Apakah yang dilakukan SPRM mengenai Laporan PAC tentang LCS?
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara Parlimen (PAC) semalam telah membentangkan laporan mengenai Perolehan Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) kepada Dewan Rakyat.
Amat menyedihkan untuk melihat bagaimana Kerajaan sekali lagi gagal terhadap rakyat Malaysia, dengan satu lagi skandal mega yang mendedahkan kerugian sebanyak RM6 billion.
Skandal ini telah membuktikan Azam Bak salahi – dia sebelum ini mengetepikan penerbitan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) oleh Transparency International (TI) dengan mengatakan yang indeks ini hanyalah persepsi dan bukannya fakta.
Walaupun bekas Panglima Tentera Laut, Tan Sri Dr Abdul Aziz bin Jaafar, telah menggambarkan proses membuat keputusan dalam projek LCS ini sebagai “sangat salah”, laporan PAC memberitahu kita bahawa “semuanya salah” dalam projek LCS yang bernilai RM9 billion ini – dari pelantikan kontraktor, pilihan reka bentuk kapal, sehinggalah kepada bagaimana wang pembayar cukai dibelanjakan, dibakar, dan dibazirkan.
Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan ketika itu, telah memilih untuk berdiam diri dalam 24 jam yang lepas walaupun dia dinamakan dalam Laporan PAC ini atas keputusannya untuk memilih reka bentuk GOWIND dari French Naval Group untuk kapal LCS, bertentangan hasrat pihak Tentera Laut sebagai pengguna yang mahu reka bentuk SIGMA dari pihak Belanda.
Zahid perlu menjelaskan kepada seluruh negara mengapa dia membuat keputusan sebegini yang memberikan kelebihan kepada Kontraktor tersebut.
Perkara ini adalah isu yang melibatkan keselamatan negara dan pihak Tentera Laut yang akan perlu berperang menggunakan LCS ini.
Apakah perkara yang telah mendorong Zahid untuk mengabaikan surat bantahan yang dihantarkan oleh Dr Abdul Aziz Jaafar yang telah menjejaskan kepentingan pihak Tentera Laut dan negara?
Ini adalah kes di mana Menteri Pertahanan bersalah mengabaikan kepentingan pertahanan negara!
Lebih banyak keraguan timbul apabila kita menyedari yang pengeluar GOWIND adalah pembekal yang sama yang membekalkan kapal selama Scorpene yang terkenal sebelum ini.
Bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong, pada tahun 2020 telah menggesa Kerajaan untuk menyiasat RM1 billion yang hilang yang berkaitan dengan projek LCS.
Kita tidak melihat apa-apa penyiasatan diumumkan oleh Kerajaan mahupun apa-apa tindakan yang diambil SPRM sejak dari gesaan ini.
Laporan PAC ini mungkin telah memberikan sedikit petunjuk kepada SPRM sekiranya SPRM tidak tahu mengenai wang yang hilang ini.
Amat mengejutkan apabila Laporan PAC mendedahkan bukan hanya RM1 billion yang telah hilang, tetapi sebanyak RM1.4 billion telah hilang.
Sejumlah RM400 juta telah digunakan oleh Kontraktor untuk membayar hutang lamanya, RM305 juta digunakan untuk membina sebuah pusat di Cyberjaya, yang agak tidak berkaitan dengan pembinaan kapal, dan RM700 juta diklasifikasikan sebagai kos berlebihan oleh pihak Kontraktor.
Kini tanggungjawabnya terletak kepada SPRM untuk menyiasat setiap aspek perbelanjaan dan memberitahu rakyat sama ada wang ini telah disedut keluar dan siapa yang telah menerima manfaat darinya.
Bolehkah Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, memberitahu rakyat Malaysia, apa yang sedang dilakukan SPRM mengenai Laporan PAC ini dan juga menjelaskan mengapa badan tersebut tidak bertindak awal lagi?