Menteri Pertahanan yang manakah yang bertanggungjawab terhadap skandal LCS?
Sejak tahun 1990, Malaysia mempunyai sembilan orang Menteri Pertahanan, dengan dua orang berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan sebanyak dua kali, mereka adalah:
Najib Razak: Oktober 1990 – Mei 1995 Hamid Albar: Mei 1995 – Disember 1999 Najib Razak: Disember 1999 – September 2008 Abdullah Badawi: September 2008 – April 2009 Zahid Hamidi: April 2009 – Mei 2013 Hishammuddin Hussein: Mei 2013 – Mei 2018 Mohamad Sabu: Mei 2018 – Februari 2020 Ismail Sabri: Mac 2020 – Ogos 2021 Hishamuddin Hussein: Ogos 2021 – kini
Yang manakah dari sembilan orang Menteri Pertahanan di Malaysia sejak tahun 1990 ini yang bertanggungjawab ke atas skandal mega perolehan ketenteraan – skandal Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang melibatkan RM9 billion?
Zahid telah mengatakan bahawa tidak adil untuk menghubungkannya dengan skandal LCS ini kerana dia bukanlah Menteri Pertahanan semasa kontrak LCS yang bernilai RM9 billion ini dimeterai pada 17 Julai 2014, di mana dia bukan lagi merupakan Menteri Pertahanan ketika itu.
Adakah dia cuba menyalahkan Hishamuddin yang merupakan Menteri Pertahanan selepasnya dari Mei 2013 sehingga Mei 2018?
Hishamuddin masih belum mendedahkan apa yang dilakukannya sebagai Menteri Pertahanan sehingga Mei 2018 untuk memastikan proses perolehan terbesar dalam sejarah Kementerian Pertahanan tidak berakhir sebagai satu bencana dan skandal kewangan, namun dia mempunyai peluang sekali lagi sebagai Menteri Pertahanan untuk memperbetulkan kesilapan lampau untuk memastikan Malaysia akan menerima penghantaran keenam-enam LCS – memandangkan tidak ada satu pun LCS yang telah siap walaupun pembayar cukai telah membayar sejumlah RM6 billion.
Siapa lagi dalam pendapat Zahid yang belum tetapi patut dipanggil oleh PAC untuk memahami selok-belok skandal LCS ini?
Namun, Presiden UMNO ini tidak boleh menafikan perkara yang tidak boleh dinafikan – di mana dia sebagai Menteri Pertahanan pada bulan Julai 2011 telah mengubah keputusan yang dicadangkan oleh pihak Tentera Laut untuk menempah enam buah LCS Sigma buatan Belanda dan sebaliknya memilih pengeluar Scorpene untuk menempah LCS Gowind buatan Perancis dalam masa tiga hari sahaja tanpa merujuk kepada pihak Tentera Laut sebagai pengguna akhir.
Surat Niat (LOI) perolehan ini dikeluarkan pada 16 Oktober 2010 dan Surat Penganugerahan (LOA) pula telah dikeluarkan pada 16 Disember 2011.
Malah, LCS RM9 billion ini amatlah berpaksikan kepada kepentingan kontraktor dan bukannya pengguna akhirnya, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), sehingga pihak Tentera Laut tidak mengetahui langsung mengenai perubahan keputusan ini sehinggalah dimaklumkan oleh pihak kontraktor.
Tidak mengejutkanlah apabila Panglima Tentera Laut ketika itu, Laksamana Abdul Aziz Jaafar mengatakan dalam satu daripada 10 surat bantahannya – lima dihantar kepada Menteri Pertahanan dan dua dihantar kepada Perdana Menteri di mana semuanya tidak diendahkan – bahawa “tidak ada duluan untuk reka bentuk ditentukan oleh kontraktor utama dan bukannya pengguna akhir”.
Abdul Aziz mengatakan terdapat “suatu perkara yang amat salah” memandangkan pihak tentera laut, dan bukannya kontraktor yang sepatutnya menetapkan terma kontrak LCS ini namun pihak Tentera Laut Diraja Malaysia berhadapan dengan kekalahan dalam “pertempuran” ini.
