah dirancang. Jika tidak, rusuhan ini tidak akan merebak sebegitu pantas dengan secara spontan dan membawa maut, saya percaya perkara ini dirancang oleh sesetengah unsur yang tidak bertanggungjawab dalam parti pemerintah yang kecewa dengan kegagalan dan keputusan yang buruk yang dicapai oleh parti Perikatan dalam Pilihan Raya umum. Dalam satu perbualan telefon bersama dengan rakan sekerja di Kuala Lumpur seperti yang dikatakan sebelum ini, ibu pejabat MCA mengarahkan kakitangannya untuk pulang ke rumah pada 13 Mei 1969 pada jam 1600, menjangkakan pengulangan rusuhan seperti yang berlaku di Pulau Pinang di Kuala Lumpur. Edaran MCA di perhimpunan awamnya menunjukkan roket di tembak ke langit, jatuh ke bumi, meletup dan membunuh orang. Terdapat pertumpahan darah di merata tempat. Selepas sidang media saya yang diadakan di Singapura pada 17 mei 1969 (rujuk perenggan 59), seorang wartawan memaklumkan kepada saya yang Tun Tan Siew Sin (54) dalam satu sidang media di Kuala Lumpur mengatakan, antara macam-macam perkara lain, mengenai kira-kira 10,000 orang Melayu yang akan berarak untuk menyerang orang Cina. Saya tidak bersedia untuk mendedahkan nama wartawan ini kerana tidak mahu melibatkannya. Perkara ini sudah tentunya menimbulkan syak wasangka yang Tan (54) dan sesetengah orang dalam MCA diberikan amaran mengenai perkara buruk yang akan berlaku – rusuhan perkauman. Namun begitu, saya tidak mempunyai apa-apa bukti untuk tanggapan saya ini tetapi saya cadangkan supaya perkara ini disemak untuk kepastian.
70. Dengan kejadian ketidak-tenteraman perkauman di Kuala Lumpur, tugas utama setiap orang rakyat Malaysia adalah untuk berusaha dan menyumbang terhadap pengembalian keyakinan antara kaum dan membawa semula negara ke arah jalan keamanan. Semua pemimpin DAP telah menawarkan perkara ini, meletakkan kepentingan negara di atas segalanya. Inilah masanya untuk mengetepikan perbezaan perkauman kerana tidak akan ada parti politik lagi sekiranya seluruh negara Malaysia terbakar dalam api perkauman, menjadi Nigeria yang kedua atau lebih buruk lagi.”
Saya ditanya mengenai “pendirian politik” dan “perancangan masa hadapan” saya dan berikut adalah apa yang saya katakan:
“Pendirian politik saya
83. Seperti mana-mana rakan sekerja dalam DAP, saya percaya:
(a) Malaysia adalah sebuah masyarakat pelbagai kaum, bahasa, dan budaya, dan sebuah bangsa Malaysia yang berdaya maju hanya boleh dibentuk sekiranya semua kaum dan kumpulan dalam negara ini diberikan kepentingan yang sama.
(b) bahawa dalam masyarakat pelbagai kaum seperti di Malaysia, keganasan dan sebarang ideologi paksaan, misalnya seperti yang dibawa oleh PKM, yang akan membawa kepada kemusnahan negara kerana perkara ini akan secara pantas membawa kepada konflik perkauman. Oleh itu, saya mengecam paksaan dan keganasan dalam semua bentuk.
(c) bahawa dalam masyarakat pelbagai kaum, sekiranya ada mana-mana kumpulan kaum berasa yang mereka ketinggalan, baik dari pendidikan, ekonomi, budaya, bahasa, atau politik, maka antagonisme perkauman akan wujud. Segala usaha diperlukan untuk menghapuskan ketidakseimbangan di antara kaum dan kumpulan ini.
(d) bahawa kemiskinan bukanlah masalah perkauman. Ia adalah masalah sosio-ekonomi. Untuk menganggap kemiskinan sebagai masalah perkauman hanya akan meningkatkan antagonisme perkauman di dalam negara ini.
(e) bahawa sosialisme demokratik boleh menutup jurang di antara mereka yang berada dan mereka yang tidak berada dari kalangan semua kaum.
(f) bahawa saya mahukan kerajaan yang bersih, jujur, efisien, berdaya tahan terhadap rasuah, dan berkesan.
(g) bahawa hanya demokrasi berparlimen sahaja yang boleh mengelakkan pertembungan perkauman. Sebarang bentuk kerajaan yang lain hanya akan membawa kepada syak wasangka perkauman.
(h) bahawa komunisme tidak kondusif dalam masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.”
“Rancangan masa hadapan saya
84. Saya berhasrat untuk meneruskan kerja politik saya dalam DAP untuk membantu membawa sebuah negara yang tulen untuk semua rakyat Malaysia:
(a) di mana semua rakyat, tanpa mengira kaum, bahasa, atau agama, menganggap dirinya sebagai pertamanya rakyat Malaysia dan meletakkan identiti kaum di tempat kedua;
(b) di mana rakyat Malaysia dari semua kaum mempunyai lebih banyak persamaan di antara satu sama lain berbanding dengan “saudara sedarah” mereka yang mungkin berada di China Merah/Nasionalis, India, atau Indonesia. Melainkan kita berjaya mencapai matlamat ini, Malaysia tidak boleh dikatakan sebagai telah menjadi “sebuah Negara Rakyat Malaysia”.
85. Di dalam dan di luar Parlimen, tema saya dan parti saya akan terus menjadi:
(a) bahawa semua rakyat Malaysia perlu mempunyai kesedaran Malaysia;
(b) untuk bekerjasama menjadi Malaysia sebuah negara yang bersatu padu, harmoni, dan makmur.”
Dr. Chen Man Hin dan saya telah kekal berpegang kepada prinsip pembinaan negara bangsa yang kami perjuangkan sejak daripada permulaan DAP 56 tahun yang lepas.