Masa untuk membongkarkan semua penipuan, berita palsu, dan maklumat palsu yang telah mencemari arena politik negara dalam beberapa tahun yang lepas
Masanya telah tiba untuk membongkarkan semua penipuan, berita palsu, dan maklumat palsu yang telah mencemari arena politik negara dalam beberapa tahun yang lepas.
Perdana Menteri, Ismail Sabri, cuba memberikan alasan untuk konspirasi Langkah Sheraton di konvensyen Barisan Nasional Selangor pada hari Ahad – yang telah menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan secara tidak demokratik dan tidak sah selepas 22 bulan – atas alasan dominasi DAP dalam kerajaan Pakatan Harapan.
Bolehkah Ismail Sabri menjelaskan bagaimana enam orang Menteri DAP boleh mendominasi dan mengalahkan sekumpulan 28 orang ahli Kabinet Pakatan Harapan di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad?
Terdapat lapan orang Menteri yang terpalit dalam konspirasi Langkah Sheraton ini – yang pada masa itu merupakan Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin; Menteri Hal Ekonomi, Azmin Ali; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin; Menteri Luar Negeri, Saifuddin Abdullah; Menteri Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi, Redzuan Md Yusuf; Menteri Kerja Raya, Baru Bian; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun; dan Menteri Air, Tanah, dan Sumber Asli, Xavier Jayakumar.
Adakah Ismail Sabri dengan jujur dan benar-benar cuba mengatakan yang lapan orang Menteri Bersatu dan PKR, termasuklah dengan Muhyiddin, Azmin Ali, Zuraida, Rina Harun, Saifuddin Abdullah, dan Mohd Redzuan, amatlah berkualiti rendah dan tidak kompeten sehingga mereka tidak dapat melawan “dominasi” enam orang Menteri DAP?
Dan bagaimanakah “dominasi” DAP dalam kerajaan Pakatan Harapan ini ditunjukkan? Penahanan Exco DAP Negeri Melaka dan Ahli Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan DAP berdasarkan tuduhan LTTE yang tidak berasas?
Perdana Menteri Ismail Sabri patut berhenti merendah-rendahkan kebolehkan Muhyiddin, Azmin Ali, Zuraida, dan Menteri-menteri Bersatu dan PKR yang lain.
Malah, dia patut menunjukkan tauladan dan berhenti menyebarkan berita palsu, tuduhan palsu, dan penipuan dalam arena politik!
Dia perlu memastikan yang kempen “Keluarga Malaysia” tidak dibina di atas penipuan, berita palsu, dan fitnah.
Tetapi, tuduhan “dominasi” DAP dalam kerajaan Pakatan Harapan ini kurang serius berbanding dengan pelbagai lagi fitnah lain yang disebarkan mengenai DAP dalam kerajaan Pakatan Harapan – yang bahawa kononnya DAP anti-Melayu dan anti-Islam.
Saya menafikan sebarang tuduhan yang DAP adalah anti-Melayu atau anti-Islam kerana perkara ini bertentangan dengan prinsip asas DAP yang Malaysia adalah sebuah masyarakat majmuk yang terdiri dari pelbagai kaum, bahasa, agama, dan budaya dan kita sepatutnya harus menggunakan kepelbagaian empat tamadun hebat dunia yang bertemu di Malaysia ini untuk membina sebuah bangsa Malaysia yang hebat.
Saya berani cabar siapa-siapa untuk memberikan contoh pada ketika mana DAP menjadi sebahagian dari Kerajaan Pakatan Harapan untuk menunjukkan yang DAP ini anti-Melayu atau anti-Islam, kerana DAP tidak pernah anti kepada mana-mana kaum atau agama, sebaliknya memperjuangkan hak semua kaum dan agama untuk menjadi asas kepada perpaduan, keadilan, dan keharmonian di Malaysia dalam mengejar Impian Malaysia.
Salah satu isu yang paling berkontroversi dalam kerajaan Pakatan Harapan adalah isu Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Perkauman (ICERD) dalam bulan-bulan awal pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan pada penghujung tahun 2018.
Saya dicatatkan sebagai mencabar Menteri Luar Negeri ketika itu yang juga merupakan seorang Menteri yang terlibat dengan Langkah Sheraton, Saifuddin Abdullah, untuk “menjelaskan” isu ICERD ini dan mengakui yang perkara ini adalah kerjanya dan Menteri-menteri DAP tidak tahu apa-apa mengenai ratifikasi ICERD walaupun DAP tetap menjadi sasaran momokan sebagai kononnya anti-Melayu, anti-Islam, malah kononnya anti-Raja.
Semalam, Setiausaha Agung DAP yang juga merupakan bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, memberitahu Parlimen bahawa seorang pemimpin DAP juga yang telah menyelamatkan dana pencen angkatan tentera dari berhadapan dengan kerugian sebanyak RM555 juta melalui bantuan kerajaan.
Loke mengatakan, dialah sebagai Menteri Pengangkutan ketika itu, yang telah mencadangkan supaya dana pencen angkatan tentera ini (LTAT), untuk dipulangkan semula RM555 juta yang dibelanjakan badan tersebut untuk mengambil alih konsesi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) untuk kesalahan trafik.
Rakan Kabinetnya ketika itu, Mohamad Sabu (PH-Kota Raja), yang merupakan Menteri Pertahanan, bersetuju dengan cadangan tersebut.
Loke mengatakan, Najib Razak, semasa menjadi Perdana Menteri keenam, telah mencadangkan supaya LTAT mengambil alih konsesi AES dari pemegang konsesi Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd dengan nilai sebanyak RM555 juta.
Loke berkata di Parlimen semalam: “Seorang menteri pengangkutan dari DAP, yang selalu diburuk-burukkan oleh pihak yang satu lagi sebagai anti-Melayu dan anti-Bumiputera, yang mencadangkan supaya RM555 juta ini dipulangkan kepada LTAT.
“Sekiranya kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak membuat keputusan sebegini, dana LTAT ini pastinya akan terbazir dan para veteran akan berhadapan dengan masalah.”
Professor Ahmad Murad Merican dari Institut Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, mengatakan dalam persidangan meja bulat mengenai “Penjenamaan Semula Naratif Politik Melayu” yang diadakan pada hujung minggu lalu yang “untuk menjadi seorang Melayu dilihat sebagai menjadi negatif, malas, korup, hipokrit, dan rasis” dan dia menyeru supaya berlaku perubahan.
Dia mengatakan: “Imej Melayu perlu diubah, selari dengan budaya dan tabiat politik, penjenamaan semula ini juga diperlukan di peringkat antarabangsa.”
Salah siapakah untuk perkara ini: DAP yang mana menterinya telah menyelamatkan RM550 juta untuk para veteran tentera, atau Najib yang bertanggungjawab ke atas skandal 1MDB yang bernilai RM50 billion dan para pemimpin UMNO yang tidak pernah mengucapkan sepatah perkataan sekalipun untuk mengecam “kleptokrasi dalam bentuk yang terburuk” ini dalam dekad yang lepas?
Adakah sesiapa dari UMNO berani untuk memberikan respons?