Kenyataan paling luar biasa Najib bukanlah untuk menafikan yang dia adalah “tangan tersembunyi” di sebalik skandal LCS yang melibatkan RM9 billion sebaliknya apabila dia meminta bukti yang mengatakan dia adalah “tangan tersembunyi” ini

Bekas Perdana Menteri, Najib Razak, telah membuat satu kenyataan yang amat luar biasa – tidak menafikan yang dia adalah “tangan tersembunyi” di sebalik skandal Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang melibatkan RM9 billion tetapi minta bukti pula untuk mengatakan dialah “tangan tersembunyi” ini.

Najib mengatakan, orang yang menyalahkannya atas kegagalan proses perolehan enam kapal tempur ini perlu menunjukkan bukti yang dia mengganggu dengan reka bentuk kapal ini atau mengambil wang dari projek ini.

Adakah Najib sedang bermain permainan “masak-masak”, terlupa bahawa dia adalah bekas Perdana Menteri yang perlu untuk membuktikan dia berpegang kepada piawaian kehidupan beretika yang penuh tanggungjawab dan ketelusan semasa memegang jawatan ini?

Saya telah bertanya kepada Zahid Hamidi, mengapa sebagai Menteri Pertahanan di antara tahun 2009 sehingga 2013, dia mengubah keputusan yang dicadangkan oleh pihak Tentera Laut Diraja Malaysia untuk menempah enam buah LCS Sigma buatan Belanda kepada keputusan untuk menempah LCS Gowind buatan pengeluar Scorpene pada 11 Julai 2011 tanpa merujuk dahulu dengan pihak tentera laut sebagai pengguna akhir?

Adakah Najib yang bertanggungjawab ke atas keputusan Zahid ini, memandangkan projek LCS ini bermula semasa ketika Najib masih menjadi Menteri Pertahanan sebelum dia menjadi Perdana Menteri pada bulan April 2009?

Mengapa Najib tidak boleh untuk memberikan penafian secara terus terang, sebaliknya meminta bukti yang mengatakan dialah orang yang bertanggungjawab?

Saya telah katakan terdapat empat “dosa besar” skandal LCS ini, dua adalah perubahan secara misteri dari reka bentuk LCS Sigma kepada LCS Gowind dan pengabaian pendapat dan pendirian pengguna akhir, pihak Tentera Laut Diraja Malaysia.

Najib tidak boleh mengetepikan tanggungjawabnya dalam skandal LCS yang melibatkan RM9 billion ini kerana dia bukan sahaja merupakan Perdana Menteri ketika itu, tetapi dia juga merupakan Menteri Kewangan yang bertanggungjawab memberikan kelulusan akhir untuk perolehan LCS ini.

Adakah Najib tepat dalam bercakap mengenai “undi majoriti yang lebih besar untuk Pekan dalam PRU15”, walaupun kolumnis Mariam Mokhtar baru-baru ini telah menulis suatu artikel yang bertajuk: “Najib, seorang lelaki dengan ‘sentuhan yang tercemar’”.

Adakah Najib akan memulakan semula kempen “Malu Apa Bossku” walaupun dengan skandal 1MDB kedua – skandal LCS yang melibatkan RM9 billion – dan skandal 1MDB ketiga Najib yang akan terdedah?

Mengapakah Najib yang paling banyak bising, lebih dari Menteri Pertahanan, Zahid Hamidi, selepas pendedahan skandal LCS yang melibatkan RM9 billion oleh laporan PAC ini?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri