Terima kasih kepada Najib, Malaysia ditinggalkan di belakang Mesir yang kini telah mempunyai dua LCS Gowind dalam operasi walaupun negara tersebut lebih lambat mengeluarkan kontrak pembinaan LCS Gowind ini
Terima kasih kepada Najib Razak, Perdana Menteri Malaysia, yang telah berjaya membawa malu kepada negara di seluruh dunia apabila Malaysia dikenali sebagai sebuah kleptokrasi, Malaysia telah ditinggalkan di belakang Mesir yang kini telah mempunyai dua buah Kapal Tempur Pesisir (LCS) Gowind dalam operasi walaupun negara tersebut lebih lambat mengeluarkan kontrak pembinaan kapal ini.
Keputusan Malaysia untuk membeli enam buah LCS Gowind dibuat seawal 2011 walaupun kontraknya dilengahkan dan hanya ditandatangan pada tahun 2014, namun Mesir, yang telah menandatangani kontrak bernilai satu billion Euro untuk membeli empat LCS Gowind pada tahun 2014 kini sudah mempunyai dua buat LCS yang beroperasi.
Malaysia melancarkan LCS Gowind pertamanya, Maharaja Lela, di Lumut pada 24 Ogos 2017, namun kapal ini tidak lagi siap dan dijangka akan siap pada tahun 2014, 2015, atau 2016 – mencipta sejarah masa terpanjang untuk sebuah kapal dilancarkan dan dikomisen.
Bolehkah Najib menjelaskan, mengapa LCS Gowind pertama Mesir mengambil masa hanya 29 bulan untuk dibina tetapi LCS Gowind Malaysia pula telah mengambil lebih dari 10 tahun untuk disiapkan?
Keenam-enam LCS Gowind ini telah diberikan nama – Maharaja Lela, Syarif Masahir, Raja Mahada, Mat Salleh, Tok Janggut, dan Mat Kilau – namun tiada satu pun yang telah siap yang kerja masih belum bermula untuk LCS yang keenam.
Jawapan Najib kepada Setiausaha Publisiti DAP yang juga merupakan MP Kulai, Teo Nie Ching, semalam merupakan bukti terbaik bahawa Najib adalah “tangan tersembunyi” di sebalik skandal LCS yang melibatkan RM9 billion ini.
Dia bukan sahaja merupakan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada masa yang berkenaan dengan proses perolehan keenam-enam LCS ini, tetapi dia juga telah menjadi Menteri Pertahanan sebanyak dua kali, kali pertama di antara tahun 1991-1995 dan kali kedua dari tahun 2000 ke 2008.
Saya telah bertanya kepada Zahid Hamidi, mengapa dia sebagai menteri pertahanan dari tahun 2009 sehingga 2013, telah mengubah keputusan yang dicadangkan oleh pihak Tentera Laut Diraja Malaysia untuk membina enam buat LCS Sigma dan memilih reka bentuk LCS Gowind yang ditawarkan oleh pengeluar Scorpene dari Perancis pada 11 Julai 2011 tanpa merujuk dahulu dengan pihak tentera laut yang merupakan pengguna akhir kapal ini?
Bolehkah Zahid menjelaskan, mengapa keputusan untuk membina LCS Sigma ini memakan masa selama hampir setahun dari Oktober 2009 sehingga Mei 2010, dengan enam mesyuarat bersama pihak Tentera Laut, di mana Menteri Pertahanan akhirnya memberikan kelulusannya pada 26 Mei 2011, sebelum keputusan ini kemudiannya diubah dalam masa hanya tiga hari pada 11 Julai 2011 selepas menerima wakil dari pihak Kontraktor, tanpa sebarang rujukan dengan pihak Tentera Laut Diraja Malaysia terlebih dahulu?
Kini, semuanya jelas – Zahid bertindak atas arahan dari Najib sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan tanpa mengambil kira pandangan dan bantahan dari pengguna akhir, iaitu Tentera Laut Diraja Malaysia.
Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berkenaan skandal LCS yang melibatkan RM9 billion ini patut terjual laris, memandangkan ia adalah satu kisah seram rasuah, penipuan, penyalahgunaan kuasa, salah urus, dan jenayah dalam khidmat awam.
Kini saya faham mengapa Najib sebegitu aktif sekali di laman Facebooknya dalam minggu lepas untuk mempertahankan skandal LCS ini, malah dengan cubaan untuk menyalahkan Pakatan Harapan atas skandal ini lagi.
Amat menyedihkan untuk membaca keterangan Zahid di hadapan PAC pada 25 Oktober 2021, yang jelas menunjukkan bahawa Menteri Pertahanan ketika itu enggan untuk mengakui kepentingan pihak Tentera Laut, mewajarkan aduan Panglima Tentera Laut ketika itu, Abdul Aziz Jaafar, yang mengatakan bahawa “ada sesuatu yang sangat tidak kena” dan juga menunjukkan sebab mengapa 10 surat bantahannya mengenai perubahan reka bentuk dari Sigma ke Gowind – lima dihantar kepada Menteri Pertahanan dan dua dihantar kepada Perdana Menteri – diabaikan sama sekali.
Terdapat empat dosa utama dalam skandal LCS yang melibatkan RM9 billion ini:
- Perubahan reka bentuk dari LCS Sigma buatan Belanda kepada LCS Gowind buatan Perancis yang masih menjadi misteri;
- Pengabaian pandangan dan pendirian pengguna akhir, Tentera Laut Diraja Malaysia – yang membuatkan Panglima Tentera Laut ketika itu, Abdul Aziz Jaafar, untuk mengatakan “tidak ada duluan untuk reka bentuk ditentukan oleh kontraktor utama dan bukannya pengguna akhir”;
- Penggunaan sebahagian dari dana yang diperuntukan untuk perolehan LCS untuk tujuan pembayaran hutang lapuk projek lama yang lain; dan
- Pelantikan syarikat “orang tengah”, Contraves Advanced Devices Sdn. Bhd. (CAD) dan Contraves Electrodynamics Sdn. Bhd. (CED) yang mana Laporan Forensik telah mendapati menyebabkan harga perkakasan untuk meningkat dua ke tiga kali ganda.
Saya mengalu-alukan keputusan Kabinet untuk menyah-rahsiakan dua laporan, Laporan Jawatankuasa Perolehan, Tadbir Urus, dan Kewangan yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Audit Negara, Ambrin Buang, dan juga laporan audit forensik mengenai projek LCS.
Namun, perkara ini tidak mencukupi.
Kabinet perlu ke hadapan lagi – dengan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja, bukan sahaja untuk membawa mereka yang bersalah untuk berhadapan dengan pengadilan, tetapi juga untuk mencari solusi terbaik untuk skandal LCS yang melibatkan RM9 billion ini untuk melindungi keselamatan dan kedaulatan negara.