Rakyat Malaysia perlu memastikan negara kita tidak menerima nasib yang sama seperti Sri Lanka, yang merupakan sebuah negara Asia yang paling kaya setengah abad yang lalu, yang telah mengambil langkah yang salah dalam membina negara dan kini semakin menghampiri status sebagai sebuah negara yang gagal

Pada zaman saya bersekolah di Batu Pahat pada tahun 50-an, Ceylon (yang kemudian menukar namanya menjadi Sri Lanka pada tahun 1972 selepas menjadi sebuah republik) adalah salah satu negara yang paling kaya di Asia, jauh lebih maju berbanding dengan negara-negara Asia lain seperti Thailand, Korea Selatan, India, Pakistan, dan Burma.

Tetapi, Sri Lanka telah mengambil langkah yang salah dalam merangka dasar pembangunan negaranya dan kini, hampir setengah abad yang kemudian, negara tersebut hampir menjadi sebuah negara gagal.

Sri Lanka telah gagal untuk membayar semula hutang asingnya buat pertama kali sejak kemerdekaan negara tersebut dan kini 22 juta rakyat sedang berhadapan dengan ketiadaan elektrik selama 12 jam sehari dan kekurangan makanan, bahan api, dan barang-barang asas lain seperti ubat-ubatan yang amat teruk.

Kadar inflasi di Sri Lanka berada pada paras yang paling tinggi, 17.5%, dengan harga barang makanan seperti satu kilogram beras meningkat enam kali ganda manakala harga sepeket serbuk susu 400g meningkat lebih dari empat kali ganda.

CNN melaporkan: “Prosedur pembedahan dijalankan menggunakan lampu suluh dari telefon bimbit dan kateter digunakan semula: Masalah ekonomi Sri Lanka terus membawa hospital ke arah bencana”.

Rakyat Malaysia perlu belajar dari kesilapan Sri Lanka dan menyedari di mana silapnya, di mana Sri Lanka kini hanya berhadapan dengan perpecahan, penderitaan, konflik, malah perang saudara, dan bukannya perpaduan, kemakmuran, dan kemajuan – Sri Lanka kini adalah sebuah negara gagal.

Malaysia adalah satu lagi negara dengan masa hadapan yang cerah dalam setengah abad yang lepas. Tetapi, dalam setengah abad yang lepas, kita telah ditinggalkan di belakang Taiwan, Korea Selatan, Singapura, dan Vietnam. Adakah kita akan terus ditinggalkan di belakang lebih banyak negara, Indonesia dan Filipina, menjelang 2040 atau 2050?

Bolehkah kita selamatkan Malaysia daripada menjadi satu lagi Sri Lanka?

Inilah cabaran yang dihadapi oleh generasi baharu pemuda Malaysia.

Semasa saya menjadi Setiausaha Agung DAP pada tahun 1969, umur purata Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP adalah kira-kira 34 tahun. Kita bermula sebagai parti yang sangat muda dan kerana inilah tidak ada keperluan untuk mempunyai sayap pemuda pada hari-hari awal DAP kerana keseluruhan parti ini adalah satu pergerakan orang muda.

Kini, umur purata CEC DAP adalah 49 tahun, masih dikira muda jika dibandingkan dengan parti-parti lain.

Tetapi kita perlu lebih sedar mengenai peranan orang muda dan orang tua dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia – terutamanya untuk memastikan adanya ruang untuk rakyat Malaysia yang berumur di antara 18-21 tahun untuk menyumbang dalam usaha pembinaan negara bangsa Malaysia.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri