Adakah Kerajaan Ismail Sabri melancarkan peperangan siber terhadap rakyatnya sendiri?
24 jam sudah berlalu dan masih tidak ada apa-apa bunyi langsung dari kerajaan Ismail Sabri mengenai pertuduhan serius oleh gergasi teknologi, Meta, dalam Laporan Ancaman Jahat (Adversarial Threat Report) yang diterbitkan setiap suku tahun yang mendakwa lebih dari 1,000 akaun Facebook dan Instagram dan juga kumpulan serta laman Facebook telah dibuang kerana melanggar dasar platform tersebut terhadap perbuatan tidak sah yang tersusun.
Meta mengatakan: “Perbuatan sebegini didefinasikan sebagai penggunaan akaun palsu secara tersusun untuk memanipulasikan perdebatan awam untuk mencapai sasaran strategik.”
Di Malaysia, laporan tersebut menyatakan sejumlah 596 akaun Facebook, 180 laman Facebook, 11 kumpulan, dan 72 akaun Instagram dibuang kerana melanggar dasar ini.
“Individu di sebalik rancangan ini mengusahakan satu “ladang toyol internet” (troll farm) – satu usaha tersusun oleh operator yang berada di tempat yang berbeza untuk mencemarkan dan memanipulasikan perbahasan awam dengan menggunakan akaun palsu dan mengelirukan orang ramai mengenai siapa di sebalik akaun-akaun ini,” kata Meta, yang merupakan syarikat induk untuk Facebook.
Laporan tersebut menambah lagi yang jaringan ini aktif di seluruh internet, termasuklah di Facebook, TikTok, Twitter, dan Instagram, dan menghantarkan meme dalam bahasa Melayu untuk menunjukkan sokongan terhadap gabungan kerajaan sedia ada, yang mendakwa terdapat korupsi dalam kalangan pengkritiknya.
“Di Facebook, jaringan ini menguruskan laman-laman, termasuklah sesetengah yang berpura-pura sebagai entiti berita bebas, dan mempromosikan dasar sambil mengkritik pihak pembangkang.
“Kebiasaannya, aktiviti mereka semakin rancak semasa hari kerja, dengan rehat pada waktu makan tengahari. Akaun palsu mereka tidak dibangunkan sepenuhnya dan sesetengahnya menggunakan gambar profil palsu. Sesetengah akaun ini telah dikesan dan dimatikan oleh sistem automatik kami,” tambah syarikat tersebut.
Meta mendakwa yang mereka menemui jaringan ini selepas menyemak maklumat dari Clemson University mengenai sebahagian kecil aktiviti yang pada awalnya disyaki datang dari China.
“Walaupun individu disebaliknya cuba untuk menyorokkan identiti dan usaha mereka ini, penyiasatan kami menemui hubungan dengan Polis Diraja Malaysia.”
24 jam lepas yang sunyi ini amatlah tidak menyenangkan.
Kerajaan sepatutnya melindungi rakyat Malaysia dari perang siber oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan tidak beretika yang dibayar oleh mereka yang mendapat dana haram dari skandal kewangan dan bukannya melancarkan perang siber terhadap rakyatnya sendiri.
Tidak membantu langsung juga apabila Malaysia telah disenarai, bersama dengan tujuh negara lain, Russia, Israel, Pakistan, India, Afrika Selatan, Greece, dan Filipina dengan aktiviti berkaitan peperangan dan pengintipan siber, dan perbuatan tidak sah tersusun di internet.
Apakah yang sedang dibuat kerajaan Ismail Sabri untuk memastikan Malaysia tidak disenaraikan lagi dalam Laporan Ancaman Jahat yang akan datang?
Kerajaan Ismail Sabri tidak boleh terus berdiam diri dan mestilah memberikan respons mengenai perkara ini.