Menteri dan Timbalan Menteri perlu menjalani kursus reformasi parlimen supaya mereka tidak mencipta sejarah buruk dengan melakukan dosa besar di parlimen dengan cubaan mengelak menjawab soalan parlimen seperti yang baru berlaku dalam sidang yang sedang berlangsung ini

Menteri dan Timbalan Menteri perlu menjalani kursus reformasi parlimen supaya mereka tidak mencipta sejarah buruk dengan melakukan dosa besar di parlimen dengan cubaan mengelak menjawab soalan parlimen seperti yang baru berlaku dalam sidang yang sedang berlangsung ini.

Saya terkejut apabila menerima jawapan kepada soalan saya untuk mendapatkan butiran mengenai gaji dan elaun untuk pengurusan tertinggi di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Soalan saya berbunyi: Minta Menteri Kewangan menyatakan gaji dan elaun yang diterima oleh semua pengurusan tertinggi syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan Kerajaan (GLIC) bagi setiap tahun bagi lima tahun lepas.

Soalan ini pada mulanya ditujukan kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri, tetapi pada saat-saat akhir, ia dipindahkan kepada Menteri Kewangan untuk menjawab.

Jawapan yang saya dapat daripada Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz adalah seperti berikut:

“Untuk makluman Yang Berhormat, penetapan gaji dan elaun di dalam syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan Kerajaan (GLIC) adalah berdasarkan beberapa kriteria utama seperti saiz syarikat, jenis perniagaan, status syarikat (tersenarai atau tidak tersenarai), kompleksiti tugas dan tanggungjawab serta lain-lain kriteria lagi. Selain itu, kerajaan turut mengambil kira faktor kajian pasaran bagi memastikan gaji dan elaun yang ditetapkan berpadanan atau mark-to-market. Perkara ini penting bagi memastikan syarikat-syarikat berkenaan boleh mengekalkan bakat dan kemahiran kakitangan (bakat kanan dan set kemahiran) selain dapat menarik bakat terbaik daripada pasaran untuk menyertai syarikat. Perkara ini penting bagi memastikan syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan kekal berdaya terutamanya dalam mengharungi keadaan ekonomi ketika ini.”

Pelajar sekolah rendah sekali pun tahu yang Tengku Zafrul langsung tidak menjawab soalan saya ini.

Apa yang dikatakannya ini sebenarnya boleh menjadi penjelasan mengenai perbezaan gaji dan elaun dalam GLC dan GLIC, tetapi dia gagal menjawab persoalan saya yang meminta beliau mendedahkan gaji dan elaun pegawai tertinggi GLC dan GLIC.

Perkara ini merupakan satu tamparan besar terhadap akauntabiliti dan ketelusan kerajaan, dan saya ingin bertanya kepada Tengku Zafrul apa yang dia cuba sembunyikan daripada rakyat Malaysia, serta memberitahunya bahawa dia telah melakukan kesilapan yang besar apabila dia mengelak dari menjawab soalan di parlimen.

Perkara ini tidak berlaku di Parlimen lain – mengapa ia berlaku di Parlimen Malaysia?

Malah, di bawah lapan Perdana Menteri Malaysia sebelum ini dari 1957 hingga 2011, pengelakan soalan parlimen tidak pernah lagi berlaku sebegitu jelas seperti yang berlaku dalam mesyuarat Parlimen sekarang.

Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok, mengatakan yang bahawa dia tidak mendapat jawapan yang sewajarnya kepada Perdana Menteri mengenai saiz, kos dan bilangan kakitangan bukan kerajaan yang terlibat dalam lawatan Perdana Menteri ke Jepun manakala Ahli Parlimen DAP Ipoh Barat, M Kulasegaran mengatakan bahawa Menteri Sumber Manusia, M. Saravanan gagal menjawab soalannya mengenai perbelanjaan perjalanan ke luar negara Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRS Corp) sejak 2020.

Bolehkah Perdana Menteri, Ismail Sabri, menjelaskan mengapa Kabinetnya tidak dapat memenuhi piawaian Perdana Menteri dan Kabinet terdahulu dalam memberikan jawapan kepada Parlimen?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri