Adakah Najib “tangan tersembunyi” di sebalik skandal LCS yang melibatkan RM9 billion?
Ada satu persoalan yang kini berlegar dalam pemikiran rakyat Malaysia sejak pembentangan laporan mengejutkan dari Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada minggu lepas mengenai Skandal Kapal Tempur Pesisir (LCS): Sama ada Najib Razak adalah “tangan tersembunyi” di sebalik skandal mega ini.
Tanpa membaca dan memahami laporan PAC, yang merupakan satu kisah ngeri korupsi, penipuan, penyalahgunaan kuasa, salah urus, dan jenayah dalam perkhidmatan awam, Najib kini sangat aktif di Facebook dalam minggu lepas untuk mempertahankan skandal LCS yang melibatkan RM9 billion ini, malah mencuba untuk menyalahkan Pakatan Harapan untuk skandal ini – yang hanya menguatkan lagi persoalan tadi.
Najib adalah Perdana Menteri dan Menteri Kewangan semasa proses perolehan enam kapal LCS ini. Apakah peranan yang dimainkannya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu?
Presiden UMNO, Zahid Hamidi, merupakan Menteri Pertahanan dari 2009 sehingga 2013. Dia adalah antara beberapa orang yang patut tahu sama ada Najib adalah “tangan tersembunyi” di sebalik skandal LCS ini.
Namun, tidak ada sesiapa pun menjangkakan Zahid untuk berkongsi kebenaran mengenai perkara ini.
Malah Zahid telah cuba untuk menafikan perkara yang tidak boleh dinafikan dan mengatakan yang tidak masuk akal untuk menyalahkannya atas kegagalan proses perolehan LCS ini memandangkan dia bukanlah Menteri Pertahanan semasa projek ini dianugerahkan.
Namun, jelas sekali Zahid tidak boleh mengetepikan tanggungjawabnya dalam skandal LCS ini, seperti yang ditunjukkan dari hakikat yang dia cuba mengelak dari menjawab persoalan mengapa dia sebagai Menteri Pertahanan, pada Julai 2011, mengubah keputusan seperti yang dicadangkan oleh Tentera Laut untuk membina enam buat LCS Sigma buatan Belanda dan sebaliknya memilih untuk membina enam buat LCS Gowind dari pengeluar Scorpene tanpa merujuk kepada pihak Tentera Laut sebagai pengguna akhir kapal ini.
Bolehkah Zahid menjelaskan, mengapa hampir setahun berlalu dari Oktober 2009 sehingga Mei 2010 dengan enam mesyuarat diadakan di antara pihak Tentera Laut dengan Menteri Pertahanan mengenai cadangan pihak Tentera Laut untuk memperoleh LCS Sigma, di mana Menteri Pertahanan akhirnya memberikan kelulusan pada 26 Mei 2011 untuk pemerolehan Sigma sebelum keputusan ini kemudiannya ditukar dalam masa hanya tiga hari pada 11 Julai 2011 hanya selepas menerima wakil dari pihak Kontraktor tanpa merujuk perkara ini kepada pihak Tentera Laut terlebih dahulu?
Apa yang lebih buruk dan menunjukkan penghinaan Zahid terhadap pihak tentera adalah perkara di mana Tentera Laut Diraja Malaysia tidak dimaklumkan langsung mengenai perubahan perolehan LCS Sigma kepada LCS Gowind ini, sebaliknya pihak TLDM hanya mengetahui mengenai perkara ini melalui pihak Kontraktor, Boustead Naval Shipyard.
Siapakah yang mampu untuk membuat Menteri Pertahanan untuk mengubah suatu keputusan yang telah mengambil masa selama hampir setahun dengan enam mesyuarat bersama pihak Tentera Laut untuk memperoleh LCS Sigma tanpa merujuk perkara ini dengan pihak Tentera Laut Diraja Malaysia?
Satu lagi isu adalah pelancaran palsu LCS pertama pada Ogos 2017, di mana Raja Permaisuri Perak ditipu kononnya LCS pertama yang dinamakan Maharaja Lela telah pun siap, sedangkan sehingga hari ini, lima tahun kemudian, kapal ini masih belum siap.
Adakah Hishamuddin, yang merupakan Menteri Pertahanan pada bulan Ogos 2017 merancang “gurauan” ini sendiri atau adakah dia diarahkan oleh “tangan tersembunyi”?
