Malaysia hanya boleh menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia sekiranya rakyat Malaysia berpegang kepada Impian Malaysia, bukannya Impian Melayu, Impian Cina, Impian India, Impian Kadazan, atau Impian Dayak
Saya mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datin Seri Wan Azizah atas kemurahan hati dan semangat setiakawan mereka dalam menganjurkan majlis makan malam ini, dan juga kepada ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Selangor di atas solidariti dan sokongan mereka dalam menghadiri majlis makan malam sempena persaraan politik saya ini.
Saya baru sahaja pulang daripada Kampong Bakuku di Sabah dan saya tidak terkejut sekiranya anda tidak pernah dengar mengenai kampung ini, kerana saya sendiri tidak tahu mengenainya sebelum saya melawat kampung ini yang terletak di Tenom semalam, berhampiran dengan kawasan sempadan Sabah/Sarawak, di mana Impian Malaysia mengadakan kem perubatan untuk penduduk di kawasan persekitaran kampung ini.
Semasa saya mengumumkan persaraan politik saya dalam Kongres DAP pada 20 Mac yang lepas, ia adalah persaraan daripada pemilihan dan pimpinan parti dan persaraan daripada pilihan raya parlimen dan dewan undangan negeri, lawatan saya ke Kampung Bakuku ini menjadi bukti bahawa ia bukan persaraan penuh daripada politik.
Saya tidak merasakan mungkin untuk saya bersara sepenuhnya daripada politik, kerana politik mempunyai kesan kepada seluruh aspek kehidupan kita dan juga di arena global.
Setengah abad yang lepas, ketika saya melompat ke dalam penglibatan politik, penglibatan saya ini didorong oleh idealisme untuk sebuah Malaysia yang lebih baik, di mana adanya keharmonian, perpaduan, keadilan, kesaksamaan, dan tadbir urus yang baik dalam negara sebagai asas untuk Malaysia menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia.
Kemudian barulah saya sedar yang perkara ini melibatkan politik kepartian, penyertaan dalam parlimen dan dewan undangan negeri, pembentukan kerajaan di peringkat negeri dan persekutuan, dan lain-lain lagi.
Ia merupakan satu perjalanan yang panjang dalam mengejar perpaduan, keadilan dan sebuah Malaysia yang lebih baik selama 57 tahun, dan saya berterima kasih untuk semangat setiakawan dan persaudaraan yang diberikan dan dikongsikan dalam perjalanan ini. Ramai saudara kita tidak lagi bersama dengan kita hari ini – seperti Karpal Singh, P. Patto, Peter Dason, Ahmad Nor, Ibrahim Singgeh, Fan Yew Teng, Chian Heng Hai, Chan Kok Kit, dan ramai lagi.
Tetapi, pengorbanan, memori, dan semangat mereka perlulah diteruskan oleh kita semua dalam misi mengejar perpaduan, keadilan, dan demi sebuah Malaysia yang lebih baik.
Kita sedang berhadapan dalam masa yang tidak menentu. Empat tahun yang lepas, pada tahun 2018, satu kejadian mustahil telah berlaku – Pilihan Raya Ke-14 yang menumbangkan gergasi korup hegemoni UMNO.
Tetapi, harapan tinggi untuk sebuah Malaysia Baharu ini telah dimusnahkan oleh konspirasi Langkah Sheraton selepas 22 bulan, dan kerajaan Pakatan Harapan ini tidak sempat untuk memenuhi janji-janji pilihan rayanya yang sepatutnya diberikan penggal lima tahun.
Kita diberikan peringatan bahawa Impian Malaysia, untuk sebuah negara Malaysia yang bersatu padu, demokratik, dan adil, yang bertaraf dunia ini adalah satu perjuangan jangka masa panjang, dengan jalan yang sukar, tetapi kita perlu berpegang teguh dengan matlamat ini dan tidak sekali-kali berkompromi dengan prinsip dan idealisme kita.
Kita mewakili harapan dan aspirasi rakyat Malaysia yang mahu melihat Malaysia berdiri megah di persada dunia dengan pencapaian kita dalam pelbagai bidang dan berjaya membina negara berlandaskan nilai-nilai terbaik masyarakat majmuk daripada pelbagai kaum, agama, budaya dan tamadun yang ada di negara ini – dan bukannya menjadi bahan jenaka atau diperli oleh masyarakat dunia kerana kita menjunam menjadi sebuah kleptokrasi, kakistokrasi dan negara yang gagal.
Baru-baru ini, ada yang mengatakan yang orang Cina tidak patut takut diperintah oleh parti Melayu. Perkara ini kemudiannya menimbulkan kenyataan balas yang mengatakan orang Melayu juga tidak patut takut diperintah oleh Menteri Cina.
Tetapi apa yang membimbangkan saya adalah mengapa kita tidak bercakap dari perspektif sebagai rakyat Malaysia – tanpa mengira apa-apa kaum atau agama – yang tidak perlu bimbang dengan pentadbiran oleh rakyat Malaysia!
Kelihatan seakan-akan ada kekeliruan, di mana kononnya, untuk menjadi seorang rakyat Malaysia, kita perlu melepaskan identiti etnik dan budaya kita, baik Melayu, Cina, India, Kadazan, atau Dayak.
Mengapakah begini? Saya percaya inilah perkara aneh utama dalam zaman kita sekarang ini.
Seorang rakyat Malaysia bukanlah mereka yang telah hilang atau mengabaikan budayanya sebagai seorang Melayu, Cina, India, Kadazan, atau Dayak, sebaliknya mereka mempunyai suatu identiti dan kesedaran bersama di atas identiti etnik, keagamaan, dan budaya mereka yang sedia ada di Malaysia ini.
Walaupun konspirasi Langkah Sheraton pada bulan Februari 2020 telah menyisihkan mandat demokratik yang diberikan oleh pengundi dalam Pilihan Raya Umum 2018, negara kita masih sedang mencari suatu ekuilibrium dan kestabilan politik baharu yang dapat memenuhi aspirasi Malaysia untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia.
Terdapat percakapan hari ini mengenai pertemuan dalam kalangan pemimpin politik untuk mencari titik keseimbangan dan kestabilan politik ini atas nama “Perpaduan Melayu”.
Selepas lebih daripada setengah abad pembentukan negara kita, bilakah para pemimpin politik dalam negara kita akan sedar, apa yang diperlukan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia bukanlah “Perpaduan Melayu”, sebaliknya “Perpaduan Malaysia”?
Ketiadaan “Perpaduan Malaysia” ini telah mewujudkan Diaspora Malaysia pertama, di mana lebih daripada sejuta rakyat Malaysia yang berbakat, daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama, berpindah ke luar negara.
Adakah kita mahu melihat kejadian Diaspora Malaysia kedua, yang telah disekat selama lebih daripada dua tahun akibat pandemik Covid-19?
Malaysia hanya boleh menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia sekiranya rakyat Malaysia berpegang kepada Impian Malaysia, bukannya Impian Melayu, Impian Cina, Impian India, Impian Kadazan, atau Impian Dayak.
Inilah cabaran yang dihadapi oleh para pemimpin politik sekarang – bagaimanakah kita mampu untuk menyalakan semula, memberikan inspirasi, menyuntik tenaga, harapan, dan inspirasi untuk Impian Malaysia supaya negara kita mampu untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia dengan memastikan Pilihan Raya Umum ke-15 menyambung semula harapan untuk reformasi dan menyelamatkan negara yang di bawa dalam PRU14 sebelum ini?
Bagaimana untuk kita kembalikan harapan dan inspirasi yang dilihat dalam Pilihan Raya ke-14, di mana rakyat Malaysia, baik di dalam atau di luar negara, berusaha sedaya upaya untuk memastikan setiap undi dikira, dan akhirnya berdiri megah di dunia dengan mencapai keajaiban politik dengan membawa pertukaran kuasa secara aman dan demokratik buat pertama kalinya dalam enam dekad sejarah negara?
Terdapat kekecewaan dan perasaan putus asa di seluruh pelusuk negara.
Adakah Malaysia telah sampai ke satu tahap akhir, di mana masa hadapannya ditakdirkan sebagai sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, dan negara gagal?
Saya tidak berasakan begitu.
Selagi mana rakyat Malaysia tidak termakan hasutan yang cuba mengatakan bahawa mana-mana kaum atau agama diancam, kerana tidak ada mana-mana pun kumpulan kaum atau agama dalam masyarakat majmuk kita yang mahu menghapuskan antara satu sama lain, dan rakyat dapat menumpukan usaha kita kepada nilai yang dikongsi bersama untuk menjadikan negara yang tercinta sebuah negara hebat yang bertaraf dunia, yang memberikan kualiti kehidupan yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia dari segi pendidikan, ekonomi, kesihatan awam, perumahan, dan alam sekitar, maka Impian Malaysia ini masih lagi relevan dan penting.
Dalam mengejar Impian Malaysia untuk menjadikan negara kita negara hebat yang bertaraf dunia, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah untuk menyedari hakikat yang kita sedang ketinggalan di belakang semakin banyak negara-negara lain dari segi kecemerlangan, meritokrasi, tadbir urus yang baik, dan daya saing.
Kita telah mundur dalam usaha untuk menjadi sebuah negara hebat yang bertaraf dunia, termasuklah dari perspektif sebagai sebuah negara yang berdaya saing untuk menarik pelaburan asing untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran, yang merupakan satu perkara yang amat penting selepas negara kita berhadapan dengan kerosakan ekonomi selama dua tahun akibat pandemik Covid-19.
Kita perlu belajar daripada kesilapan kita yang menghalang cita-cita kita sebelum ini untuk menjadi sebuah negara hebat, baik sama ada untuk memastikan adanya keyakinan dan kepercayaan rakyat, tadbir urus yang baik dan demokratik, pelaburan infrastruktur atau pembangunan sumber manusia.
Dalam Rancangan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang diterbitkan pada bulan September 2012, Malaysia menyasarkan untuk menjadi sebuah “negara hebat” dengan lonjakan daripada sepertiga terbawah ke satu pertiga teratas kedudukan ujian PISA (Program Penilaian Antarabangsa) OECD.
Tetapi, perkara ini menjadi satu kegagalan. Keputusan PISA Malaysia untuk tahun 2018 adalah lebih teruk berbanding dengan keputusan tahun 2015 dalam ketiga-tiga subjek matematik, sains, dan pembacaan, dan kita masih lagi jauh daripada kedudukan dalam satu pertiga teratas 80 negara yang menyertai program PISA ini.
Sejak tahun 1970, KDNK negara telah berkembang 90 kali ganda, tetapi KDNK Indonesia pula telah berkembang sebanyak 108 kali ganda, manakala Vietnam, Singapura, dan Korea Selatan mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 122, 177, dan 183 kali ganda masing-masing.
Selepas 50 tahun, kedua-dua Singapura dan Vietnam telah mengatasi kedudukan Malaysia dengan KDNK yang lebih besar.
Masanya telah tiba untuk membunyikan semboyan, untuk memberikan kesedaran kepada rakyat Malaysia, yang kita sedang ditinggalkan di belakang semakin banyak negara, dan bukannya sedang mencapai untuk membina sebuah negara hebat bertaraf dunia dengan tenaga kerja yang mempunyai pengetahuan teknologi, kematangan dan kestabilan politik, keharmonian antara kaum, kedaulatan undang-undang, kawalan terhadap rasuah, dan tadbir urus yang baik – bahawa kita memerlukan tenaga seluruh negara untuk menjadikan negara kita ini hebat semula sekiranya kita tidak mahu melihat Malaysia ditinggalkan di belakang, sebagai sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, dan sebuah negara yang gagal!
Mampukah kita untuk kembali ke hari-hari di mana kita menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip Rukun Negara untuk mencapai cita-cita menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia – memandangkan kita kini mempunyai para menteri yang mempunyai kedudukan yang tidak jelas terhadap kedudukan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip Rukun Negara?
Inilah cabaran kepada pemimpin politik Malaysia sekarang. Saya ucapkan selamat maju jaya.