Keputusan Zahid sebagai Menteri Pertahanan pada tahun 2011 dalam masa tiga hari untuk mengubah keputusan untuk memperoleh LCS Sigma kepada LCS Gowind masih menjadi salah satu misteri terbesar dalam sejarah enam dekad kerajaan UMNO-Barisan Nasional.
Apabila membaca laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan juga keterangan yang diberikan oleh pelbagai saksi dalam pendengaran PAC ini, saya boleh berfikir tiga kemungkinan keadaan di mana Zahid mengubah keputusan ini dalam masa tiga hari, iaitu:
(i) Pertama, Zahid adalah seorang Menteri yang teruk yang tidak ambil peduli dengan pendapat pihak Tentera Laut Diraja Malaysia, pengguna akhir LCS yang bernilai RM9 billion ini, dan secara sendirian dan suka-suka mengubah keputusan dari LCS Sigma buatan Belanda kepada LCS Gowind buatan Perancis tanpa memahami apa yang sedang dilakukannya.
(ii) Kedua, Zahid diarahkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak, untuk mengubah keputusan untuk memperoleh LCS Sigma kepada LCS Gowind dan dia menuruti perintah Perdana Menteri tanpa mengambil kira pandangan dan keperluan pengguna akhir, TLDM.
(iii) Ketiga, keputusan untuk memperoleh LCS Gowind ini diputuskan oleh Perdana Menteri, Najib, sejak seawal 2009 lagi dan perkara ini diketahui oleh Zahid – perkara ini bermakna enam mesyuarat yang berlangsung dalam tempoh hampir setahun di antara pihak TLDM dan Kementerian Pertahanan mengenai cadangan TLDM untuk memperoleh LCS Sigma dari bulan Oktober 2009 sehingga Mei 2010, yang membawa kepada kelulusan Zahid pada 26 Mei 2011 ini hanyalah lakonan semata-mata dan pandangan TLDM dianggap sebagai tidak relevan dan tidak penting sama sekali.
Amatlah tidak masuk akal untuk menyalahkan Mohd Sabu apabila dia menjadi Menteri Pertahanan pada bulan Mei 2018 untuk skandal LCS ini, sedangkan pada bulan April 2018, sebulan sebelum kerajaan UMNO-Barisan Nasional ditumbangkan oleh Pakatan Harapan, Pengeluar Perkakasan Asal (OEM), termasuklah Naval Group (pengeluar kapal selam Scorpene dan kuasa sebenar di sebalik kontrak RM9 billion ini) telah menghentikan kerja kerana mereka tidak dibayar oleh kontraktor, BNS.
Maklumat ini boleh ditemui dalam keterangan Muez bin Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, di hadapan PAC pada 18 November 2020.
Bukti terbesar yang menyebabkan Perdana Menteri Malaysia keenam, Najib Razak, tidak boleh menolak tanggungjawab ke atas skandal LCS yang melibatkan RM9 billion ini adalah kegagalannya untuk menafikan yang dia adalah “tangan tersembunyi” di sebalik skandal LCS dan juga cabarannya terhadap mereka yang menuduhnya untuk menunjukkan bukti dia telah mengganggu proses reka bentuk kapal ini.
Terdapat bukti mengikut keadaan yang kuat untuk mengatakan Najib adalah “tangan tersembunyi” di sebalik skandal LCS ini – di mana dia menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika skandal ini berlaku, sejarahnya menjadi Menteri Pertahanan dua kali, “hubungan Perancis” dia, dan juga dialah yang paling banyak bising selepas Laporan PAC diterbitkan.
Namun, isu terbesar sekarang adalah sama ada Hishamuddin boleh menebus maruahnya semula selepas kegagalannya dalam penggal pertama sebagai Menteri Pertahanan dari 2013 hingga 2018 untuk mengelakkan kegagalan penuh skandal LCS dan memastikan empat matlamat berikut dapat dicapai:
(i) Menyiapkan pembinaan keenam-enam LCS;
(ii) Membanteras rasuah dalam perolehan pertahanan;
(iii) Melindungi kebajikan anggota dan pesara tentera; dan
(iv) Menjamin keselamatan dan kedaulatan negara.