Saya tidak pernah mencadangkan kepada Mahathir mengenai siapa yang perlu dilantik ke Kabinet atau mana-mana jawatan utama, mahupun menentukan apakah jawatan yang patut dipegang oleh sesiapa, sebelum atau selepas Mahathir menjadi Perdana Menteri kerajaan Pakatan Harapan
Majlis ini amatlah sinonim dengan DAP memandangkan DAP sentiasa berada di barisan hadapan perubahan baharu.
Kami bermula sebagai sebuah parti politik 56 tahun yang lepas, memperjuangkan perubahan di Malaysia untuk memenuhi Impian Malaysia, di mana semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, mahupun kawasan, berhak untuk mendapatkan keadilan, kebebasan, kesaksamaan, dan peluang yang adil.
Apabila dunia memasuki Era Maklumat, kamilah parti pertama yang mula ke atas talian.
Kini, dalam era teknologi rantaian-blok (blockchain) dan NFT (token unik yang berasaskan rantaian-blok), kamilah antara yang terawal yang memperkenalkan suatu perkara baharu yang unik – pemilikan bersama lukisan Tony Pua, Langkah Sheraton, yang merupakan simbol kepada pemilikan bersama negara ini.
Konspirasi Langkah Sheraton yang merampas mandat rakyat selama lima tahun kepada Pakatan Harapan untuk membawa perubahan dan reformasi institusi selepas enam dekad pemerintahan dan hegemoni UMNO ini perlu sentiasa diingati oleh semua rakyat Malaysia.
Terdapat cubaan, melalui berita palsu, fitnah, dan momokan yang diulang-ulang untuk menggambarkan perkembangan politik dalam negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada tahun 2018 dalam terma hitam dan putih – dengan 22 bulan pentadbiran Pakatan Harapan dianggap sebagai perkara hitam yang paling gelap sekali.
Perdana Menteri, Ismail Sabri memberikan alasan untuk konspirasi Langkah Sheraton di konvensyen Barisan Nasional Selangor pada hari Ahad atas alasan dominasi DAP dalam kerajaan Pakatan Harapan.
Bagaimanakah enam orang Menteri DAP boleh mendominasi dan mengalahkan 28 orang ahli Kabinet Pakatan Harapan – bagaimanakah enam orang boleh melawan 28 orang?
Seperti mana tuduhan yang mengatakan kononnya DAP ini anti-Melayu dan anti-Islam, tuduhan dominasi DAP dalam Pakatan Harapan ini juga tidak berasas atau mempunyai kebenaran sama sekali.
Izinkan saya untuk mendedahkan satu perkara yang saya tidak pernah katakan sebelum ini.
Saya tidak pernah mencadangkan kepada Tun Dr Mahathir mengenai siapa yang perlu dilantik ke Kabinet atau mana-mana jawatan utama, atau menentukan jawatan apa yang perlu dipegang oleh sesiapa, baik sebelum atau selepas Mahathir menjadi Perdana Menteri kerajaan Pakatan Harapan.
Saya mahu Mahathir bebas, berdasarkan janji-janji yang telah dibuat Pakatan Harapan dalam Manifesto Pilihan Raya.
Saya berjumpa dengan Mahathir pada pertengahan tahun 2019 untuk menekankan kepadanya kepentingan untuk memenuhi janji-janji pilihan raya yang dibuat Pakatan harapan, dan saya telah cadangkan kepadanya untuk berterus-terang dengan rakyat sekiranya ada janji yang tidak dapat dipenuhi dan menjelaskan mengapa, kerana saya percaya rakyat akan memahami kejujuran sebegini.
Saya berharap untuk bertemu dengan Perdana Menteri pada pertengahan terma kerajaan Pakatan Harapan, sama ada Mahathir atau Anwar Ibrahim, namun kerajaan Pakatan Harapan telah ditumbangkan secara tidak sah dan tidak demokratik pada penghujung Februari 2020 selepas 22 bulan – melalui konspirasi Langkah Sheraton.
Kita perlu memastikan rakyat faham yang parti-parti Pakatan Harapan mengambil serius janji-janjinya, dan kita diberikan mandat selama lima tahun untuk memenuhi janji-janji ini, namun hanya selepas 22 bulan, kerajaan Pakatan Harapan telah ditumbangkan dan dinafikan mandat ini.
Cabaran kita hari ini adalah untuk menyeru rakyat untuk memperbaharui keberanian, harapan, dan inspirasi mereka untuk meneruskan perjuangan untuk membawa reformasi nasional dan perubahan supaya Malaysia boleh menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia, yang sebelum ini dinafikan melalui konspirasi Langkah Sheraton.
Kita tidak boleh melepaskan hak kita dan berputus asa terhadap Impian Malaysia dengan pengkhianat Langkah Sheraton.