Malaysia perlu menjadi ahli komuniti antarabangsa yang bertanggungjawab dengan menyelesaikan dua skandal korup besar – pertamanya, skandal kapal selam Scorpene dan pembunuhan Altantuya Shaariibuu dan keduanya, skandal 1MDB

Malaysia perlulah menjadi ahli komuniti antarabangsa yang bertanggungjawab dengan menyelesaikan dua skandal korup besar – pertamanya, skandal kapal selam Scorpene dan pembunuhan Altantuya Shaariibuu dan keduanya, skandal 1MDB.

Semalam saya telah mencadangkan supaya Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) untuk menyiasat kes rasuah kapal selam Scorpene 2022 dan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu susulan daripada pendakwaan syarikat Perancis, Thales, yang dibawa oleh kerajaan Perancis atas tuduhan bersubahat dengan rasuah dalam urusniaga kapal selam tersebut dua dekad yang lepas. PAC boleh berbuat demikian dibawah peruntukan Peraturan Mesyuarat 77(d) yang memperuntukan bahawa PAC boleh memeriksa “(d) apa-apa perkara lain yang difikirkan oleh Jawatankuasa itu patut diperiksa, atau apa-apa perkara yang diserahkan oleh Majlis kepada Jawatankuasa itu.”

Seorang pembunuh yang telah disabitkan bersalah membunuh Altantuya Shaariibuu, Azilah Hadri, telah membuat kenyataan bersumpah semasa menunggu hukuman mati pada tahun 2019, mengatakan yang arahan untuk membunuh Altantuya datang daripada bekas Perdana Menteri Najib Abdul Razak dan juga sekutu rapatnya, Abdul Razak Baginda.

Dalam pengakuan buat kali pertamanya, Azilah mengatakan dia dan seorang lagi pembunuh yang disabitkan bersalah, Sirul Azhar Umar, telah membunuh warga Mongolia tersebut sebagai sebahagian daripada arahan “tembak untuk bunuh” yang diterimanya sebagai seorang ahli pasukan elit Unit Tindak Khas (UTK) Polis.

Sirul juga telah mendakwa yang dia membunuh Altantuya pada tahun 2006 atas arahan daripada kerajaan Malaysia atas alasan yang mengatakan Altantuya adalah “perisik Russia”.

Sirul dan Azilah telah disabitkan bersalah menembak dan meletupkan Altantuya dengan bahan letupan gred tentera pada bulan Oktober 2006.

Mahkamah Persekutuan telah membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan mereka berdua, langsung menghukum mereka dengan hukuman gantung sampai mati.

Bagaimanapun, Sirul yang bebas semasa proses rayuan tersebut telah melarikan diri ke Australia dan ditahan di Pusat Imigresen Villawood di Sydney, Australia.

Dilaporkan bahawa Sirul bersedia untuk mendedahkan segalanya mengenai pembunuhan Altantuya sekiranya dia diberikan pengampunan penuh untuk kembali ke Malaysia.

Walaupun Mahkamah Persekutuan telah menolak permohonan Azilah untuk menyemak semula sabitan dan hukuman matinya, isu kepentingan awam memerlukan siasatan ke atas motif pembunuhan Altantuya ini.

Pendakwaan syarikat Perancis, Thales, oleh kerajaan Perancis ini telah membuka semula kes rasuah kapal selam Scorpene 2002 dan juga kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

PAC perlu mempertimbangkan untuk menyiasat kedua-dua kes ini, termasuklah dengan menyoal siasat Azilah yang sedang menanti hukuman mati dan menghantar ahli PAC ke Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney untuk menyoal siasat Sirul, dan juga mempertimbangkan rayuan Parlimen kepada Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong untuk mengetepikan hukuman mati ke atas kedua-dua pembunuh tersabit ini dalam usaha untuk mengenal pasti motif pembunuhan Altantuya.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri