Mengapakah para pemimpin UMNO dan BN kelihatan langsung tidak peduli mengenai skandal LCS yang melibatkan RM9 billion, yang telah berubah dari sebuah “projek impian” kepada mimpi ngeri untuk negara?
UMNO telah menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk memberikan maklum balas mengenai satu dokumen yang kononnya merupakan kertas siasatan SPRM yang terbocor mengenai hakim yang telah menghukum bekas Perdana Menteri, Najib Razak.
Menurut Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan, dokumen ini telah berlegar di laman siber dan merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 220 Kanun Keseksaan.
Dia menggesa SPRM untuk mengesahkan atau menafikan ketulenan dokumen ini dan untuk AGC mengumumkan apa-apa tindakan susulan siasatan ini.
Membaca laporan ini, terlintas kepada saya satu persoalan, mengapa para pemimpin UMNO dan Barisan Nasional kelihatan seperti langsung tidak peduli mengenai skandal kapal tempur pesisir (LCS) yang melibatkan RM9 billion, yang telah berubah dari sebuah “projek impian” kepada mimpi ngeri untuk negara!
Sikap tidak peduli pemimpin UMNO dan BN terhadap skandal LCS ini kelihatan lebih teruk selepas Kabinet telah menyahrahsiakan laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan, dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) mengenai perolehan enam LCS yang mendedahkan bahawa Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, adalah bertanggungjawab ke atas skandal ini, melainkan terdapat “tangan tersembunyi” di sebalik Zahid.
Jadi, adakah “tangan tersembunyi” ini dan siapakah dia?
Semalam Zahid telah mengeluarkan satu kenyataan yang mengatakan keputusan Mahkamah Persekutuan untuk menolak permohonan bekas perdana menteri, Najib Razak, untuk menambah bukti baharu dalam rayuan kes SRC International ini boleh “menghakis integriti sistem kehakiman”, tetapi dia diam seribu bahasa mengenai laporan JKSTUPKK yang telah mendedahkan peranan utamanya dalam skandal LCS.
Boleh Zahid menjelaskan mengapa dia berdiam diri mengenai skandal LCS ini, yang telah mendedahkan penafiannya sebelum bahawa dia tidak bertanggungjawab ke atas skandal ini sebagai satu penipuan.
Laporan JKSTUPKK mendedahkan yang Zahid, sebagai Menteri Pertahanan pada ketika itu dalam tahun 2011 memihak dengan kontraktor, Boustead Naval Shipyard (BNS) dan bukannya pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), pengguna akhir keenam-enam LCS yang ditempah kerajaan.
Boleh Zahid menjelaskan kegagalannya untuk mengutamakan TLDM dalam memilih reka bentuk kapal ini dan mengapa dia memilih LCS Gowind, mengubah keputusannya sebelum ini untuk memilih LCS Sigma seperti yang dicadangkan oleh pihak TLDM tanpa merujuk atau berbincang mengenai perkara ini dengan pihak TLDM terlebih dahulu?
Di penghujung laporan ini, dilampirkan surat permohonan bertarikh 8 Julai 2010 dari pengarah urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor, kepada Zahid untuk mendapatkan surat niat (LOI) dari kerajaan untuk projek LCS.
Di bahagian atas surat ini terdapat tandatangan, chop, dan arahan tulisan tangan yang berbunyi “Sila laksanakan”.
Menurut Panglima Tentera Laut ketika itu, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, situasi di mana kontraktor dapat memilih reka bentuk, dan bukannya pengguna akhir, tidak pernah berlaku sebelum ini.
Laporan ini mendedahkan lagi yang Panglima Tentera Laut juga telah mengatakan yang proses kuotasi yang dijalankan bertentangan dengan amalan biasa dalam proses tender antarabangsa.
Dia mengatakan, terdapat unsur manipulasi data penilaian oleh timbalan penilai BNS dalam memberikan maklumat yang “disalah nyata” kepada lembaga pengarah BNS.
Dalam mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), PAC dimaklumkan bahawa perolehan enam LCS ini adalah “projek impian” yang disalah urus, di mana perolehan ini terlalu “berat sebelah” di mana “lebih banyak kuasa dan autoriti diberikan kepada pemegang 49% daripada BHIC (Boustead Heavy Industries Corp Bhd)”.
Saya telah memerhatikan yang tiga tuduhan terhadap bekas pengarah urusan Boustead Heavy Industries Corp Bhd, Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor, pada hari Isnin tidak mempunyai kaitan dengan skandal LCS.
Ketiga-tiga dakwaan ini adalah sebelum pengeluaran Surat Anugerah (LOA) untuk perolehan LCS yang dikeluarkan pada 16 Disember 2011.
Memandangkan ketiga-tiga dakwaan terhadap Ramli ini adalah untuk perkara sebelum pengeluaran LOA LCS, perkara ini bermakna dakwaan ini adalah untuk perolehan ketenteraan yang berbeza. SPRM perlu menjelaskan mengapa selepas 10 tahun, SPRM gagal untuk membawa satu pun pertuduhan terhadap sesiapa dalam skandal LCS yang melibatkan RM9 billion ini.
Bolehkah SPRM menjelaskan berapa ramai yang akan didakwa berkenaan dengan skandal LCS yang melibatkan RM9 billion ini?
Hishammuddin mengatakan selepas mesyuarat Kabinet pada hari Rabu yang pembinaan kapal tempur pesisir yang pertama (LCS 1) tidak akan melibatkan dana baharu dari kerajaan.
Namun, dia tidak dapat menjawab soalan saya, mengapa Kementerian Pertahanan mengubah dari dua buah LCS kepada sebuah LCS yang perlu disiapkan tanpa peruntukan tambahan dari kerajaan sebelum kerajaan meneruskan projek ini.
Semasa Hishammuddin hadir di hadapan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara pada 25 Januari 2022, dia bercakap mengenai “penstrukturan semula” kontrak LCS yang bernilai RM9 billion ini dan pihak kontraktor, BNS, perlu menghantar dua buah LCS tanpa sebarang kos tambahan kepada kerajaan.
Namun, soalan yang lebih penting adalah sama ada kontraktor, BNS, telah bersetuju untuk menyiapkan kapal tempur pesisir yang pertama (LCS 1) tanpa melibatkan dana baharu dari kerajaan!
Hishammuddin perlu sedar yang dalam era maklumat, amalan di mana Menteri dan pemimpin politik boleh menyorok dan mengabaikan soalan tidak lagi boleh dilakukan. Mereka perlu menjawab soalan yang ditanyakan kepada mereka.