Mampukah Malaysia bangkit seperti Ireland yang kini berada di kedudukan teratas dalam Carta Ketahanan Covid Bloomberg (September 2021) selepas berada di tempat ke-39 daripada 53 negara dengan nilai ekonomi terbesar di dunia pada Januari lalu
Dalam Carta Ketahanan Covid bagi September 2021 yang dikeluarkan Bloomberg semalam, Ireland ditempatkan di kedudukan teratas diikuti negara-negara seperti Sepanyol, Belanda, Finland, Denmark, UAE, Perancis, Switzerland, Kanada dan Norway.
Pada Januari 2021, Ireland ditempatkan di kedudukan ke-39 dengan kadar jangkitan terburuk di dunia; kes harian baharu Covid-19 melonjak dari julat tiga angka pada hujung Disember kepada julat empat angka dan mencapai puncak 8,227 kes pada 8 Januari 2021.
Malaysia mencipta rekod terbaik pada Januari apabila ditempatkan di kedudukan ke-16 dalam carta tersebut, semasa darurat diisytiharkan dengan alasan untuk melawan wabak Covid-19. Pada Ogos, kedudukan negara kita menjunam ke kedudukan tercorot -- jatuh 37 anak tangga.
Pada September 2021, kedudukan Malaysia melonjak dua anak tangga ke kedudukan ke-51, namun negara-negara yang menduduki lima kedudukan terakhir dalam carta tersebut adalah negara-negara ASEAN iaitu Indonesia, Thailand, Malaysia, Vietnam dan Filipina.
Mampukah Rancangan Malaysia ke-12 menjadi pemangkin untuk Malaysia bangkit dari kedudukan ke-53 pada Ogos kepada kedudukan pertama dalam Carta Ketahanan Covid Bloomberg seperti yang dilakukan Ireland apabila berjaya melonjakkan kedudukan mereka dari kedudukan ke-39 pada Januari kepada kedudukan pertama pada September tahun ini?
Ini adalah tugas paling getir yang perlu dipikul Perdana Menteri baharu dan Menteri Kesihatan baharu. Sejak Kabinet Ismail Sabri mengangkat sumpah pada 30 Ogos, Malaysia masih tidak mampu untuk menurunkan angka kes jangkitan harian Covid-19 ke bawah paras 10,000 kes.
September dianggap sebagai “bulan berdarah” buat Malaysia kerana 10,000 telah terkorban akibat wabak berkenaan sepanjang bulan tersebut.
Malaysia telah dianggap sebagai negara terburuk di ASEAN dalam menguruskan penularan wabak Covid-19, terutama dari segi angka kes kematian harian akibat Covid-19.
Semalam, Malaysia melaporkan kadar kematian harian akibat Covid-19 lebih tinggi berbanding negara-negara ASEAN yang lain -- Malaysia merekodkan 240 kes kematian, berbanding Indonesia (124), Filipina (91), Thailand (129), Vietnam (178) and Myanmar (48).
Rekod kes harian baharu Covid-19 semalam adalah seperti berikut: Malaysia (11,332), Indonesia (2057), Filipina (13,848), Thailand (9,489), Vietnam (452), Myanmar (1,630) and Singapura (2,236).
Masih banyak yang perlu ditempuh oleh Malaysia jika Rancangan Malaysia ke-12 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri pada Isnin lalu mahu menjadi pengubah keadaan (game-changer) dan melonjakkan kedudukan negara dari kedudukan ke-52 ke kedudukan teratas dalam Carta Ketahanan Covid Bloomberg.
Beranikah Perdana Menteri untuk menyahut cabaran berkenaan -- membawa Malaysia ke arah kejayaan pada tahun hadapan?