Mengapakah Laporan PAC mengenai skandal Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) yang bernilai RM9.13 billion ini dibentangkan ke Parlimen pada hari terakhir persidangan pada 4 Ogos sedangkan ia patut dibentangkan dalam sidang bulan Mac untuk membolehkan perbahasan Parlimen dan semakan awam yang lebih mendalam
Satu persoalan yang berlegar-legar di fikiran saya adalah mengapakah Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai skandal Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) yang bernilai RM9.13 billion ini dibentangkan ke Parlimen pada hari terakhir persidangan pada 4 Ogos 2022 sedangkan ia patut dibentangkan dalam sidang bulan Mac untuk membolehkan perbahasan Parlimen dan semakan awam yang lebih mendalam.
Persoalan ini timbul kerana mesyuarat terakhir PAC mengenai isu enam LCS ini adalah pada 8 Mac 2022 dan menjadi satu kecuaian tanggungjawab parlimen untuk tidak memastikan laporan PAC ini dibentangkan pada sidang Mac 2022, di mana Parlimen telah bersidang selama 16 hari, dari 28 Februari sehingga 24 Mac 2022 – yang bermakna, terdapat 16 hari untuk Laporan PAC ini dibentangkan, namun perkara ini tidak berlaku.
Walaupun tidak dibentang dalam sidang Mac, mengapa pula Laporan PAC ini tidak dibentangkan kepada Dewan pada hari pertama persidangan 12 hari Parlimen Julai/Ogos 2022 yang bermula pada 18 Julai bagi membolehkan perkara ini diteliti dan dibahaskan di Parlimen?
Kelihatan seperti ada pihak yang sengaja melengah-lengahkan pembentangan Laporan PAC ini supaya perkara ini tidak menerima perhatian dan penelitian yang sepatutnya. Siapakah orang ini?
Satu penjelasan perlu diberikan kepada rakyat Malaysia mengenai kelewatan pembentangan Laporan PAC mengenai LCS ini.
Boleh Speaker memberikan petunjuk mengenai kelewatan ini?
Apa yang dibentang di Parlimen ini telah menjadi lapuk memandangkan Laporan ini sepatutnya dibentang pada bulan Mac lepas.
Tidak ada sebuah pun dari enam LCS ini telah disiapkan.
LCS pertama yang dikontrak untuk pembinaan patut dihantar ke pihak Tentera Laut menjelang April 2019, yang kedua pada Februari 2020, yang ketiga pada Disember 2020, yang keempat pada Oktober 2021, yang kelima pada Ogos 2022, dan yang keenam pada Jun 2023.
Namun, walaupun tidak ada sebuah pun LCS yang telah disiapkan dan dihantar, satu majlis “pelancaran” yang tidak masuk akal untuk LCS yang pertama telah diadakan pada tahun 2017, lima tahun kemudian, kapal ini masih belum siap.
Menteri Pertahanan, Hishamuddin Hussein, perlu memohon maaf kepada Raja Permaisuri Perak kerana mengelirukan baginda dalam “melancarkan” LCS1 sedangkan kapal ini masih belum siap sehingga hari ini.
Apakah status keenam-enam LCS ini, yang mana lima yang sepatutnya telah siap sekarang?