Hishammuddin patut meletakkan jawatannya sebagai Menteri Pertahanan sekiranya dia gagal meyakinkan Kabinet untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat skandal Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang melibatkan RM9 billion

Saya mengucapkan tahniah kepada Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein, atas janjinya di Dewan Negara semalam – semasa perbahasan usul tergempar Senator Lim Hui Ying mengenai skandal Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang melibatkan RM9 billion – untuk mencadangkan penubuhan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat perkara ini dalam mesyuarat Kabinet yang akan berlangsung dalam masa beberapa jam dari sekarang.

Hishammuddin patut meletakkan jawatannya sebagai Menteri Pertahanan sekiranya dia gagal meyakinkan Kabinet untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat skandal LCS kerana perkara ini menunjukkan yang pandangan dan cadangannya seperti Menteri Pertahanan atas perkara-perkara berkaitan dengan pertahanan negara dianggap tidak relevan dan tidak diambil serius oleh Menteri-menteri Kabinet yang lain.

Semalam saya menulis sepucuk Surat Terbuka kepada Hishammuddin mengenai 10 sebab mengapa terdapat keperluan mendesak untuk sebuah RCI untuk menyiasat skandal LCS ini.

Hari ini, saya akan memberikan 10 lagi sebab tambahan mengapa RCI perlu ditubuhkan untuk menyiasat skandal LCS yang melibatkan RM9 billion dan mengapa tidak masuk akal untuk mana-mana Menteri yang bertanggungjawab untuk menolak 20 sebab-sebab RCI perlu dibentuk ini.

Sebab ke-11: Tiga pertuduhan terhadap bekas pengarah urusan Boustead Heavy Industries Corp Bhd, Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor semalam adalah sebab ke-11 mengapa perlu adanya RCI untuk menyiasat skandal LCS ini. Walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengatakan yang badan tersebut telah menyelesaikan penyiasatannya ke atas skandal LCS, ketiga-tiga dakwaan ke atas Ramli tidak berkaitan dengan skandal LCS. Ketiga-tiga tuduhan terhadap Ramli ini berasal sejak sebelum pengeluaran Surat Anugerah (LOA) perolehan LCS yang diterbitkan pada 16 Disember 2011. Ketiga-tiga tuduhan terhadap Ramli ini berasal sejak sebelum pengeluaran LOA LCS, yang bermakna tuduhan ini berkaitan dengan perolehan ketenteraan yang berlainan. SPRM perlu menjelaskan kepada RCI mengapa selepas 10 tahun, SPRM gagal untuk merujuk sesiapa pun untuk skandal LCS ini.

Sebab ke-12: Ketiga-tiga tuduhan terhadap Ramli menjelaskan mengapa Malaysia berada dalam kategori negara berisiko tinggi untuk berlaku penyelewengan dalam sektor pertahanan dengan gred D dalam Indeks Integriti Pertahanan Kerajaan (GDI) yang diterbitkan oleh Transparency International (TI) kerana terdapat banyak lagi projek-projek pertahanan dalam negara yang tercemar dengan rasuah, salah laku, dan salah guna kuasa, selepas kecurian dua enjin jet pejuang F5, skandal kapal selam Scorpene dan Agosta, kejadian kemalangan kapal terbang TUDM, kelewatan empat tahun dalam penghantaran enam buah helikopter “Little Birds”, hanya empat dari 28 jet pejuang buatan Rusia yang boleh terbang, dan pelbagai lagi kisah seram dalam perolehan ketenteraan negara yang melibatkan berjuta-juta atau berbillion ringgit. Semua kejadian buruk ini perlu disiasat.

Sebab ke-13: Hishammuddin telah berulang-ulang kali mengatakan yang Kementerian Pertahanan “tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan” dan penubuhan RCI untuk menyiasat skandal LCS yang melibatkan RM9 billion ini menjadi bukti terbaik bahawa Kementerian Pertahanan memang tidak menyembunyikan apa-apa.

Sebab ke-14: Selain dari Tan Sri Ahmad Ramli Nor, seorang lagi protagonis utama skandal LCS yang melibatkan RM9 billion ini yang juga terkenal dalam skandal 1MDB yang melibatkan RM50 billion, adalah Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin – yang merupakan kroni Najib. RCI ini perlu menyiasat apakah peranan yang dimainkan Lodin Wok dalam skandal LCS ini.

Sebab ke-15: Mengambil kira latar belakang perolehan Scorpene dan pembunuhan Altantuya Shaariibuu, RCI ini perlu menyiasat mengapa kerajaan secara tiba-tiba tanpa merujuk dan mendapatkan nasihat dari TLDM, memilih LCS Gowind yang dikeluarkan oleh syarikat yang sama yang membuat kapal selam Scorpene, walaupun terdapat bantahan keras dari TLDM yang memilih reka bentuk LCS Sigma.

Sebab ke-16: RCI ini juga perlu menyiasat sebab mengapa Menteri Pertahanan, secara bersendirian dan tiba-tiba, mengubah keputusan mengenai Sistem Pengurusan Tempur (CMS) dari sistem TACTICOS yang dipilih pihak TLDM kepada sistem SETIS.

Sebab ke-17: Adakah perolehan LCS yang melibatkan RM9 billion mencapai tujuan pertukaran teknologi atau adakah ia hanya merupakan satu kehilangan peluang memandangkan pengeluar LCS Sigma dari Belanda ini bersedia untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluarannya.

Sebab ke-18: Mengapakan perlu digunakan orang tengah yang telah menyebabkan peningkatan harga sebanyak tiga ke empat kali ganda dan kerugian sehingga RM1 billion dalam perolehan LCS ini.

Sebab ke-19: Apakah reformasi parlimen dan perubahan institusi yang diperlukan untuk mengelakkan skandal seperti skandal LCS yang melibatkan RM9 billion ini berulang lagi, perkara ini bukan sahaja membahayakan keselamatan dan kedaulatan negara, tetapi juga menjejaskan kepentingan para anggota dan pesara tentera.

Sebab ke-20: Untuk mencadangkan bagaimana pembinaan keenam-enam LCS ini dapat disiapkan, memandangkan kerajaan kelihatan bersungguh-sungguh untuk menyiapkan dua LCS pertama sambil membiarkan lagi empat LCS dengan nasib yang tidak menentu.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri