Cawangan-cawangan DAP perlu mengadakan sidang zoom atau perjumpaan secara hibrid untuk menjelaskan memorandum persefahaman kepercayaan-perbekalan-reformasi (CSR) kepada rakyat
Dua minggu telah berlalu selepas memorandum persefahaman kepercayaan-perbekalan-reformasi (CSR) di antara Perdana Menteri, Ismail Sabri, dan pemimpin Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, Mohamad Sabu, dan Wilfred Madius Tangau, tetapi masih ramai orang yang merasakan memorandum ini adalah satu pengkhianatan prinsip dan matlamat para pemimpin pembangkang dan merupakan satu “jerat” daripada Ismail Sabri.
Cawangan-cawangan DAP perlu mengadakan sidang zoom atau perjumpaan secara hibrid untuk menjelaskan memorandum persefahaman kepercayaan-perbekalan-reformasi (CSR) kepada rakyat.
Kisah Nelson Mandela yang memilih untuk berbincang dengan kerajaan apartheid walaupun selepas dipenjarakan selama 23 tahun adalah satu contoh yang baik.
Walaupun Mandela tahu yang perbincangan dengan Parti Kebangsaan Afrika Selatan ini akan dilihat sebagai satu tanda kelemahan dan pengkhianatan, alternatifnya -- seperti mana dalam keadaan Covid-19 yang dihadapi kita sekarang, berjuta lagi kes dan lebih ramai kematian akibat Covid-19 -- dilihat sebagai satu perkara yang terlalu buruk untuk dibayangkan.
MOU CSR ini akan menubuhkan jawatankuasa pemandu bipartisan yang mempunyai peranan yang penting -- bukan sahaja untuk memastikan pelaksanaan pelbagai tindakan untuk berhadapan dengan wabak Covid-19 dan menetapkan semula rangka kerja negara kita dengan reformasi institusi dan parlimen, tetapi juga untuk memastikan terdapatnya kebebasan sistem kehakiman dan pelaksanaan penuh Perjanjian Malaysia 1963.
Pelbagai cadangan telah dibuat untuk memastikan terdapatnya kebebasan sistem kehakiman dan pelaksanaan penuh Perjanjian Malaysia 1963, termasuklah cadangan supaya Perdana Menteri tidak lagi terlibat dalam pelantikan Ketua Hakim Negara dan ketelusan dalam menerbitkan laporan akhir MA63.
Jawatankuasa pemandu perlu bertanggungjawab untuk memenuhi jangkaan rakyat mengenai kedua-dua isu ini.
MOU CSR ini juga perlu menamatkan sebarang rancangan politik mengenai persoalan siapakah yang akan menjadi Perdana Menteri, sebaliknya menumpukan seluruh usaha Parlimen kepada usaha untuk mengatasi masalah penularan wabak Covid-19 dan mengurangkan kesan-kesan buruknya terhadap ekonomi dan kehidupan sosial dan juga menetapkan semula hala tuju negara dengan reformasi institusi dan parlimen dalam tempoh 10 ke 18 bulan yang akan datang.
Gencatan atau moratorium politik ini tidak bermakna penamat kepada era politik yang membawa semua Ahli-ahli Parlimen ini ke Parlimen, kerana mandat untuk menentukan siapa yang membentuk kerajaan ini hanya ditangguhkan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15, baik pada tahun 2022 atau 2023.