Surat Terbuka kepada Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein, mengenai Sepuluh Sebab mengapa sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja ke atas skandal Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang melibatkan RM9 billion diperlukan segera
Saya menulis Surat Terbuka ini kepada Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein, menyenaraikan sepuluh sebab mengapa sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas skandal Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang melibatkan RM9 billion diperlukan segera dan mengapa dia perlu membentangkan cadangan untuk membentuk RCI ini kepada mesyuarat Kabinet esok, walaupun ada pendapat yang mengatakan RCI tidak diperlukan sebaliknya hanya memerlukan tindakan dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sepuluh sebab ini adalah:
- Walaupun Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang diwakili semua parti telah menjalankan tugas yang baik dalam membuka perbincangan mengenai skandal LCS yang melibatkan RM9 billion ini, bukan semua fakta mengenai skandal ini telah didedahkan. Sebagai contoh, asal-usul perolehan projek RM9 billion ini, perkembangannya, dan sebab-sebab untuk pelbagai keputusan penting yang diambil yang telah menyebabkan kelewatan dalam skandal ini masih belum diketahui.
- Terdapat empat orang Perdana Menteri dan sembilan orang Menteri Pertahanan dalam 22 tahun yang lepas, dan setiap seorang dari mereka patut boleh memberikan pencerahan mengenai skandal LCS ini melalui keterangan di hadapan Suruhanjaya Siasatan Diraja.
- Apakah peranan yang dimainkan oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada masa skandal ini bermula.
- RCI ini perlu menyiasat sama ada keputusan untuk menempah LCS Gowind ini telah ditentukan sejak dari awal proses perolehan lagi, dan bilakah keputusan untuk menempah LCS Gowind ini dibuat dan mengapa pendapat dan keperluan pengguna akhir, Tentera Laut Diraja Malaysia, telah diabaikan sepenuhnya.
- RCI patut menyiasat sama ada perolehan LCS Gowind ini dibuat atas kepentingan negara, sama ada dari segi kewangan atau keselamatan.
- Presiden UMNO dan bekas Menteri Pertahanan, Zahid Hamidi, telah menyatakan kebimbangan mengenai pendedahan rahsia pertahanan negara untuk memberikan penjelasan mengenai skandal LCS ini dan dia meminta PAC untuk “lebih sensitif terhadap perkara berkaitan pertahanan”. Namun dia gagal untuk memetik satu pun contoh di mana laporan PAC dengan 247 muka surat, bersama dengan 489 muka surat hansard, dan 192 muka surat slaid pembentangan yang berpotensi mendedahkan rahsia pertahanan negara atau kejadian di mana PAC tidak “lebih sensitif terhadap perkara berkaitan pertahanan”. Sebaliknya, sifat perolehan yang tidak terbuka dalam bidang pertahanan ini telah menjadi tempat pembiakan rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa, salah urus, dan penyelewengan sehingga menyebabkan Malaysia diklasifikasikan dengan gred “D” dalam Indeks Integriti Pertahanan Kerajaan (GDI) terbitan Transparency International (TI), menunjukkan terdapat “risiko tinggi” penyelewengan. RCI ini juga perlu membuat cadangan mengenai bagaimana untuk menaik taraf kedudukan Malaysia dalam GDI ke gred “C”, yang menunjukkan status “sederhana” seperti di negara-negara seperti Australia, Kanada, Denmark, Finland, Perancis, Jepun, Filipina, Singapura, Korea Selatan, Sweden, dan Amerika Syarikat.
- Kolumnis terkenal, P. Gunasegaram, telah menulis sebuah artikel yang bertajuk “Enough meat on LCS bone for MACC to act”. SPRM telah berlengah-lengah selama bertahun lamanya dalam menyiasat skandal LCS ini. RCI ini perlu menyiasat sebabnya untuk menambah baik keberkesanan SPRM supaya Indeks Persepsi Rasuah (CPI) untuk Malaysia dapat mencapai sasaran Pelan Integriti Negara 2003-2008 untuk menjadi 30 negara teratas dengan paling sedikit rasuah.
- Untuk mencari penyelesaian di mana ratusan juta atau berbillion ringgit dalam perolehan pertahanan tidak akhirnya hanya memberikan manfaat kepada kontraktor asing sedangkan kepentingan para anggota dan pesara tentera dikorbankan, dan kejadian di mana sejumlah kecil kroni mereka yang berkuasa menjadi jutawan melalui proses perolehan yang dikatakan dibuat atas nama anggota dan pesara tentera, rakyat, dan negara.
- Untuk mempelajari pengajaran dari skandal LCS yang melibatkan RM9 billion ini, mengenai apakah langkah tadbir urus yang patut dipatuhi di Malaysia, supaya rasuah dalam apa-apa bidang sekalipun dapat dikurangkan, dan bukannya untuk negara kita menunggu kejadian luar biasa seperti pilihan raya 2018, di mana berlakunya perubahan kerajaan yang membolehkan reformasi parlimen untuk dilakukan yang membawa kepada pelantikan ahli parlimen pembangkang, Wong Kah Woh, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara untuk mendedahkan skandal ini.
- Membolehkan kita bergerak ke hadapan dalam cara yang terbaik untuk menyiapkan pembinaan dan penghantaran keenam-enam kapal tempur pesisir ini yang merupakan satu perkara yang kritikal untuk melindungi keselamatan dan kedaulatan negara kerana pihak tentera laut memerlukan kebolehan tempur yang selari dengan perkembangan geostrategi dan geopolitik terkini dalam kawasan serantau.