Hishamuddin hanya boleh menyalahkan dirinya sendiri kerana memusnahkan kredibiliti kenyataannya kepada Dewan Negara semalam – yang LCS pertama akan disiapkan dalam masa dua tahun – ini tidak boleh dipercayai sepenuhnya.
Adakah Hishamuddin akan mengakui dan memohon maaf kepada Raja Permaisuri Perak dan semua rakyat Malaysia di atas gimik pelancaran kapal LCS pertama yang tidak wujud pada Ogos 2017 ini?
Bersatu dan Pemuda UMNO telah menyeru supaya sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dibentuk untuk menyiasat skandal enam LCS yang melibatkan RM9 billion ini.
Adakah sembilan orang Menteri Bersatu dan 11 orang Menteri UMNO dalam Kabinet Ismail Sabri seramai 32 orang ini akan menyokong pembentukan RCI Skandal LCS ini?
Bersatu telah mengatakan penyangak sebenar di sebalik skandal LCS ini hanya boleh didedahkan dan dihukum melalui sebuah RCI yang telus dan boleh dipercayai – untuk “memastikan ketelusan dalam siasatan dan supaya tidak ada apa-apa pun dapat disorokkan oleh mereka yang bersekongkol dengan mereka yang korup”.
Mereka mengatakan, terdapat kegusaran yang “tangan tersembunyi” di sebalik skandal LCS ini cuba untuk mengelak dari bertanggungjawab.
Terma “tangan tersembunyi”: digunakan oleh Datuk Dr. Mohd Tap bin Salleh, seorang ahli JKUSTUPKK, semasa memberikan keterangan di hadapan PAC pada 1 Disember 2020, di mana dia mengatakan:
“The first one is basically is the contractor driven in the sense that the end user was never taken very seriously in terms of their needs. Sebab itu kita nampak misalannya the change from SIGMA to GOWIND it was done within a few days and the negotiation of the pricing was also done within a few days, which is not possible. Unless there are hidden hands involved in this.”
Adakah ini sebabnya mengapa Panglima Tentera Laut ketika itu, Abdul Aziz Jaafar, memberitahu mesyuarat PAC pada 29 Julai 2021 bahawa “terdapat suatu perkara yang amat salah” apabila dia bercakap mengenai pertukaran reka bentuk LCS ini dari SIGMA kepada GOWIND dan mengapa 10 surat bantahannya mengenai perubahan ini – lima dihantar kepada Menteri Pertahanan ketika itu dan dua dihantar kepada Perdana Menteri ketika itu – diabaikan sepenuhnya, membawa kepada komennya yang mengatakan “tidak ada duluan untuk reka bentuk ini ditentukan oleh kontraktor utama dan bukannya pengguna akhir”.
Najib perlu menjelaskan sama ada dialah “tangan tersembunyi” di sebalik skandal LCS yang melibatkan RM9 billion ini, memandangkan dia adalah Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu.
Selepas pilihan raya umum ke-13 pada tahun 2013, Najib sebagai Perdana Menteri telah menggunakan Parlimen untuk menyorokkan skandal 1MDB.
Najib telah cuba untuk menggunakan dana 1MDB untuk merampas kerajaan negeri Pulau Pinang DAP/PKR dalam PRU-13 di mana Jho Low memainkan peranan strategik dalam cubaan gagal ini.
Nasib baik, Pilihan Raya Umum ke-14 menamatkan hegemoni politik UMNO yang akhirnya membolehkan skandal 1MDB untuk didedahkan.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-15, yang akan diadakan sama ada pada tahun ini atau tahun hadapan, Najib sedang cuba untuk kembali berkuasa dan para pemimpin UMNO berharap bukan sahaja untuk menutup skandal 1MDB, tetapi juga pelbagai skandal-skandal lain seperti skandal LCS ini.
Pengundi di Malaysia mempunyai pilihan yang jelas di hadapan mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-15 – untuk memilih untuk membantu Najib menutup skandal 1MDB, LCS, dan pelbagai skandal lain semasa pemerintahannya atau untuk memilih membebaskan negara dari hala tuju menjadi sebuah negara kleptokratik supaya Malaysia dapat menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia.