Pendekatan empat perkara terhadap skandal LCS yang melibatkan RM9 billion untuk (i) mengambil iktibar dari skandal ini; (ii) pesalah perlu dihukum; (iii) menjamin keselamatan dan kedaulatan negara; dan (iv) menjaga kepentingan anggota dan pesara tentera
Semua orang di Malaysia, sama ada dari kalangan kerajaan atau pembangkang, sektor awam atau swasta, patut setuju dengan satu pendekatan empat perkara terhadap skandal Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang melibatkan RM9 billion – untuk (i) mengambil pengajaran dari skandal ini; (ii) menghukum pesalah; (iii) menjamin keselamatan dan kedaulatan negara; dan (iv) menjaga kepentingan anggota dan pesara tentera.
(i) Mengambil pengajaran dari skandal LCS
Kita masih belum mendapat pengajaran penuh daripada skandal ini kerana kita masih belum tahu bagaimana skandal ini bermula.
Menurut keterangan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Muez bin Abd Aziz, kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 25 Januari 2022, sejarah enam LCS ini bermula seawal 2007, semasa Najib razak merupakan Menteri Pertahanan.
Selepas Najib menjadi Perdana Menteri keenam pada April 2009, dia melantik Ahmad Zahid Hamidi menjadi Menteri Pertahanan sehingga Mei 2013, manakala dia sendiri pula memegang jawatan Menteri Kewangan sepanjang menjadi Perdana Menteri.
Dari Oktober 2009 sehingga Mei 2010, terdapat enam mesyuarat di antara pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Kementerian Pertahanan mengenai cadangan TLDM untuk memperoleh enam buat LCS Sigma binaan Belanda, dan Menteri Pertahanan, Zahid Hamidi, memberikan kelulusan untuk perolehan enam LCS Sigma ini pada 28 Mei 2011.
Pada 8 Julai 2011, Boustead Naval Shipyard (BNS) menulis kepada Menteri Pertahanan, mencadangkan untuk memilih LCS Gowind buatan Perancis, dan Menteri Pertahanan mengubah keputusan sebelum ini untuk memilih LCS Sigma pada 11 Julai 2011 tanpa merujuk perkara ini kepada pihak TLDM sebagai pengguna akhir.
Datuk Dr. Mohd Tap bin Salleh, ahli Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan, dan Kewangan (JKSTUPKK) LCS yang diketuai oleh Ketua Audit Negara, Ambrin Buang, telah memberikan keterangan di hadapan PAC pada 1 Disember 2020 dan mengatakan:
“The first one is basically is the contractor driven in the sense that the end user was never taken very seriously in terms of their needs. Sebab itu kita nampak misalannya the change from SIGMA to GOWIND it was done within a few days and the negotiation of the pricing was also done within a few days, which is not possible. Unless there are hidden hands involved in this.”
Adakah ini sebabnya mengapa Panglima Tentera Laut ketika itu, Abdul Aziz Jaafar, memberitahu mesyuarat PAC pada 29 Julai 2021 bahawa “terdapat suatu perkara yang amat salah” apabila dia bercakap mengenai pertukaran reka bentuk LCS ini dari SIGMA kepada GOWIND dan mengapa 10 surat bantahannya mengenai perubahan ini – lima dihantar kepada Menteri Pertahanan ketika itu dan dua dihantar kepada Perdana Menteri ketika itu – diabaikan sepenuhnya, membawa kepada komennya yang mengatakan “tidak ada duluan untuk reka bentuk ini ditentukan oleh kontraktor utama dan bukannya pengguna akhir”.
Saya bertanya kepada Zahid Hamidi, mengapa dia ketika menjadi Menteri Pertahanan pada tahun 2011, mengubah keputusannya yang dinasihatkan oleh TLDM, dari untuk membuat perolehan enam buat LCS Sigma buatan Belanda kepada enam buat LCS Gowind yang dibina oleh pengeluar Scorpene pada 11 Julai 2011 tanpa merujuk dahulu dengan pihak TLDM yang merupakan pengguna akhir kapal tempur ini?
