Sidang Khas Parlimen untuk mengasingkan isu LCS dari perbezaan kepartian untuk mencapai empat objektif untuk menyiapkan enam LCS, membanteras rasuah dalam perolehan pertahanan, melindungi kebajikan anggota dan pesara tentera, dan menjamin keselamatan dan kedaulatan negara

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Johor merangkap Timbalan Setiausaha Agung DAP, Liew Chin Tong telah menyeru supaya satu sidang khas Parlimen diadakan mengenai isu kontroversi Kapal Tempur Pesisir (LCS).

Saya memberikan pendapat peribadi saya mengenai perkara ini memandangkan saya belum bercakap dengan mana-mana pemimpin dalam DAP, Pakatan Harapan, atau parti-parti politik lain.

Saya menyokong supaya satu Sidang Khas Parlimen ini diadakan bagi membolehkan isu LCS diasingkan dari politik kepartian untuk mencapai empat matlamat, iaitu:

  1. Menyiapkan pembinaan keenam-enam Kapal Tempur Pesisir (LCS);
  2. Membanteras rasuah dalam proses perolehan bidang pertahanan negara;
  3. Melindungi kebajikan anggota dan pesara tentera; dan
  4. Menjamin keselamatan dan kedaulatan negara.

Sidang ini akan menjadi peluang untuk semua parti politik bersetuju yang kita semua bersetuju dengan keempat-empat matlamat ini dalam isu LCS dan untuk mengasingkan isu ini dari politik kepartian supaya seluruh negara dapat bergerak ke hadapan untuk mencari penyelesaian ke atas isu ini.

Malaysia menerima gred D dengan markah 45% dalam Indeks Integriti Pertahanan Kerajaan (GDI) 2020 yang diterbitkan Transparency International (TI) pada tahun 2020 – gred D menunjukkan ketahanan institusi yang rendah terhadap penyelewengan.

Jadikan kerjasama antara-parti dalam kalangan Ahli-ahli Parlimen mengenai isu LCS ini menjadi permulaan untuk meningkatkan taraf gred Malaysia dalam GDI dari gred D ke gred C, yang pastinya akan membawa perubahan dalam kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah.

Kementerian Pertahanan juga perlu ditambah baik dan meninggalkan amalan rundingan terus dengan pihak-pihak tertentu dan mula mengamalkan tender terbuka.

Para pembayar cukai di Malaysia patut diberitahu bagaimana wang cukai mereka dibelanjakan dalam perolehan pertahanan supaya kejadian di mana perkakasan ketenteraan yang telah lapuk dibeli pada kos yang amat tinggi.

Maklumat patut diberikan kepada ahli-ahli parlimen yang kemudiannya boleh membahaskan belanjawan pertahanan ini dan meneliti proses perolehan untuk mengelakkan berlakunya lagi skandal seperti skandal LCS yang melibatkan RM9 billion atau skandal-skandal perolehan bidang pertahanan terdahulu.

Situasi di mana sekumpulan kroni Perdana Menteri boleh menjadi jutawan hasil dari penyelewengan dalam proses perolehan pertahanan sementara anggota dan para pesara tentera dan juga rakyat terus menderita tidak boleh dibiarkan untuk berterusan.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri