Sokongan kepada seruan BERSATU supaya satu RCI dibentuk untuk menyiasat skandal Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang melibatkan RM9 billion
Saya menyokong seruan BERSATU supaya satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dibentuk untuk menyiasat skandal Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang melibatkan RM9 billion.
Bersatu mempunyai sembilan orang Menteri dalam Kabinet 32-orang Ismail Sabri.
Adakah mana-mana Menteri ini akan mencadangkan dalam mesyuarat Kabinet yang akan datang supaya sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja dibentuk untuk menyiasat skandal LCS yang melibatkan RM9 billion dan adakah sembilan orang Menteri ini akan bertindak sebagai satu pasukan untuk menyokong penubuhan RCI ini?
UMNO mempunyai 12 orang Menteri, PAS tiga orang, MCA seorang, MIC seorang, PBB empat orang, PBS seorang, dan PBM dengan seorang Menteri.
Adakah parti-parti lain dalam Kabinet juga akan memberikan sokongan majoriti, atau lebih baik lagi, sokongan sebulat suara Kabinet untuk menubuhkan RCI untuk menyiasat skandal LCS ini?
Menteri Pertahanan, Hishamuddin Hussein, telah mengatakan selepas Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai skandal LCS dibentang di Dewan Rakyat Khamis lepas, kementeriannya dan semua pemegang taruh yang berkaitan telah mengambil kira cadangan yang dibuat oleh PAC dalam mesyuaratnya mengenai proses perolehan kapal tempur pesisir ini.
Bolehkah Hishamuddin menyatakan sama ada dia telah melaksanakan cadangan pertama PAC, untuk mendapatkan kelulusan Kabinet untuk menyah-rahsiakan laporan Jawatankuasa Siasatan Khas Pentadbiran, Pemerolehan, dan Kewangan LCS (JKUSTUPKK) yang diketuai oleh Ketua Audit Negara ketika itu, Ambrin Buang.
Sekiranya belum, bolehkah Hishamuddin menyatakan sama ada dia bersetuju dengan cadangan untuk nyah-rahsia laporan JKUSTUPKK ini dan sama ada dia bercadang untuk melaksanakannya.
Hishamuddin memberitahu Dewan Negara semalam yang Menteri Pertahanan akan sentiasa telus dengan pihak awam mengenai status projek ini.
Pelaksanaan cadangan pertama PAC untuk nyah-rahsia laporan JKUSTUPKK ini akan menjadi ujian pertama komitmen Hishamuddin terhadap perkara ini.
Hishamuddin juga mengatakan mereka yang bersalah dalam skandal LCS ini akan dibawa ke muka pengadilan.
Ketua Perhubungan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, mengatakan penyangak sebenar di sebalik skandal LCS ini hanya boleh didedahkan dan dihukum melalui sebuah RCI yang telus dan boleh dipercayai – untuk “memastikan ketelusan dalam penyiasatan dan supaya tidak ada apa-apa yang dapat disorokkan oleh mereka yang bersekongkol dengan penyangaknya”.
Dia mengatakan, terdapat kebimbangan mengenai “tangan tersembunyi” di sebalik skandal LCS yang melibatkan RM9 billion ini.
Terma “tangan tersembunyi”: digunakan oleh Datuk Dr. Mohd Tap bin Salleh, seorang ahli JKUSTUPKK, semasa memberikan keterangan di hadapan PAC pada 1 Disember 2020, di mana dia mengatakan:
“The first one is basically is the contractor driven in the sense that the end user was never taken very seriously in terms of their needs. Sebab itu kita nampak misalannya the change from SIGMA to GOWIND it was done within a few days and the negotiation of the pricing was also done within a few days, which is not possible. Unless there are hidden hands involved in this.”
Adakah ini sebabnya mengapa Panglima Tentera Laut ketika itu, Abdul Aziz Jaafar, memberitahu mesyuarat PAC pada 29 Julai 2021 bahawa “terdapat suatu perkara yang amat salah” apabila dia bercakap mengenai pertukaran reka bentuk LCS ini dari SIGMA kepada GOWIND dan mengapa 10 surat bantahannya mengenai perubahan ini – lima dihantar kepada Menteri Pertahanan ketika itu dan dua dihantar kepada Perdana Menteri ketika itu – diabaikan sepenuhnya, membawa kepada komennya yang mengatakan “tidak ada duluan untuk reka bentuk ini ditentukan oleh kontraktor utama dan bukannya pengguna akhir”.
Adakah terdapat “tangan tersembunyi” di sebalik skandal LCS yang melibatkan RM9 billion ini.
Perkara ini memang memerlukan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja.