Hishammuddin perlu menjelaskan mengapa Kementerian Pertahanan telah mengurangkan jumlah LCS yang perlu disiapkan dan dihantar tanpa peruntukan tambahan kerajaan dari dua buah LCS kepada hanya sebuah LCS

Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein, telah mengatakan semalam yang pembinaan kapal tempur pesisir (LCS 1) tidak akan melibatkan dana tambahan dari kerajaan.

Hishammuddin mengatakan, peruntukan tambahan kepada Boustead Naval Shipyard (BNS) untuk menyiapkan baki lima LCS ini hanya akan dipertimbangkan selepas siapnya LCS 1 dalam masa yang dilaporkan sebagai dua tahun lagi, walaupun sepatutnya disiapkan pada tahun 2019.

Hishammuddin perlu menjelaskan mengapa Kementerian Pertahanan telah mengurangkan jumlah LCS yang perlu disiapkan dan dihantar tanpa peruntukan tambahan dari dua buah kepada sebuah ini.

Semasa Hishammuddin hadir di hadapan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara pada 25 Januari 2022, dia bercakap mengenai “penstrukturan semula” kontrak LCS yang bernilai RM9 billion ini dan pihak kontraktor, BNS, perlu menghantar dua buah LCS tanpa sebarang kos tambahan kepada kerajaan.

Ini adalah apa yang dikatakan oleh Hishammuddin pada Januari 2022: “Mereka (BNS) tidak akan menerima apa-apa dana tambahan dari kerajaan sehinggalah dua kapal ini dihantar.” (halaman 4 Hansard).

Hishammuddin juga mengatakan: “…sekiranya kita ingin teruskan, kita tidak boleh meletakkan semua wang dahulu sekiranya Boustead tidak memberikan komitmen untuk menghantar sekurang-kurangnya dua kapal” dan “Ini sahaja pilihan yang saya ada. Sekiranya saya silap atau perkara ini tidak mencukupi, saya tidak mempunyai apa-apa cadangan lain. Anda kena cari Menteri Pertahanan baharulah” dalam kehadirannya di hadapan PAC pada 25 Januari 2022.

Menteri Pertahanan juga perlu menjelaskan mengapa dalam masa tiga bulan sahaja, dia telah mengurangkan jumlah LCS yang perlu disiapkan tanpa kos tambahan kepada kerajaan dari dua buah kepada sebuah.

Saya puji Hishammuddin kerana menyahrahsiakan laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan, dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) mengenai projek Kapal Tempur Pesisir Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan juga kerana membawa isu untuk membentuk sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai perkara ini kepada Kabinet semalam.

Seperti yang telah dikatakan oleh Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, Laporan JKSTUPKK ini sepatutnya diterbitkan tanpa sebarang redaksi dan saya menyeru kepada Hishammuddin untuk mengadakan satu sidang rahsia khas bersama semua Ahli-ahli Parlimen untuk membincangkan bahagian tertutup JKSTUPKK dan juga untuk menjelaskan rancangan Kementerian Pertahanan mengenai keenam-enam LCS ini.

Hishammuddin juga perlu sedar yang adalah Menteri Pertahanan dan bukannya seorang posmen, walaupun dia telah mengotakan janjinya yang dibuat di Dewan Negara pada hari Selasa untuk membawa isu penubuhan RCI kepada Kabinet, rakyat Malaysia menjangkakan penubuhan RCI ini dan bukannya untuk Menteri Pertahanan hanya membawa perkara ini ke Kabinet.

Seperti yang saya katakan semalam, Hishammuddin perlu meletakkan jawatannya sebagai Menteri Pertahanan sekiranya dia gagal untuk meyakinkan Kabinet untuk menubuhkan RCI untuk menyiasat skandal LCS yang melibatkan RM9 billion ini, kerana perkara ini menunjukkan yang pendapat dan cadangannya sebagai Menteri Pertahanan mengenai perkara berkaitan pertahanan negara tidak pandang relevan dan serius oleh Menteri-menteri lain dalam Kabinet.

Saya telah berikan 20 sebab mengapa perlu adanya RCI untuk menyiasat skandal LCS ini.

Sebab ke-21 adalah laporan JKSTUPKK itu sendiri, walaupun dengan redaksi.

Malah, laporan JKSTUPKK ini telah mencapai beberapa objektif. Laporan ini merupakan jawapan kepada cabaran bekas Perdana Menteri, Najib Razak, terhadap mereka yang menyalahkannya atas kegagalan perolehan LCS kerana dia perlu mengambil tanggungjawab atas perkara ini memandangkan skandal LCS ini bermula seawal 2007 lagi, ketika Najib merupakan Menteri Pertahanan.

Laporan ini juga membuktikan yang Presiden UMNO yang juga merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi, menipu apabila dia mengatakan tidak masuk akal untuk menyalahkannya atas kegagalan LCS kerana dia bukanlah Menteri Pertahanan ketika projek ini dianugerahkan.

Laporan JKSTUPKK ini merupakan bukti bahawa Zahid yang mengubah keputusan pada Julai 2011 daripada cadangan pihak Tentera Laut Diraja Malaysia untuk menempah enam buat LCS Sigma dan sebaliknya memilih LCS Gowind dari pengeluar Scorpene tanpa merujuk dahulu dengan pihak tentera laut sebagai pengguna akhir.

Apa lagi yang Zahid akan katakan sekarang.

Zahid perlu menjelaskan, mengapa proses untuk membuat keputusan perolehan LCS Sigma mengambil masa hampir setahun dari Oktober 2009 sehingga Mei 2010, dengan enam mesyuarat bersama pihak Tentera Laut Diraja Malaysia, di mana Menteri Pertahanan akhirnya memberikan kelulusan pada 26 Mei 2011 untuk memperoleh LCS Sigma, hanya untuk kemudiannya keputusan ini diubah dalam masa tiga hari sahaja pada 11 Julai 2011 selepas menerima wakil dari kontraktor tanpa merujuk dahulu dengan pihak TLDM?

Adakah keputusan untuk memperoleh LCS Gowind ini telahpun ditentukan oleh Najib sejak dari awal lagi dengan pengetahun Zahid – yang bermakna, enam mesyuarat yang berlangsung selama hampir setahun di antara pihak TLDM dan Kementerian Pertahanan untuk perolehan LCS Sigma dari Oktober 2009 sehingga Mei 2010, yang membawa kepada kelulusan Zahid pada 26 Mei 2011 ini hanyalah lakonan semata-mata dan pandangan TLDM dianggap sebagai tidak relevan dan tidak penting?

Jawapan kepada persoalan ini hanya ditentukan melalui penubuhan RCI untuk menyiasat skandal LCS yang melibatkan RM9 billion ini.

Saya telah memerhatikan, yang ketiga-tiga pertuduhan terhadap bekas pengarah urusan Boustead Heavy Industries Corp Bhd, Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor, pada hari Isnin kelihatan sepeti tidak ada kaitan dengan skandal LCS.

Ketiga-tiga dakwaan ini adalah sebelum pengeluaran Surat Anugerah (LOA) untuk perolehan LCS yang dikeluarkan pada 16 Disember 2011.

Memandangkan ketiga-tiga dakwaan terhadap Ramli ini adalah untuk perkara sebelum pengeluaran LOA LCS, perkara ini bermakna dakwaan ini adalah untuk perolehan ketenteraan yang berbeza. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menjelaskan mengapa selepas 10 tahun, SPRM gagal untuk membawa satu pun pertuduhan terhadap sesiapa dalam skandal LCS yang melibatkan RM9 billion ini.

Tidak mengejutkanlah Malaysia berada dalam kedudukan gred D dalam Indeks Integriti Pertahanan Kerajaan (GDI) terbitan Transparency International kerana terdapat banyak lagi projek-projek pertahanan dalam negara yang tercemar dengan rasuah, salah laku, dan salah guna kuasa, selepas kecurian dua enjin jet pejuang F5, skandal kapal selam Scorpene dan Agosta, kejadian kemalangan kapal terbang TUDM, kelewatan empat tahun dalam penghantaran enam buah helikopter “Little Birds”, hanya empat dari 28 jet pejuang buatan Rusia yang boleh terbang, dan pelbagai lagi kisah seram dalam perolehan ketenteraan negara yang melibatkan berjuta-juta atau berbillion ringgit.

Satu jawapan dari SPRM diperlukan.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri