Penafian pihak Polis mengenai dakwaan dari gergasi media sosial, Meta, yang mengatakan pihak Polis terlibat dalam cubaan memanipulasi perbincangan awam dengan menubuhkan “ladang toyol internet” adalah satu penafian yang lemah dan tidak meyakinkan

Saya menyeru supaya satu penyiasatan terbuka diketuai oleh seorang bekas hakim untuk menyiasat tuduhan serius dari Meta ini.

Kenyataan dari Setiausaha Polis, Noorsiah binti Mohd Saaduddin, yang mengatakan pihak polis memandang serius dakwaan ini dan sedang cuba mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai perkara ini adalah tidak mencukupi.

Pihak Polis perlu menyatakan sama ada mereka akan memberi kerjasama kepada satu siasatan terbuka yang diketuai oleh seorang hakim atau bekas hakim ke atas tuduhan dari Meta ini, di mana Meta akan dijemput untuk mendedahkan semua bukti yang mereka ada dalam mengatakan yang pihak Polis Diraja Malaysia terlibat dalam aktiviti menternak “toyol internet” untuk memanipulasi perbincangan awam.

Kita perlu memastikan era maklumat di Malaysia tidak merosot menjadi pengeliruan, di mana pihak Polis dan Kerajaan menyertai aktiviti mengelirukan rakyat dan bukannya berusaha untuk membersihkan ruang siber dari berita palsu, fitnah, dan sebagai bentuk maklumat yang salah.

Walaupun penyebaran maklumat salah secara sengaja telah lama wujud, terdapat perbezaan besar dalam era internet – di mana teknologi moden membolehkan penipu untuk mempunyai capaian sekelip mata kepada berjuta orang dan menerima manfaat dengan usaha yang minima.

Menjadi satu salah guna kepercayaan rakyat sekiranya kerajaan atau mana-mana badan kerajaan terlibat dalam satu kempen pengeliruan sebegini.

Kerajaan, sebagai pemegang amanah rakyat, tidak patut terlibat dalam perkara sebegini dan kerana inilah pertuduhan Meta ini perlu dipandang serius.

Malaysia percaya kepada doktrin pemisahan kuasa di antara pihak eksekutif, legislatif, dan kehakiman.

Dalam setengah abad pertama kewujudan negara kita, terdapat sebuah eksekutif yang sangat berkuasa, yang melemahkan kedua-dua pihak legislatif dan kehakiman, di mana negara kita telah ketinggalan di belakang satu demi satu negara dalam pelbagai bidang.

Kini kelihatan seperti pihak kehakiman diperlukan untuk menyelamatkan Malaysia bagi membolehkan negara kita mencapai potensinya sebagai sebuah negara hebat bertaraf dunia dengan menamatkan semua bentuk penyalahgunaan kuasa di Malaysia.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri