Sekiranya ada sesiapa yang perlu bertanggungjawab terhadap skandal LCS yang bernilai RM9 billion ini, orangnya mestilah Zahid yang merupakan Menteri Pertahanan pada waktu itu dan bukanlah mana-mana orang lain

Sekiranya ada sesiapa yang perlu bertanggungjawab terhadap skandal Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang bernilai RM9 billion ini, orangnya mestilah Zahid yang merupakan Menteri Pertahanan pada waktu itu dan bukanlah mana-mana orang lain.

Zahid kelihatan bodoh untuk menafikan yang dia bertanggungjawab ke atas skandal LCS ini.

Dia mengatakan yang tidak masuk akal untuk menyalahkan kegagalan proses perolehan kapal LCS ini ke atasnya kerana dia mendakwa yang dia bukanlah Menteri Pertahanan ketika projek tersebut dianugerahkan.

Oleh itu, dia mengatakan, mereka yang terlibat dengan kegagalan perolehan LCS ini patut memberikan penjelasan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Dia mengatakan: “Saya memegang jawatan menteri pertahanan dari April 2009 sehingga Mei 2013.

“Jadi mana-mana pihak yang telah menyebabkan kelewatan ini patut bertanggungjawab untuk memberikan penjelasan kepada PAC.”

Zahid boleh dikira sebagai menipu apabila dia menafikan tanggungjawabnya terhadap skandal LCS ini, memandangkan proses perolehan enam buat kapal LCS ini diluluskan pada awal tahun 2011 selepas menerima permohonan dari pihak tentera laut.

Kerana inilah Zahid dipanggil oleh PAC pada 25 Oktober 2021 untuk menjelaskan keputusan ini dan bukannya Menteri Pertahanan pada tahun 2014.

Pada 26 Mei 2011, Zahid meluluskan enam buah LCS dengan reka bentuk Sigma seperti yang dicadangkan oleh pihak Tentera Laut, namun pada 11 Julai 2011, dia bersetuju dengan pihak kontraktor, Boustead Naval Shipyard, untuk menukar reka bentuk dari Sigma kepada GOWIND tanpa mendapatkan nasihat atau persetujuan pihak Tentera Laut. Bolehkah Zahid menjelaskan mengapa keputusan ini dibuat?

Sekiranya tidak kerana Pilihan Raya Umum ke-14 yang telah menumbangkan kerajaan dan hegemoni UMNO pada tahun 2018, skandal LCS ini akan terus tersembunyi dan rakyat Malaysia tidak akan tahu mengenainya.

Hasil dari keruntuhan hegemoni UMNO ini, salah satu reformasi Parlimen yang dapat dilaksanakan adalah untuk melantik Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dari kalangan Ahli Parlimen Pembangkang – dan kerana inilah Ahli Parlimen Ipoh Timor, Wong Kah Woh, menjadi Pengerusi PAC selepas kerajaan Pakatan Harapan ditumbangkan secara tidak sah dan tidak demokratik melalui Langkah Sheraton pada Februari 2020.

Sekiranya seorang Ahli Parlimen UMNO yang menjadi Pengerusi PAC, skandal LCS bernilai RM9 billion ini pastinya kekal tersembunyi.

Inilah yang berlaku dalam Parlimen ke-13, di mana Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak, menggunakan Parlimen untuk menyembunyikan skandal 1MDB.

Najib telah cuba menggunakan dana 1MDB untuk menumbangkan kerajaan negeri DAP/PKR di Pulau Pinang dalam Pilihan Raya Umum ke-13 pada tahun 2013, di mana Jho Low memainkan peranan strategik dalam cubaan yang gagal tersebut.

Nasib baiklah Pilihan Raya Umum ke-14 pada tahun 2018 ini berjaya menamatkan hegemoni UMNO, yang akhirnya memberikan ruang untuk skandal 1MDB didedahkan.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 pada tahun ini atau tahun hadapan, UMNO sedang mencuba untuk kembali berkuasa, supaya pemimpinnya dapat menutup semula skandal 1MDB dan membolehkan lebih banyak skandal seperti skandal LCS yang bernilai RM9 billion ini untuk berlaku lagi.

Kerana inilah tidak ada seorang pun pemimpin UMNO, MCA, atau MIC yang telah mengecam skandal 1MDB walaupun selepas hampir sedekad.

Rakyat Kluang perlu terus memainkan peranan dalam memimpin di Johor dan Malaysia untuk membawa negara kita ke masa hadapan yang lebih baik.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri