Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara perlu menyiasat kes rasuah kapal selam Scorpene 2002 dan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu susulan pendakwaan terhadap Thales oleh Kerajaan Perancis atas tuduhan bersubahat merasuah dalam urusniaga Scorpene dua dekad lepas

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) perlu menyiasat kes rasuah kapal selam Scorpene 2002 dan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu susulan pendakwaan yang dibawa terhadap Thales oleh Kerajaan Perancis atas tuduhan bersubahat merasuah dalam urusniaga Scorpene dua dekad lepas.

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara boleh bertindak di bawah peruntukan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 77(d) yang memperuntukan bahawa PAC boleh memeriksa “(d) apa-apa perkara lain yang difikirkan oleh Jawatankuasa itu patut diperiksa, atau apa-apa perkara yang diserahkan oleh Majlis kepada Jawatankuasa itu.”

Ini adalah kes kedua di mana pihak berkuasa asing telah mendedahkan kes skandal rasuah besar di Malaysia, sebelum ini, bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa, telah disabitkan bersalah pada 8 April di Amerika Syarikat, tetapi tidak di Malaysia, atas tiga tuduhan rasuah di luar negara berkaitan dengan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Empat tahun yang lepas, saya telah katakan yang “roh Altantuya akan terus menghantui Najib dan Malaysia sehinggalah terdapatnya penyiasatan yang menyeluruh dan memuaskan mengenai motif pembunuhan terkutuk warga Mongolia tersedut dan sehingga pembunuh yang sebenarnya dihadapkan ke muka keadilan”.

Amatlah memalukan untuk negara kita apabila laman web Yayasan Keamanan Dunia di Tufts University mempunyai satu artikel mengenai “Skandal Kapal Selam Scorpene Malaysia” yang bermula dengan dua perenggan berikut:

“Penjualan kapal selam 'Scorpène' Perancis bernilai EUR 1.2 bilion kepada Malaysia pada 2002, dan komisen yang meragukan yang mengiringi penjualan itu, mungkin tidak disedari jika tidak kerana berlakunya penculikan dan pembunuhan seorang penterjemah muda pada tahun 2006. Mangsa yang bekerja dengan ejen utama dalam perjanjian itu, telah disasarkan apabila dia cuba mendapatkan bahagian komisennya. Perbicaraan pembunuhan berikutnya membabitkan anggota cawangan risikan khas polis tempatan, yang mungkin pernah berkhidmat dengan menteri pertahanan dan bakal perdana menteri Najib Razak sebagai pengawal peribadi.

“Dengan penyiasatan di Malaysia yang disekat oleh campur tangan politik, momentum penyiasatan beralih ke Perancis. Syarikat pembinaan kapal Perancis, DCNS, telah diserbu pada tahun 2010, dan akhirnya menjadi jelas bahawa syarikat itu berada di bawah pengawasan kerana mengendalikan rangkaian perantara untuk merasuah Razak dan ejennya, Abdul Razak Baginda, yang melanggar peruntukan Konvensyen Rasuah Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan Konvensyen (OECD) dan undang-undangnya di Perancis.”

Dengan perkembangan terkini kes pembelian kapal selam Scorpene 2002 di Perancis, PAC mempunyai peluang yang jelas untuk membersihkan nama dan maruah Malaysia dengan satu penyiasatan mendalam terhadap pembelian kapal selam Scorpene pada tahun 2002 ini dan juga penyiasatan mendalam terhadap pembunuhan warga Mongolia, Altantunya Shaariibuu.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri