Mengapa Najib menyalahkan Perdana Menteri keempat, Mahathir, dan kerajaan Pakatan Harapan untuk skandal LCS yang melibatkan RM9 billion sedangkan perolehan kapal ini dibuat semasa pemerintahan Najib dan bukannya 20 tahun sebelum ini ketika Mahathir menjadi PM atau semasa pentadbiran kerajaan PH?
Bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, dan bekas Timbalannya, Liew Chiw Tong, bertanya satu soalan yang amat penting dalam kenyataan bersama mereka semalam: sama ada Perdana Menteri keenam, Najib Abdul Razak, telah merancang dari awal untuk menggunakan projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) untuk membayar hutang lapuk dari projek kapal ronda generasi baharu (NGPV).
Saya juga mahu bertanyakan beberapa soalan lagi: Mengapa (i) Najib cuba menyalahkan Mahathir Mohamad untuk skandal LCS bernilai RM9 billion sedangkan perolehan kapal ini dibuat semasa era pemerintahan Najib – sama ada perancangan, perundingan, mahupun pemeteraian kontrak – dan bukannya 20 tahun dahulu ketika mana Mahathir menjadi Perdana Menteri; atau (ii) semasa zaman Pakatan Harapan menjadi kerajaan selepas era pemerintahan Najib?
Najib cuba untuk menghubungkan Mahathir dengan hakikat di mana Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) dipaksa untuk menggunakan sebahagian dari dana LCS untuk membayar hutang lapuk NGPV.
Menurut laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai skandal LCS ini, lebih dari RM6 billion daripada sejumlah maksima RM9 billion yang diperuntukkan untuk projek LCS ini telah dibayar kepada BNS oleh Kerajaan Malaysia.
Daripada RM6 billion ini, sejumlah RM745 juta telah digunakan untuk “membayar” projek NGPV, yang merupakan satu jenayah pecah amanah di bawah Kanun Keseksaan.
Sabu dan Liew telah membangkitkan yang Najib tidak boleh mengatakan yang dia tidak bertanggungjawab atas skandal Tentera Laut Diraja Malaysia yang melibatkan Projek NGPV.
Najib terlibat secara mendalam dengan projek NGPV ini, menjadi Menteri Pertahanan dari tahun 1990 sehingga 1995 dan juga dari tahun 2000 sehingga 2008.
Asal usul projek NGPV ini boleh dijejaki seawal tahun 1990 apabila pihak Tentera Laut Diraja Malaysia bercadang untuk mendapatkan 27 buah kapal peronda.
Selepas mendapatkan kelulusan secara prinsip dari Kabinet pada tahun 1993, pembinaan dan pembelian kapal peronda yang dicadangkan ini dimasukkan dalam perjanjian penswastaan Naval Dockyard Sdn Bhd (NDSB) di antara pihak Kerajaan Malaysia dan Penang Shipbuilding and Construction Sdn Bhd (PSC) untuk membentuk sebuah konsortium yang bernama PSC-NDSB.
Selepas kegagalan projek ini, Boustead Holdings Berhad mengambil alih PSC-NDSB pada tahun 2005 dan menamakan syarikat ini sebagai BNS pada tahun yang berikutnya.
Sebanyak manakah Najib bertanggungjawab dalam skandal NGPV dan skandal LCS ini?
Najib sepatutnya bertanggungjawab ke atas kedua-dua skandal NGPV dan LCS ini, sebaliknya dia sedang mencuba untuk mengalihkan perhatian dari dirinya dengan menuding jari ke masa lepas dan ke masa hadapan – menyalahkan Perdana Menteri keempat yang meletakkan jawatannya pada tahun 2003 dan juga kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan dari Mei 2018 hingga Februari 2020.