Apa yang lebih memalukan lagi, pihak TLDM tidak dimaklumkan mengenai perubahan keputusan Menteri Pertahanan ini, sebaliknya TLDM dimaklumkan mengenai perkara ini oleh pihak kontraktor sendiri.
(ii) Pesalah perlulah dihukum
Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein, telah mengatakan yang mereka yang terlibat dengan salah laku dalam skandal LCS yang melibatkan RM9 billion ini akan dibawa ke muka pengadilan kerana “salah tetap salah”, baik sama ada rasuah, salah tadbir, atau penyelewengan.
Malaysia diberikan markah yang rendah oleh Transparency International (TI) untuk rasuah berkenaan sektor pertahanan.
Malaysia menerima markah 45% dan menerima gred D dalam Indeks Integriti Pertahanan Kerajaan (GDI) 2020 terbitan TI – gred D ini menunjukkan tahap ketahanan institusi yang rendah terhadap penyelewengan.
GDI menilai sektor pertahanan sesebuah negara dan bagaimana mereka yang bertanggungjawab menguruskan risiko rasuah di dalam pelbagai bidang yang berkaitan dengan industri pertahanan.
Mesir mendapat kedudukan yang lebih rendah, dengan gred F, tetapi Mesir telah pun mempunyai dua daripada empat LCS Gowind dalam operasi mereka, walaupun negara tersebut memperoleh LCS Gowind mereka jauh lebih lewat berbanding dengan Malaysia.
Adakah rasuah di dalam sektor pertahanan di Malaysia telah merosot teruk sehingga ke tahap seperti di Mesir atau adakah Mesir telah bertambah baik dan menjadi kurang korup dalam sektor pertahanan ini dan akan dinaikkan taraf dari gred F ke gred D dapat TI-GDI?
Semalam, SPRM mengumumkan yang badan tersebut telah melengkapkan beberapa kertas siasatan ke atas individu yang dikatakan berkaitan dengan penyelewengan dalam mengurus projek pembinaan LCS ini.
Saya akan menunggu sebelum menilai perkara ini untuk melihat sama ada SPRM akan mengambil tindakan terhadap semua pesalah, yang mana menurut satu sumber, bertanggungjawab menyeleweng sekurang-kurangnya RM890 juta dari dana LCS.
(iii) Menjamin keselamatan dan kedaulatan negara
Perolehan LCS ini kritikal untuk kepentingan keselamatan dan kedaulatan negara memandangkan pihak tentera laut perlu mempunyai keupayaan untuk bertempur selari dengan perkembangan strategik dan perubahan landskap geopolitik terkini dalam kawasan serantau.
Sebagai pengguna akhir, kelewatan dalam projek ini telah memberikan impak negatif, bukan sahaja terhadap kebolehan tempur TLDM, tetapi juga terhadap moral anggotanya untuk menjalankan tanggungjawab mereka secara efektif.
Amat penting untuk projek ini diteruskan untuk menjamin keselamatan dan kedaulatan negara.
Pihak tentera laut dan seluruh negara perlu bergerak untuk menyiapkan keenam-enam LCS ini secepat mungkin.
(iv) Menjaga kepentingan anggota dan pesara tentera
LCS yang bernilai RM9 billion ini telah menunjukkan yang anggota tentera sedia ada dan para pesara tentera bukanlah satu keutamaan untuk pihak berkuasa, memandangkan para kroni mereka yang berkuasa ini tidak mempunyai sebarang masalah untuk cuba mendapat habuan dengan mengorbankan kepentingan anggota tentera dan para pesara tentera, termasuklah LTAT.
Dalam pakej terakhir untuk menyelesaikan skandal LCS ini, kepentingan dan kebajikan anggota tentera dan para pesara, termasuklah LTAT, perlulah diambil kira.